Amyza semakin cantik dan berseri sejak mengenakan hijab.

Oleh : Nafsiah Jani

Begitu kuat seorang wanita yang juga seorang pelakon bernama Amyza Aznan ini. Lepas satu ujian, satu ujian yang Allah turunkan kepadanya. Tahun 2024, Amyza diuji bila mana suaminya, Khairil Idzhar Md Nazir sakit hingga terpaksa ditidurkan. Kini suaminya terpaksa menjanli dialisis seumur hidup selepas mengalami masalah buah pinggang kronik tahap lima. Tahun berikutnya pada Januari 2025 pula anak sulungnya, Andre Mikhail, 19 pula sakit dan disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga dan terpaksa melakukan rawatan kemoterapi membabitkan lapan sesi.

“Kuat tak kuat saya memang kena kuat demi suami dan anak. Saya anggap ini semua ini sebagai ujian Allah untuk saya hadapinya. Saya suka ujian Allah ini kerana ini tanda Allah nak saya sedar dan ini adalah anugerah dan tanda Allah sayang pada saya. Mungkin orang tengok, ketika berlakon saya seorang yang happy go lucky tapi hakikatnya bila melibatkan anak, sebagai ibu…hati saya jadi rapuh. Saya memang kalah bila bab anak-anak. Bagi saya anak-anaklah sumber kekuatan saya selama ini.

“Saya sentiasa berdoa siang dan malam agar ada keajaiban dalam hidup ini. Saya harap anak saya, Andre sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala. Kalau orang tanya, apa lagi yang saya nak, saya akan kata sebagai seorang ibu, saya cuma hendak lihat Andre sihat, panjang umur dan kuat melawan penyakitnya. Dialah nyawa saya. Kalau anak demam pun saya sebagai ibu memang dah tak senang dibuatnya, inikan pula sakit seteruk ini,” kata Amyza Aznan ysng semakin cantik dengan penampilan terbarunya berhijab.

Amyza dalam drama Rindu Kasih.

Bercakap mengenai cara dirinya bekerja, kata Amyza anak sulong daripada lima beradik ini, dia sentiasa memisahkan antara urusan kerja dan peribadi.

“Saya selalu pesan pada diri saya, semua orang ada masalah tersendiri dan tak ada siapa yang tak diuji dalam hidup ini. Apabila pergi kerja, saya akan letak segalam masalah di tepi…tak kira apa masalah sekalipun. Tidak perlu bawa emosi ke tempat kerja atau minta orang faham keadaan kita. Di set penggambaran, saya tetap profesional dan berikan yang terbaik kerana inilah periuk nasi saya,” katanya.

Pelakon drama Midah Kuih Bangkit itu juga memberitahu, dia sudah kembali aktif bekerja selepas memperlahankan karier sejak anaknya jatuh sakit.

Amyza dalam drama Skuad Elite JPJ

“Masa anak saya sakit saya kurang ambik drama kerana nak fokus jaga anak. Bila tengok Andre dah ok sedikit, saya mula ambil kerja balik bila tengok dia sudah kuat dan boleh urus diri. Alhamdulillah, rezeki saya masih ada dalam industri dan kini saya tengah sibuk dilokasi penggambaran drama arahan Heykal Hanifah dan satu lagi naskhah untuk Media Prima Berhad (MPB),” katanya yang juga pernah mengacara program Temasya Aidilfitri dan Konfiden ke Kenal?

Amyza menambah, kini dia lebih mengambil sikap tak suka berkongsi cerita berbanding sebelum ini.

“Dulu saya memang suka berkongsi gambar keluarga dan cerita bersama peminat. Tapi bila dah tua-tua ini saya lebih suka kurangkan perkongsian ini berbanding sebelum ini. Kalau melibatkan personal mungkin tak banyak tapi bila melibatkan kerja barulah saya akan kongsi. Entahlah dah frasa menuju usia 50-an ini rasanya lebih suka besederhana dalam segalanya.”

Kasih seorang ibu…Amyza bersama anaknya yang sakit Andre.

Sepanjang penglibatannya sebagai pelakon, walaupun tidak banyak memenangi anugerah namun sekurang-kurangnya nama dan bakatnya turut dihargai peminat. Tidak hairanlah Namanya turut tercalon dan menjadi finalis bagi kategori Pelakon TV Sensasi – Anugerah Media Hiburan 2003, Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008), Pelakon Wanita Terbaik (Drama) -Anugerah Skrin 2011 menerusi drama komedi Midah Kuih Bangkit, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik -Anugerah Skrin 2016 menerusi drama Ku Haramkan Susu Itu, Artis Pembantu TV Popular ((ABPBH 2024).

Bakat semulajadi dan komitmennya ketika berlakon dengan sepenuh jiwa dan raga telah membuahkan hasil, apabila Amyza memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Anugerah Skrin 2019 menerusi drama Batik Zakiah dan menjadi Naib Juara dalam program Sehati Berdansa Musim Kedua (2008)

Selain drama, Amyza juga banyak membintangi filem antaranya Iman Alone 1998, Puteri Impian 2, JIdin Sengal, Kelaster, Mat Bond Malaya, Seratus, Penanggal Mak Kiah dan Reversi. Manakala drama lakonannya pula ialah Larut, Rumah Itu Duniaku, Mat Despatch, Larut, Rumah Itu Duniaku, Kutub Utara Kutub Selatan, Tiga Dara: Tan Tin Tun, Biarku Sentuh Cintamu, Iris, Ejen 008.

Amyza tetap tenang dengan dugaan dari Allah.

Antara Pilihan, Selendang Putih, Opah Jangan Lupa, Cik Diva Balik Kampung, Luruh, Batik Zakiah, Kari Sanjana, Ragut, Ku Haramkan Susu Itu, Kasih Seorang Ayah, Pintu Lain Ke Syurga, Hantu Telur, Takbirku Bernoktah, Calon Suamiku, Hijrah Karmila, Tangisan Di Bukit Misteri, Diva Divana dan Menantu Tip Top.

Amyza mendirikan rumah tangga bersama Khairil Idzhar Md Nazir pada 2004. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, 19, Andrian Adam,17, dan Ayden Andika, 11.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here