Fazley Yaakob tampil dengan single "Tiga Kali", duet bersama Iela Nabila.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SETIAP kali Dato’ Fazley Yaakob mengadakan persembahan lagu “Asmara Ini” ciptaan Ajai dan lirik nukilannya sendiri yang dikeluarkan pada 2005 pasti menjadi pilihan penonton.

Gara-gara populariti lagu tersebut, Fazley turut digelar Abang Asmara hingga kini walaupun dia merupakan juara MasterChef Selebriti Malaysia.

Walaupun sibuk sebagai cef, dia tidak pernah lupa kerjaya seni dan bagi membuktikan yang dirinya masih relevan, Fazley, 47, tampil dengan single baharu berjudul “Tiga Kali”.

Jika sebelum ini pemilik Restoran Suka Sucre itu sering tampil solo tapi kali ini duda anak empat itu pilih untuk berpasangan dengan penyanyi baharu, Iela Nabila.

Lagu “Tiga Kali” adalah ciptaan DJ Fuzz dan Hez Hazmi, yang menampilkan gabungan melodi rancak berinspirasikan dugem (dunia gemerlapan atau rentak kelab malam) dengan lirik yang menyentuh kisah kecurangan dan ketabahan hati.

Menurut Fazley, dia mahu keluar dari zon selesa dan mencuba genre baharu selepas membuat beberapa ujian pemasaran secara peribadi.

“Saya buat beberapa demo dan tanya pendapat rakan, anak-anak, dan peminat. Sembilan daripada sepuluh orang pilih lagu ni berbanding balada saya. Jadi inilah masa yang sesuai untuk tampil dengan sesuatu yang lebih segar dan dekat dengan generasi Z,” katanya.

Bagi Fazley, “Tiga Kali” membawa makna istimewa bukan sekadar pada kisah lagu, tetapi juga perjalanan peribadinya sebagai artis. Lagu ini dihasilkan tiga tahun lalu, dan tajuknya juga secara simbolik menggambarkan tempoh yang diambil sebelum pelancaran rasmi.

“Baru-baru ni, kita banyak lihat kisah curang di TikTok dan media sosial terutamanya dari sudut wanita. Tapi saya nak bawa perspektif lelaki pula. Sebagai seorang pakar motivasi, saya selalu dengar orang kata curang tu dah jadi perkara biasa sekarang. Jadi saya dan DJ Fuzz fikir, kenapa tidak jadikan ia satu lagu, bukan untuk bersedih, tapi untuk ‘move on’ dan teruskan hidup,” ujar Fazley.

Mengenai pemilihan pasangan duetnya, Fazley berkata, dia dan produksi memang mencari bakat baharu yang ada aura tersendiri.

“Kita memang cari suara yang ‘TikTok friendly’ – yang ada karakter dan personaliti bila menyanyi. Bila tengok live Iela di TikTok dan dengar lagu-lagu yang dia nyanyi, terus rasa dia paling sesuai untuk lagu ‘Tiga Kali’,” jelas Fazley.

Mengulas lanjut mengenai lagu “Tiga Kali” ciptaannya, DJ Fuzz berkata, lagu tersebut diinspirasikan daripada pengalaman sebenar seorang rakan Hez Hazmi yang pernah dicurangi berulang kali.

“Kebanyakan lirik ditulis oleh Hez Hazmi berdasarkan kisah benar kawan dia yang pernah dicurangi tiga kali. Saya tambah sedikit pada bahagian muzik, dan kami tukar rentak asal yang perlahan menjadi lebih rancak, walaupun kisahnya sedih, kami mahu pendengar menari sambil menyelami mesejnya.

“Bagi saya Iela punya suara dan gaya sesuai dengan lagu ni. Gabungan Iela Nabila dan Dato’ Fazley Yaakob memang perfect match untuk tema lagu ni,” jelas DJ Fuzz, kolaborasi ini menandakan kemunculan rasmi Iela Nabila dalam industri muzik arus perdana – satu permulaan yang baik buatnya.

Menariknya, “Tiga Kali” turut akan diterbitkan dalam versi piring hitam (vinyl record), sesuatu yang jarang dilakukan oleh artis tempatan masa kini.

“Saya datang dari zaman kaset, anak-anak saya pun tak kenal apa itu kaset. Jadi ini masa untuk saya bergerak ke arah digital sepenuhnya. Tapi untuk peminat setia dan pengumpul peribadi, kita juga akan keluarkan versi piring hitam ‘Tiga Kali’ secara eksklusif,” kata Fazley sambil ketawa.

Dengan rentak segar dan mesej yang dekat dengan realiti kehidupan masa kini, “Tiga Kali” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi juga simbol perubahan, dari balada ke irama moden, dari kaset ke digital, dan dari kisah lama ke lembaran baharu.

“Tiga Kali” dendangan Fazley dan Iela Nabila boleh distrim di tiga platform digital iaitu Spotify, TikTok dan Instagram mulai 31 Oktober 2025, jam 3:33 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here