BARU-BARU ini tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak lelaki didera oleh ibu kandung dan temannya hingga luka dan bernanah di bahagian belakang badan anak malang tersebut. Sungguh! Jika difikirkan secara logiknya, mana mungkin insan mulia bergelar ibu sanggup mendera anak kandung hingga sebegitu rupa. Itu belum lagi jika kita lihat dan baca, banyak juga kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di pusat asuhan kanak-kanak oleh pengasuh. Macam cendawan tumbuh selepas hujan, semakin membiak nampaknya.

Penderaan ke atas kanak-kanak ini bukan isu baharu dan bukan juga isu remeh yang tidak perlu diambil berat oleh pihak berwajib. Ini adalah isu serius kerana ia boleh beri impak bukan saja kecederaan pada badan, lebih teruk adalah kesan pada emosi anak itu sendiri. Bayangkan, bagaimana mereka mahu mengharungi sisa hidup yang lebih panjang, jika masih terjerat dengan pengalaman hitam lampau yang tidak pernah luput dalam ingatan.

Saban hari, emosi itu mengganggu. Mungkin luka dan cedera di badan telah sembuh dan hampir sempurna kulit badannya kembali seperti asal, namun di minda dan ingatan mereka pasti masih terngiang-ngiang dijerit, dimaki, dipukul dengan benda keras, dihiris dengan benda tajam, dihentak ke dinding, disepak terajang dan macam-macam lagi jenis penderitaan yang ditanggung si anak kecil itu.

GAMBAR: Wikimedia Commons

Menerusi hantaran yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maksud penderaan kanak-kanak ialah istilah generik yang merangkumi kesemua layanan buruk kepada seseorang kanak-kanak. Ia termasuk serangan fizikal dan seksual yang serius dan juga kes-kes di mana tahap penjagaan tidak mencapai jangkaan yang munasabah. “HM Government (2006) Working Together to Safeguard Children : A guide to inter-agency working to safeguard and promote the welfare of children” yang mengklasifikasikan penderaan kanak-kanak kepada empat kategori yang luas. Ianya adalah penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi dan pengabaian.

Menurut pakar pula, mangsa penderaan kanak-kanak mungkin mengalami gangguan tekanan selepas trauma “post-traumatic stress disorder” (PTSD). Pola PSTD akut ini secara tipikalnya dapat dilihat atau dikesan oleh ibu bapa atau penjaga.

Pola penolakan dicirikan oleh penafian keadaan atau kegagalan menerima hakikat. Kanak-kanak tersebut selalu menyendiri, tidak bermaya untuk belajar, kelihatan termenung, selalu berangan dan bertindak seolah-olah tidak mahu hidup.

Kanak-kanak ini mungkin mencari jalan keluar dengan penglibatan dalam penyalahgunaan dadah, menunjukkan fobia (takut dalam keadaan tertentu) mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan di rumah, sekolah, kelihatan murung dan terlibat dengan aktiviti salah laku.

Secara umumnya nampak begitu, tapi jika kita ingin lebih mendalami kesan emosi atau mental kanak-kanak yang didera mungkin akan nampak lebih jelas lagi betapa bahayanya emosi mereka jika tidak dirawat dengan kadar segera.

Di sini, kami kongsikan enam kesan penderaan ke atas kanak-kanak yang meliputi beberapa bahagian seperti yang disebut menerusi jurnal terbitan dari Universiti Malaya yang bertajuk Penganiayaan Kanak-kanak dan juga beberapa rujukan daripada pakar kesihatan menerusi laman rasmi Kementerian Kesihatan juga doktor bertauliah lain.

  1.  Kesan dari segi perkembangan minda

Biasanya kejadian penderaan ini tidak berlaku hanya sekali, tetapi ia akan berlaku berulang kali sehinggalah ada pihak yang mengetahui dan mengambil tindakan. Jadi, pendedahan yang berulang ini beri tekanan dan tindak balas pada otak menjadikan tidak aktif dan kurang keyakinan diri.

GAMBAR: Wikimedia Commons.

Kesan penderaan ini juga boleh mendatangkan masalah kesihatan pada masa depan. Antara masalah tersebut adalah:

a) Perkembangan otak yang tidak sesuai

b) Ketidakseimbangan antara kemahiran sosial, emosi dan kognitif

c) Kecacatan bahasa tertentu

d) Kesukaran dalam penglihatan, berkata-kata dan mendengar.

2.   Kesan dari segi pergaulan kanak-kanak

Biasanya kanak-kanak yang didera akan mengalami kemurungan dan sukar untuk bergaul dengan orang lain. Mungkin atas faktor kurang keyakinan diri atau tidak mempercayai orang lain, ekoran penderaan yang menimpa ke atas dirinya. Kebanyakan mereka akan jadi lebih pendiam dan tidak aktif serta suka menyendiri. Hal ini akan berlarutan hingga satu jangka masa yang panjang.

3.   Dihambat perasaan benci pada pelaku

Jika pelaku itu adalah ibu atau bapa kandung sendiri, perasaan benci itu mungkin sukar untuk diubati berbanding penderaan yang dilakukan orang yang bukan darah daging sendiri. Bayangkan, selama mana ingatan kanak-kanak itu masih segar tentang kejadian yang berlaku, semestinya amat sukar untuk membuang perasaan geram, marah, sakit hati, rasa dikhianati dan bermacam lagi oleh individu yang rapat dengannya. Memang tak mudah nak buang perasaan negatif terhadap orang yang sepatutnya melindungi kita, tetapi mengkhianati dengan menjadikan kita sebagai mangsa.

4.   Lebih sensitif dengan perasaan sendiri dan sekeliling

Jika berada dalam kalangan orang ramai, mereka yang pernah didera akan lebih sensitif dengan layanan orang lain terhadapnya atau orang lain. Contohnya, jika berkumpul bersama dua atau tiga rakan sebaya, kanak-kanak yang pernah didera akan lebih merasa rendah diri. Jika kurang layanan orang kepadanya, dia akan menganggap kerana dirinya malang dan sebagainya. Disebabkan perasaan ini, mereka lebih suka menyendiri, tidak suka bergaul dan lebih selesa berkurung di dalam bilik melayan perasaan sendiri.

5.   Mengalami kemurungan

Ekoran selalu memendam perasaan, layan emosi yang bercampur- baur, mereka akan mudah dilanda kemurungan. Jika perkara ini tidak dibendung sejak awal, kanak-kanak ini mungkin akan bertindak lebih jauh lagi sehingga boleh membunuh diri.

6.   Cenderung melakukan keganasan bila dewasa

Kanak-kanak mudah mengikut dengan apa yang dilihat serta dialami. Ekoran kejadian didera itu, kanak-kanak ini mudah terdorong untuk melakukan penderaan kepada orang lain juga nanti. Mungkin mereka merasakan perkara itu (dera) itu adalah perkara ‘normal’ atau mungkin juga mereka ingin melepaskan kemarahan lampau pada mangsa seterusnya.

Bagaimana untuk mendapatkan rawatan bagi mangsa dera dan cara untuk melaporkan pada pihak berwajib…tunggu keluaran berikutnya.

 

Previous articleSelebriti Meniaga Di Uptown Lorong Ampang Mampan
Next articleKonsert Datuk Jamal Abdillah ditunda November ini?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here