Oleh Nafsiah Jani
MAJESTIC Johor Festival 2023 anjuran Tourism Johor kini kembali lagi buat tahun kedua bermula 26 Ogos hingga 3 September ini. Acara gilang-gemilang ini adalah kerjasama bersama Star Vendors Event Sdn. Bhd. dan akan berlangsung di Puteri Harbour, Kota Iskandar, Johor.
Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors Event Sdn. Bhd. juga artis popular, Ifa Raziah berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan Tourism Johor yang telah memberi peluang kepada mereka untuk menguruskan acara tersebut.
“Objektif utama penganjurannya untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan keluarga yang mesti dikunjungi. Diharap acara ini dapat menampilkan keistimewaan dan mempromosikan setiap daerah yang terdapat di Johor.
“Ia merupakan platform yang eksklusif kepada usahawan tempatan dan selebriti tanah air untuk berniaga. Festival ini juga turut disertai agensi-agensi kerajaan dan 10 daerah negeri Johor yang membawa pelbagai produk dan perkhidmatan daerah masing-masing,’’ katanya mengenai festival ini yang akan bermula pada dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Selain daripada memberi peluang kepada usahawan tempatan, Majestic Johor Festival 2023 bakal menyaksikan pembabitan 60 artis terkenal tanah air yang turut membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri.
Antara artis yang akan mengambil bahagian ialah Wak Doyok, Datuk Sri Aliff Syukri, Khai Bahar, Sherry Ibrahim, Black Hanifah, Noraniza Idris, Hafiz Suip, Reen Rahim, Nadia Brian, Ramlah Ram dan ramai lagi.
Selain itu, pengunjung festival juga turut berpeluang menyaksikan Konsert “Road Tour” Gegar Vaganza dan juga penampilan khas Pasukan JDT sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-10.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.