Oleh Syed Wafa / Foto MAC Training Centre Sdn Bhd
INILAH saat yang ditunggu oleh peminat nasyid tanah air.Lima penyanyi nasyid terkenal di Malaysia akan bergabung satu pentas menjayakan konsert Lima Rukun pada 15 September ini.
Kini hiburan di negara kita banyak lambakan konsert artis luar negara yang memenuhi kalendar seni hiburan tanah air, MAC Training Centre Sdn Bhd tampil berani dengan inisiatif berbeza apabila membawakan konsert nasyid untuk peminat yang rindukan penyanyi nasyid yang mempunyai ramai peminat.
Konsert Lima Rukun ini bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat ini jam 8.30 malam.
Konsert 5 Rukun menampilkan gandingan artis nasyid popular yang terdiri daripada Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica dan Daqmie (Azmi Manap).
Penganjuran konsert tersebut merupakan inisiatif untuk membantu melonjakkan semula kegemilangan irama nasyid agar kembali bernafas semula sekali gus mencetuskan fenomena seperti mana pernah berlaku pada era 1990-an.
Pengarah Urusan MAC Training Centre Sdn Bhd, Samirah Hambali berkata, penganjuran konsert itu merupakan usaha kecil daripada pihaknya untuk berdakwah berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dalam bentuk hiburan lebih bijaksana.
“Alhamdulillah usaha kita untuk menganjurkan konsert ini mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada Daqmie untuk membawa lima ‘Sahabat Selamanya’ iaitu Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica serta Daqmie sendiri ke pentas konsert.
“Berteraskan konsep lima Rukun Islam melalui teras persahabatan geng Sahabat Selamanya ini, kami percaya ia akan memberikan kesan dan pengalaman konsert unik dan menarik dalam hiburan dakwah, apatah lagi setiap mereka ini mempunyai kelompok peminat tersendiri.
“Sebagai satu cara untuk menjadikan Malaysia sebagai hub lagu-lagu nasyid dan Islamik, kita juga mewujudkan Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors iaitu sebuah platform yang dikhususkan untuk mengumpul dan menghimpunkan individu yang berminat dengan nasyid atau genre muzik vokal Islam,” katanya.
Konsert 5 Rukun menampilkan lima segmen daripada barisan artis yang terlibat dengan pemilihan lagu popular masing-masing, sama ada dalam persembahan secara solo, duet serta nyanyian beramai-ramai berserta Qasidah.
Bagi menambahkan lagi nilai pengalaman unik dan luar biasa kepada penonton dari sudut aspek muzikal, persembahan berdurasi dua jam itu akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Yazit Zakaria.
Gabungan irama nasyid dan irama tradisional serta elemen budaya Malaysia yang lain itu dijangka bakal menyaksikan pertembungan unik muzik Islamik dan muzik tradisi Melayu yang selama ini menjadi cerminan jati diri masyarakat setempat.
Tiket Konsert 5 Rukun dijual pada harga RM265, RM213, RM161 dan RM109. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.ticket2u.com.my
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.