Bahagian 2
Oleh Asmat Fikri
DISAMBUNG beberapa amalan semasa berpantang bagi ibu-ibu bersalin. Walaupun ia sekadar amalan tradisi dan dikatakan tidak ada sokongan fakta saintifik namun tidak bermakna tidak boleh diamalkan.
Tidak semestinya perubatan moden itu terbaik. Manakala amalan tradisi dan petua itu tidak bagus. Sedangkan petua itu ada nasihat, petunjuk atau panduan yang berguna (diamalkan oleh orang tua-tua atau yang berpengalaman) tentang cara melaksanakan atau mencapai sesuatu dengan berkesan.
Selagi amalan tradisi itu tidak memudaratkan maka tidak menjadi kesalahan untuk diamalkan. Tanya diri, adakah sanggup untuk berbengkung, pantang makan dan ‘berpuasa’ untuk tempoh tertentu sebelum menjalin hubungan suami isteri. Mari kita lihat satu persatu apa manfaatnya semua amalan yang disebutkan tadi.
Barut/Bengkung
Amalan pemakaian barut atau bengkung amat disyorkan untuk mengembalikan kelangsingan badan seperti sebelum mengandung dan bersalin. Kebiasaannya barut dipakai oleh ibu sejurus selepas bersalin atau pada hari kedua sehingga hari ke-40. Manfaat dan kebaikan bengkung adalah untuk menegangkan kulit, mengeluarkan angin serta mengecutkan peranakan. Antara manfaat lain juga adalah untuk mengelakkan perut dari buncit dan menggeleber serta menetapkan kedudukan kedudukan punggung dan peranakan.
Pemakanan
Kepatuhan terhadap pantang larang pemakanan sewaktu dalam tempoh berpantang adalah penting demi memastikan proses pemulihan berjalan lancar. Menurut amalan perubatan tradisional Melayu, ibu selepas bersalin hendaklah sentiasa berada dalam keadaan ‘panas’. Justeru, ibu dinasihatkan untuk memilih makanan yang berunsur panas seperti masakan berunsur halia dan lada hitam dan mengelakkan makanan yang berunsur sejuk seperti timun dan tembikai.
Pada zaman dahulu, ibu-ibu selepas bersalin hanya dibenarkan untuk makan nasi bersama ikan bakar atau ikan kering dan lada hitam. Namun pada masa kini, ibu-ibu selepas bersalin digalakkan mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Kebanyakan pengamal masih berpegang kepada kepercayaan bahawa sesetengah jenis makanan perlu dielakkan sewaktu dalam pantang.
Lauk untuk ibu selepas bersalin lazimnya dimasak dengan cara merebus, menumis atau bakar serta banyak menggunakan halia, lada hitam dan bawang putih. Masakan yang terlalu pedas, bersantan dan berminyak perlu dielakkan bagi mengelakkan memberi kesan negatif pada ibu dan juga bayi disebabkan ibu dalam pantang masih menyusu bayi.
Hubungan suami isteri
Majoriti pengamal tradisional mengesyorkan bahawa tempoh berpantang bagi hubungan suami isteri adalah selama seratus hari. Tujuan berpantang hubungan suami isteri adalah untuk memastikan luka dalaman sembuh sepenuhnya, memastikan urat berada dalam keadaan elok seperti sedia kala, menjarakkan kehamilan dan mengelakkan terjadinya meroyan.
Penutup
Justeru, pilihan di tangan ibu-ibu terutama ibu muda yang mana kalau rasa semua amalan ini bermanfaat serta tidak sampai menyusahkan, bolehlah dilakukan ketika selepas bersalin. Marilah kita semua berpakat jaga tradisi turun temurun ini agar ianya tidak ditelan zaman.
Ini kerana, setiap apa yang disyorkan oleh orang-orang tua itu pastinya mempunyai kebaikan tersendiri kerana mereka ‘makan garam terlebih dahulu’ dari kita. Dahulu, mungkin dengan cara inilah mereka menjaga kesihatan luaran dan dalaman kerana perkhidmatan perubatan moden masih belum meluas.
Semoga setiap perkongsian ini memberi kebaikan kepada semua wanita di luar sana. Ingat! Hargailah tubuh dan kesihatan kita dengan menjaganya sebaik mungkin agar tiada mudarat nanti.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.