Bahagian 2

Oleh Nury Kadir

MAKANAN kena dikunyah 40 kali sebelum ditelan. Ungkapan itu memang popular untuk orang yang cuba hendak menguruskan badan dan berdiet. Malah ada menyandarkan ungkapan itu sebagai sunnah Rasulullah SAW agar ia kelihatan lebih islamik.

Persoalannya benarkah ungkapan itu datangnya dari hadis Nabi SAW? Untuk menjawab persoalan tersebut dipetik kenyataan yang pernah diterbitkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (https://muftiwp.gov.my)

Dicatatkan, persoalan tersebut dijawab berdasarkan apa yang telah dijawab oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam fatwanya kerana beliau pernah ditanya soalan yang hampir sama. Adakah benar Nabi SAW memerintahkan untuk mengecilkan makanan serta menghancurkannya (di dalam mulut sebelum ditelan) ketika makan?

Imam al-Nawawi menjawab persoalan di atas dengan menyatakan: “Tidak ada langsung hadis yang sahih dalam perkara ini. Akan tetapi, ia adalah satu perkara yang baik kerana itu lebih sesuai (sopan) ketika makan bersama orang lain. Ia juga bertujuan untuk mengajar, ataupun boleh jadi makanan itu sukar untuk dikunyah disebabkan dia seorang yang daif (lemah) ataupun disebabkan seseorang itu sudah kenyang dan dikhuatiri jika dia mengangkat tangannya (berhenti daripada makan) akan menyebabkan orang lain yang sedangkan makan akan turut sama berhenti sedangkan mereka itu masih berhajat kepada makanan tersebut (lapar) atau seumpama dengannya yang melibatkan tujuan-tujuan yang baik.” (Lihat: al-Manthurat, 104)

Sekali lagi, kami nyatakan bahawa mengunyah sebanyak 40 kali sebelum ditelan tidak mempunyai sandaran yang sahih daripada agama ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam fatwanya.

Akan tetapi, hal tersebut adalah baik jika tujuannya adalah untuk perkara-perkara yang baik seperti mana yang kami jelaskan di atas.

Itulah yang dijelaskan di dalam ruangan Irsyad al-Hadith menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Walaupun bukan hadis, tidak salah mengamalkannya kerana sekumpulan saintis dari University of Manchester and National Institutes of Health di Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa mengunyah lama dan sempurna sebelum menelan makanan boleh menguatkan sistem imun dalam mulut untuk melindungi dari serangan penyakit.

Sel imun atau lebih spesifik sel Th17 boleh dirangsang apabila anda mengunyah makanan. Di mana sel imun tersebut sangat penting dalam melindungi badan daripada serangan bakteria dan jangkitan fungus yang biasanya terdapat di dalam mulut.

Walaupun semua mengetahui bahawa nutrien daripada makanan banyak membantu mengekalkan sistem imun pada tahap yang baik namun cara kita makan juga penting. Kajian ini berjaya membuktikan bahawa cara mengunyah makanan juga boleh menguatkan sistem imun. Ini kerana bagi usus dan kulit, sel Th17 akan dirangsang dengan kehadiran bakteria baik untuk berlawan dengan patogen berbahaya.

Berlainan dengan mulut, sel Th17 bukan dirangsang dengan adanya kehadiran bakteria baik tetapi disebabkan mengunyah. Perbuatan mengunyah itu boleh mendorong sel imun tersebut bereaksi dengan gusi dan melindungi badan daripada penyakit.

Pun begitu, merangsang sel Th17 untuk sebagai penguat daya tahan penyakit boleh menjadi serampang dua mata. Kehadiran sel Th17 pada kadar tertentu memang baik untuk sistem imun namun jika berlebihan akan menyebabkan periodontitis.

Jadi, mengunyahlah dengan sederhana. Elakkan makanan yang terlalu keras hingga anda terpaksa mengunyah banyak kali dan merangsang sel Th17 keluar berlebihan.

Doa makan

Cerita mengunyah sudah habis. Sekarang masuk pula cerita doa apa perlu dibaca sebelum dan sesudah makan? Salah satu doa sebelum makan yang popular, sering diucapkan malah diajar sejak sekolah tadika ialah doa yang dibaca dengan lafaz berikut:
الَّلهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab neraka.”

Seperti yang dijelaskan di dalam Irsyad al-Hadith(https://muftiwp.gov.my), bahawa riwayat yang menyebutkan berkenaan doa sebelum makan dengan lafaz (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) adalah hadis yang munkar. Ini disebabkan dalam jalur periwayatan hadis tersebut terdapat perawi yang bermasalah seperti Ibn Abi al-Zuʻaiziʻah dan Ibn Aʻbud.

Namun, Imam al-Nawawi meriwayatkan doa ini (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ) melalui riwayat Ibn al-Sunni di bawah bab doa sebelum makan dalam karyanya al-Azkar. Hal ini kerana, terdapat riwayat lain yang mempunyai makna hampir sama namun dengan lafaz berbeza. Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah makanan kami ini dan berilah kami kebaikan daripada makanan tersebut.” (Riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu, doa ini boleh diamalkan namun tidak boleh beriktikad bahawa lafaz tersebut daripada Nabi SAW.

Perlu diingat bahawa doa ini merupakan suatu bab yang amat luas. Setiap muslim boleh berdoa dengan apa sahaja lafaz dan pada bila-bila sahaja dia kehendaki walaupun tidak mempunyai hadis yang khusus dalam hal tersebut (https://muftiwp.gov.my)

Jika tidak mahu berdoa adalah memadai sekadar membaca Bismillah. Sebagaimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah r.a. bahawa beliau masuk menemui Rasulullah SAW dan di hadapan Baginda ada makanan. Baginda pun berkata, “Hampirilah wahai anak ku. Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kanan mu dan makan terlebih dahulu makanan yang paling hampir dengan mu.” (Shahih al-Bukhari dan Muslim)

Seandainya terlupa baca Bismillah, adakah makanan itu hilang keberkatannya? Nasi sudah separuh pinggan habis, baru teringat tadi terlupa hendak baca Bismillah. Jangan susah hati kerana Nabi Muhammad SAW juga ada ajarkan apa yang perlu dilakukan apabila perkara itu terjadi.

Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.ha., beliau menceritakan: “Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang daripada kamu makan dan ia terlupa menyebut nama Allah Taala ke atas makanannya, maka dengan ia mengucapkan, ‘Bismillahi Awwalahu wa Akhirahu'(Dengan nama Allah untuk permulaan makan dan pengakhirannya).” (Jami’ at-Tirmizi dan Sunan Abu Daud)

Hadis itu mengajar kita apa yang harus dilakukan kalau terlupa membca Bismillah pada permulaan makan. Maka hendaklah baca “Bismillahi Awwalahu wa Akhirahu”. Dengan membacanya kita mengembalikan nama Allah untuk makanan yang sudah dimakan dan yang bakal dimakan.

Makanan yang tidak dibacakan Bismillah menyebabkan syaitan turut makan bersama lalu hilanglah keberkatan makanan tersebut.

Kelebihan membaca Bismillah sebelum makan sudah terhasil walaupun tanpa disertai ar-Rahman ar-Rahim. Namun lebih sempurna jika dibaca Bismillahirrahmanirrahim. Menurut ulama, sunat bacaan Bismillah itu dikuatkan agar didengari oleh orang lain dan untuk mengingatkan mereka.

Manakala doa selepas makan pula memang terdapat hadis daripada Nabi SAW yang menjelaskan lafaz doanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dalam Sunan at-Tirmizi, lafaznya seperti berikut:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنَا وَسَقانا وَجَعَلَنا مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.”

Doa yang diucapkan oleh Nabi SAW selepas makan adalah mengajar kita supaya mensyukuri nikmat Allah SWT dengan mengucapkan tahmid dan mengakui bahawa segala nikmat itu datangnya daripada Allah.

Allah berjanji dengan bersyukur akan ditambah lagi nikmat. Sebagaimana firman Allah, maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu; Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim ayat 7)

Jadi, marilah kita makan tetapi jangan lupa mengunyah dengan sempurna, tidak terlalu lama dan tidak juga kunyah lebih kurang. Dan, jangan terus ditelan tanpa kunyah nanti tercekik pula. Mulakanlah dengan Bismillah kerana itu yang paling penting dan sudahi dengan Alhamdulillah. Kedua, barulah doa, boleh baca apa sahaja doa yang baik-baik tidak semestinya doa popular. Doa itu senjata orang Mukmin.

Previous articleMasih Lagi Tentang Berpantang
Next articleDatuk Tuan Asmawi bangga dengan YPC International College

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here