Oleh: Nafsiah jani
SELEPAS 17 tahun, karya agung Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Lantai T. Pinkie, akan dipentaskan semula di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 6 hingga 8 Oktober ini.
Karya yang pernah mencetuskan fenomena di negara ini, akan dipentaskan secara muzikal untuk kali keenam, kekal menggunakan khidmat penerbit, pengarah dan komposer yang sama iaitu Siti Rohayah Atan dan Dr Rosminah Mohd Tahir.
Siti Rohayah yang juga pemilik CTRA Production berkata, pementasan itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mempopularkan karya Sasterawan Negara.
“Tujuan utama pementasan ini adalah untuk memperkenalkan generasi baharu kepada karya Sasterawan Negara kerana lazimnya, golongan ini tidak minat membaca… namun secara peribadi, saya suka akan karya ini kerana ia memaparkan realiti kehidupan yang sebenar,” katanya pada sidang media teater muzikal berkenaan.
Siti Rohayah turut berharap usaha pementasan semula teater muzikal ini dihargai terutamanya daripada generasi baharu kerana ia adalah aspek penting dalam pembangunan suatu bangsa.
Kali ini, teater muzikal Lantai T. Pinkie menampilkan penyanyi dan pelakon baru, Zera Hariz sebagai watak utama T. Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno, seorang penari remaja dan cantik di Singapura yang menjadi rebutan ramai pengunjung di Bunga Joget Moden pada zaman 1950-an selepas Perang Dunia Kedua.
Pengarah teater muzikal, Dr Rosminah Tahir mengakui bersikap terbuka sekiranya ada pihak yang membandingkan Zera dengan tiga lagi watak T. Pinkie sebelum ini yang diterajui artis berbakat besar seperti Tiara Jacquelina (1997), Nasha Aziz (2000) dan Vanidah Imran (2006).
“(Perbandingan) itu, saya alu-alukan kerana daripada situ, kita dapat lihat masyarakat mengikuti perjalanan naskhah ini dan secara tidak langsung, menyokongnya. Silakan, saya tiada masalah.”
Untuk membeli tiket sila hubungi 011 1329 7822 atau layari www.ilassotickets.com.
Selain Zera teater ini turut dijayakan Faysal Saad, Nabila Huda, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Tamimi Siregar, Linda Nanuwil, Carolyne Kamba, Zaifri Husin, Serra Kamal, Ewan Fauzi, Zuhairi Ibrahim, Syahril Kadir dan lain-lain.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.