Photo Envato/zelmab

Oleh Nury Kadir

Kisah ini popular suatu ketika dahulu, bekas isteri menang saman malu ke atas suami kerana menghinanya secara terbuka. Bekas suami yang pernah melemparkan penghinaan dan menjaja cerita dalam kelambu mereka dalam program bual bicara di media sosial akhirnya kecundang di penjara.

Ketika di penjara barulah bekas suami mengaku silap kerana telah mengeluarkan kata-kata menghina dot dot bekas isterinya b#$…i*.#&.n. Malah pernah mengeluarkan kata-kata agar dilakukan ujian DNA terlebih dahulu ke atas anak yang lahir hasil daripada perkongsian hidup mereka selama beberapa tahun.

Kesan daripada kata-kata penghinaan yang dikeluarkan itu amat besar terutamanya kepada emosi anak. Apatah lagi apabila ia menjadi ejekan teman-teman di sekolah. Emosi bekas isteri jangan ceritalah, hendak mengangkat muka ketika bertemu masyarakat sekeliling takut, malu dan rasa terhina.

Rasanya tidak perlulah diceritakan kisah itu secara terperinci kerana yang melakukannya telah menerima pembalasan. Namun malu yang ditanggung bekas isteri dan anak tidak ada pengakhirannya selagi kisah tersebut masih boleh digali dalam internet.

Sekadar mengambil iktibar daripada kisah tersebut agar kita tidak melakukan perkara yang sama. Tidak ada siapa yang tahu apa tujuan bual bicara itu diadakan dan apa niat mereka membicarakannya? Kalau tujuannya untuk content dan rating, ia memang salah. Sudah hilangnya rasa ihsan sesama manusia.

Apatah lagi kalau niatnya untuk membalas dendam pada pasangan dan mempertahankan ego yang telah tercalar. Walaupun ia sekadar untuk bergurau, menceritakan aib pasangan, tetap salah. Dalam Islam niat atau matlamat tidak menghalalkan cara.

Apabila diintai ke dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, isu menyebar aib telah banyak kali dibincangkan dalam konteks yang berbeza. Dipetik beberapa hadis yang menyentuh hal tersebut dari https://muftiwp.gov.my antaranya;

Daripada Abu Sa’id al-Khudriy, beliau berkata bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan bahawa mereka berada pada seburuk-buruk kedudukan di sisi Allah SWT. Terutamanya pada perkara-perkara sulit yang berlaku antara kedua-dua pasangan seperti hal-hal istimta’ (keseronokan antara suami isteri).

Ini menunjukkan bahawa membuka aib pasangan adalah perbuatan yang ditegah di sisi syarak kecuali terdapat beberapa keperluan dan hajat yang mendorong salah satunya untuk berbuat demikian. Ia sesuai dengan tuntutan ajaran Rasulullah SAW supaya berkata perkataan yang baik-baik atau diam sekiranya tiada keperluan.

Larangan ini juga ditambah dengan ancaman di akhirat seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya, “Orang yang membuka aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” (Riwayat Ahmad).

Tambahan pula, Allah SWT berfirman di dalam al-Quran, surah al- Baqarah ayat 187. Maksudnya; “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

Al-Tobari mensyarahkan, bahawasanya setiap pasangan suami isteri diibaratkan sebagai tempat tinggal yang memberi ketenangan dan ketenteraman antara satu sama lain. Mereka juga seperti satu selimut atau kain yang menutupi di mana mereka sewajarnya menutup segala hal-hal peribadi pasangan daripada diketahui orang luar. Jika salah seorang daripada pasangan mendedahkan aib pasangan maka seolah-olah mereka membiarkan diri tanpa pakaian atau sesuatu yang menutup.

Al-Tobari juga ketika menjelaskan makna ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah (229) berkaitan apa yang dimaksudkan dengan “…menceraikan (isteri) dengan cara yang baik” ialah setiap pasangan yang sudah bercerai seharusnya tidak berlaku zalim di antara satu sama lain dan mereka perlulah menunaikan hak masing-masing. Mereka juga dilarang untuk menyakiti atau menghina bekas pasangan dalam apa jua cara sekalipun sama ada menerusi perkataan atau perbuatan.

Selain itu, al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya terhadap maksud “menceraikan dengan cara yang baik” bahawa sewajarnya si suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya kepada orang lain sehingga orang lain menjauhinya, jika si isteri mahu berkahwin lagi dengan lelaki lain. Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka berdua. (https://muftiwp.gov.my)

Jika berlaku penceraian, tidak rugi pun kalau bekas isteri dan bekas suami menjaga keharmonian dan silaturahim demi anak-anak. Jangan dilepaskan kemarahan dan ego kepada bekas isteri mahupun suami kerana pada akhirnya yang memikul beban emosi adalah anak-anak. Bagaimana mereka hendak berhadapan dengan dunia jika pertuturan ayah yang memburukkan ibu mereka atau sebaliknya menjadi bualan.

Sama seperti mengumpat

Apa sebenarnya aib? Dilihat definsi kamus Dewan, aib adalah rasa hina atau malu akibat perbuatan keji oleh seseorang anggota keluarga dan sebagainya, cela, nama buruk dan penghinaan.

Mencerita aib adakah sama dengan mengumpat? Sama! Mungkin ada yang beranggapan kita cerita benda benar bukan hendak mengumpat. Sebenarnya bercerita tentang sesuatu perkara buruk mengenai orang lain walaupun benar, ia termasuk di dalam mengumpat. Apabila mengatakan sesuatu yang tidak benar tentang orang lain maka ia sudah jatuh fitnah.

Photo Envato/Rawpixel

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menyentuh isu menyebarkan aib di dalam laman web miliknya Maktabah al-Bakri, bahawa perbuatan mengaibkan orang adalah satu perbuatan yang tidak baik dan berdosa.

Hal ini kerana dengan membuka aib seseorang, orang sekelilingnya akan memandang serong dan menjatuhkan maruahnya. Bahkan, apabila perkara yang dikatakan itu tidak benar, maka itu sudah jatuh fitnah. Oleh itu, orang yang membuka aib seseorang, secara tidak langsung sebenarnya telah melakukan ghibah (mengumpat) yang diharamkan.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (al-Hujurat ayat 12)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi.

Malah Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda. Maksudnya; “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat? Para sahabat berkata: ‘Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (Riwayat Muslim)

Aib ini adalah perkara yang boleh menjatuhkan maruah seseorang, di samping mendatangkan rasa malu kepada orang yang rapat dengannya kerana ada sesuatu keadaan yang tidak elok padanya didedahkan atau diketahui umum. Ia akhirnya boleh menatijahkan kesan yang sangat negatif sehingga membawa kepada gangguan mental atau memungkinkan ia berakhir dengan kematian.

Syarak menekankan umat Islam keseluruhannya untuk menutup aib orang lain agar tiada yang mengetahui keburukannya kecuali Allah SWT. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim) (https://maktabahalbakri.com)

Marilah kita sentiasa melazimi doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW agar Allah sentiasa menjaga aib kita daripada tersebar. Daripada Ibn Umar, bahawa Rasulullah SAW sering mengulang-ulang doa ini pada waktu pagi dan petang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي. اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي. اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan harta bendaku. Ya Allah, tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah, peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

*BERSAMBUNG
Artikel akan datang akan mengupas pula tentang aib yang boleh diceritakan dan untuk tujuan apa diceritakan.

Previous articleTeater muzikal Lantai T. Pinkie dipentaskan semula Oktober ini.
Next articleMenangi cabutan bertuah di Konsert Rock Kapak 7 Oktober ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here