Oleh Nafsiah Jani
Foto Afhzahafiez Bin Kamaruddin
Pembedahan bariatrik yang dianggap sebagai pembedahan kosmetik kini semakin menjadi pilihan sebagai rawatan klinikal untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan.
Prosedur itu bukan saja boleh mengatasi masalah obesiti, tetapi turut memberikan manfaat daripada sudut kesihatan. Ini kerana keberkesanannya membantu golongan itu pulih daripada penyakit metabolik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.
Pakar bedah bariatik, Dr Mustafa Mohammed Taher berkata, Cara hidup dan pemakanan terlalu mewah menyebabkan ramai rakyat Malaysia mudah menghidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi hingga terpaksa mengambil ubat lebih daripada satu.
“Berbanding rakyat dikebanyakan negara di Asia seperti Indonesia dan Thailand, individu yang sama dengan berat badan yang sama serta penyakit yang sama, namun jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia mereka mungkin hanya memerlukan sejenis ubat sahaja tetapi tidak kepada rakyat di negara ini.
“Kalau umur 40 lebih itu biasa kalau dapat penyakit kencing manis dan darah tinggi, padahal benda ini tak betul. Kita kena beri kesedaran dan pendidikan kepada pesakit, bahawa pencegahan lebih baik daripada perawatan. Jika mahu merawat pesakit yang mempunyai masalah obesiti, lebih baik kita rawat mereka sebelum mereka mendapat obesiti.
“Pembedahan bariatrik membolehkan pesakit mendapat peluang kedua kearah kehidupan kesihatan yang lebih baik. Meningkatkan keupayaan fizikal, mengurangkan berat badan serta merawat masalah penyakit yang disebabkan masalah berat badan yang berlebihan,” ujarnya lagi.
Dr Mustafa Mohammed Taher menambah, Pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik bukan hanya sekadar dilayan ketika sedang mendapatkan rawatan sebaliknya, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun.
“Bagi memastikan pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan akan sentiasa berada dalam keadaan sihat serta tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan mahupun komplikasi selepas itu.
“Kita bukan hanya buat surgeri lepas itu bye… bye…tiada touch n go. Kita akan terus memantau keadaan pesakit bergantung kepada pembedahan yang dilakukan. Kita buat benda ini (pembedahan) untuk gaya hidup dan kita akan pastikan ada follow up sampai lima tahun untuk memantau keadaan mereka,” katanya pada sidang media meraikan kejayaannya yang diiktiraf sebagai salah seorang Pakar Bedah Terbaik Asia Pasifik.
Turut hadir artis yang pernah mendapatkan khidmat pembedahan bariatrik bersama Dr. Mustafa iaitu penyanyi Ziana Zain, Datuk Ziela Jalil, Datuk Khadijah Ibrahim dan Zarina Zainuddin.
Beliau juga memberitahu bakal menganjurkan sebuah konsert artis terkenal pada bulan November ini bagi mengumpul dana membantu orang ramai yang kurang berkemampuan untuk menjalani pembedahan ini.
Dr Mustafa yang juga Pakar Perundingan dan Pembedahan, Pusat Perubatan Hospital Cengild, Bangsar berkata, Pemantauan susulan itu bergantung kepada pesakit terbabit.
“Jika seseorang pesakit itu mempunyai berat badan yang lebih maka mereka akan menerima pemantauan yang kerap berbanding pesakit-pesakit lain.”
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.