Oleh Nafsiah Jani
Portal mStar yang menyambut ulang tahunnya yang ke-18 pada tahun ini turut mengambil kesempatan melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mStar Baek di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor.
Program ini turut mendapat tajaan dan sokongan penuh Noir Health & Beauty. Majlis keraian dan kesyukuran ini dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis dan pempengaruh media sosial serta persembahan artis-artis seperti Zaiton Sameon, Ibnor Riza, Ruhil Amani Husin dan Haiza.
Majlis tambah bermakna apabila Ikon Seni Negara, Datuk Aznil Nawawi sudi hadir bagi menandatangani plaque simbolik ulang tahun ke-18 mStar. Turut hadir Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah dan Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star, Esther Ng.
Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah berkata, mStar Baek secara amnya bertujuan untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan terutamanya golongan artis.
“Pengenalan mStar Baek ini tercetus selepas melihat ramai penggiat seni yang sakit dan dilanda kesusahan dalam menjalani kehidupan seharian. Golongan ini seakan-akan tidak dipedulikan lagi sedangkan mereka pernah menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat seni masing-masing.
“Oleh itu, mStar selaku portal hiburan berasa bertanggungjawab untuk membantu golongan ini menerusi projek CSR. Program mStar Baek dalam bentuk rakaman video sebanyak 10 episod ini akan bersiaran pada setiap Khamis bermula 5 Oktober lalu di portal mStar serta semua platform media sosialnya termasuk YouTube dan Facebook.”
Tambah Niezam lagi, mStar bersama Pengasas Noir Health & Beauty, Madammu atau nama sebenarnya, Eriyca Baiduri sudah menyantuni 10 selebriti terpilih untuk program CSR ini.
“Mereka yang terpilih telah menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan lain. Kami percaya, ramai lagi penggiat seni yang diuji dengan pelbagai cabaran hidup dan berharap program mStar Baek ini mampu menjadi plaftorm dalam membantu golongan ini dengan kerjasama pihak-pihak tertentu yang bersedia bekerjasama menjadi penaja,” katanya.
Antara artis yang disantuni dan menerima sumbangan termasuklah Zaiton Sameon, Mak Jah, Bad (Indigo), Mak Wan Latah, Ibnor Riza, Roy (Ratnaku) Wan Maimunah, Alina Hassan, Ali XPDC dan Izwan Fitri.
Pengasas Noir Health & Beauty, Madammu pula berkata, kolaborasi bersama mStar bertepatan dengan objektif mereka dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Saya rasa peluang ini tak boleh saya lepaskan kerana kami di Noir sentiasa mengadakan CSR untuk membantu mereka yang perlukan bantuan dan yang perlu dibantu.
“Jadi apabila mendapat tahu tentang projek mStar Baek, saya rasa objektif kami sama dan saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan mStar untuk program-program sebegini,” katanya.
Selain sumbangan wang tunai dan barangan lain daripada Noir, para selebriti terlibat turut mendapat sumbangan berupa barangan keperluan asas daripada Bernas seperti beras dari Jasmine, tepung (Era) dan gula (CSR) serta barangan kesihatan daripada Eskayvie.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.