Datuk Zainalabidin turut menjayakan majlis amal ini

Oleh Nafsiah Jani

Penyanyi Datuk Zainalabidin antara barisan artis yang bakal menjayakan Program An Evening of Truly Malaysia Festival Charity Gala Dinner Fashion Runway (Malam Gala Amal Runway Fesyen Warisan Malaysia ) jam 8 malam pada 4 November ini di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Cheras.

Selain Datuk Zainalabidin, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan penyanyi Ayu Damit dan Zahid AF2 yang akan bertindak sebagai pengacara majlis.

Program anjuran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) Putrajaya, dengan kerjasama Projek Extra Chromosome Extra Awesome Festival (ECEAF) ini bertujuan menampilkan keunikan dan kebolehan individu terutamanya anak-anak dengan Sindrom Down.

Pengerusi PPDKSD, Hanizan Hussin berkata, kami gembira kerana pada malam tersebut beberapa artis bersetuju untuk membantu kami bagi menjayakan malam penuh bermakna ini.

“Selain persembahan artis, malam amal ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang anak-anak Sindrom Down dan keperluan khas yang mereka perlukan. Ia juga untuk mencungkil bakat seramai 49 orang kanak-kanak sindrom down yang akan berkongsi pentas bersama 21 orang ratu cantik Malaysia.

“Mereka akan mengayakan koleksi kasut pereka terkenal Malaysia iaitu Nottingheels dan Bloomskin serta memperagakan koleksi rekaan fesyen tradisional eksklusif dan terkini daripada tujuh pereka fesyen tempatan seperti Nana Bridal Kuala Lumpur, Collar KL, Adore Kids, Anak Jantan Kuala Lumpur, Rahsia, Khatam, Starvillion dan ramai lagi,” katanya lagi.

Peserta kanak-kanak ini merupakan anggota ECEAF yang merupakan gabungan beberapa pertubuhan yang memperkasakan kebajikan dan hak golongan sindrom down, iaitu PPDKSD Putrajaya, Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor (ORKIDS) dan Persatuan Warga Sindrom Down Selangor (PWSDNS). Begitu juga Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Taska Anak Anak Istimewa Sindrom Down (AnISD) serta anak-anak kelainan upaya yang lain seperti Austism dan sebagainya.

Hanizan Hussin menambah,program tersebut adalah inisiatif pihaknya untuk menampilkan keunikan dan kebolehan individu berkeperluan khas, terutamanya anak-anak sindrom down.

(Dari kiri) Pengerusi PPDKSD, Hanizan Hussin bersama founder Nottingheels, Amy Chiew dan Hafida menunjukkan kasut yang bakal di lelong pada malam tetsebut.

“Selain mengumpul dana pengoperasian pertubuhan, kita juga dapat mengenali dan mencungkil bakat terpendam yang ada pada anak-anak sindrom down untuk meningkatkan keyakinan diri dan memberi pendedahan kepada mereka tentang dunia fesyen,” ujarnya.

Tambahnya, kemuncak majlis adalah Program Lelongan untuk setiap rekaan kasut dan fesyen di mana semua hasil jualan akan disumbangkan sepenuhnya ke akaun ECEAF.

Bagi yang berminat untuk menyertai atau ingin mengetahui maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 019-669 6494 atau [email protected] atau [email protected] atau hubungi 019-476 5109 (Asma’).

Previous articleMendedah aib yang dibolehkan Syarak (Bahagian 2)
Next articleKhasiat Buah betik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here