Oleh Wawa Najwa
SELEPAS berduet dengan Bunga menerusi lagu Intan Payung, kini Noraniza Idris, 55, memilih Hazama pula sebagai pasangan duetnya untuk lagu Penawar Kita.
Lagu Penawar Kita merupakan ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta yang menggabungkan elemen tradisional dan moden yang sinonim dengan perwatakan nyanyian dari Noraniza dan Hazama.
Tatkala ditanya kenapa memilih Hazama yang lebih kepada irama rock, jelas Noraniza atau mesra dengan panggilan Ani, katanya, lagu Penawar Kita memerlukan tenaga seorang lelaki dan sebab itulah beliau memilih penyanyi tersebut.
“Single ini berkonsepkan fusion zapin. Ani pilih Hazama sebab konsep lagu ini ada satu groove yang memerlukan energy orang lelaki, jadi Ani nampak dari segi vokal kuat untuk bawa lagu zapin ini adalah Hazama paling sesuai.
“Sebab dia ada satu tone suara yang sesuai dengan lagu itu. Waktu Ani buat rakaman sekali lalu dengan dia, kita dapat rasa aura suara vokal dia memang match dengan lagu ini. Lagipun single ini tak sama macam buat lagu Irama Malaysia dulu.
“Kali ini 100 peratus Ani amat menitik beratkan dari segi muzik dan koreografi. Muzik sikit pun kita tak nak yang program, kita nak live. Tapi yang ini Ani serah kepada Luca sepenuhnya sebab zaman dulu dengan sekarang berbeza,” katanya kepada Lady Bosz.
Ani melahirkan rasa syukur kerana sewaktu melamar untuk menjadi pasangan duetnya, Hazama tidak menolak sebaliknya memberitahu yang dia memang menunggu peluang tersebut.
“Masa tu kebetulan jumpa Hazama kat stesen TV3. Dia bercerita tentang aktivitinya yang sibuk shooting dan sambil sembang tu Ani sempat minta Yus (Pegawai Perhubungan Awam) bagi ‘hint’ nak ajak dia buat projek single.
“Tak sangka pula, sekali Yus tanya, dia berminat. Dia kata dah lama minat Kak Ani dan tak menolak permintaan itu. Bila dia bagi jawapan tu, Ani rasa diri sangat kecil sangat sebab ada juga anak-anak muda sekarang nak berduet dengan Ani lagu macam ni.
“Kebetulan lagu ini pula terbitan syarikat sendiri dan Luncai Emas, jadi Hazama kata tak ada masalah sebab dia dah tunggu lama nak duet lagu etnik dengan Ani. Seronoklah bila dia kata begitu,” cerita Ani yang sedia mengikuti trend muzik semasa.
Tambahnya, rakaman Penawar Kita dibuat selepas dia selesai menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada 2020. Namun lagu tersebut hanya menemui orang ramai menerusi video muzik pada 10 November 2023.
“Lepas rakam vokal tu kononnya nak lancar cepat tapi tergendala sebab Ani banyak fokus kepada perkara lain dan jadi hold dulu selama setahun. Sampailah Datuk M.Nasir panggil Ani untuk rakam semula, sebab dia tak puas hati dengan rakaman mula tu.
“Jadi kita buat rakaman lagi, sebab Datuk M.Nasir tak puas hati dengan kualiti vokal. Rakaman awal tu dibuat selepas GV. Lepas GV, Ani ada masalah vokal chord, macam tonsil itu mudah bengkak, ada diserang resdung juga waktu itu. Itu yang Datuk M.Nasir kata dia tak suka dengar suara Ani itu. Dia nak suara yang sebenar.
“Itu yang dibuat rakaman semula pada Jun lalu dan rakaman kali ini dia yang jaga. Kami kena rakam penuh lagu itu seorang-seorang, daripada situ barulah dia gabungkan. Dah siap baru kita tahu part masing-masing. Masa buat video muzik (MV), jenuh tengok part mana suara masing-masing,” katanya lagi.
Tambah Ani, Penawar Kita berunsur nasihat supaya setiap orang ada rasa kasih sayang kerana masyarakat sekarang sering ada rasa tidak puas hati dan berbalah antara satu sama lain.
Selepas single ini, Ani rancang untuk keluarkan lagu tradisional macam Irama Malaysia yang pernah dihasilkan sebelum ini. Bagi Ani, kalau lagu itu (Irama Malaysia) tak boleh dijual di digital, sekurang-kurangnya dia ada koleksi sendiri.
“Memang hajat Ani nak buat lagu-lagu macam tu, sekarang ini tak fokus industri ini persaingan tapi lebih kepada nak memeriahkan industri, asalkan irama Malaysia tu ada.
“Sebenarnya, Ani terpanggil nak keluarkan single Penawar Kita sebab Ani suka tengok Haziq punya rezeki. Lagu Lemak Manis yang dia nyanyikan itu menjadi satu inspirasi kepada Ani dan itu yang ambil peluang release juga lagu ini,” katanya.
Jual muruku Cik Ani Premium
Jika sebelum ini Ani lantang bersuara untuk mempertahankan seni budaya Melayu tapi selepas menjadi mangsa scam (penipuan) dia lebih berhati-hati.
Ani yang mendapat julukan Ratu Irama Malaysia, tahun lalu menguar-uarkan akan menjayakan Konsert Malai Solo Noraniza Idris di Panggung Sari Istana Budaya, bagaimana pun tidak kesampaian.
“Ani suka buat kerja-kerja untuk seni budaya tapi sejak kena scam, dah jadi malas nak buat untuk budaya, baik buat untuk diri sendiri saja. Sebab orang lain pun tak nak fikir pasal benda ini, buat apa kita nak pening.
“Lepas tu bila tak buat rasa bersalah pula. Semangat tu ada tapi untuk carry macam dulu dah jadi down. Apa yang Ani buat sekarang ini kalau orang suka, itu bonus. Ani masih buat modal insan dan program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) sebab program itu jiwa Ani.
“Ani suka program berbentuk pembangunan seni budaya tapi untuk Ani bawa pergi ke konsert dah tak ada. Bila kita di jalan betul tapi orang yang carry tu bawa cara lain dan sekali gus akan matikan semua.
“Nak balik aktif ni sebab Ani pegang nasihat Datuk Awie. Dia kata, buat apa nak fikir pasal orang lain, baik fikir pasal diri sendiri saja. Aku kena teruk sampai jatuh, tapi aku fikir tak apa rezeki ni Allah yang punya.
“Kau jangan melawan netizen ni, dunia industri ini mereka yang punya. Kita ni kecil saja, kalau kau rasa kau buat betul, diam saja. Kau fokus apa yang kau nak buat. Jadi Ani transform diri untuk keluar daripada kepompong dari seni terus ke perniagaan cookies,” katanya yang kembali bersemangat.
Kini Ani berjinak-jinak dengan bisnes dan sering menyertai acara StarVendors anjuran Ifa Raziah untuk menjual muruku keluarannya.
“Pertama kali Ani sertai program Ifa Raziah kat Pasir Gudang, sebelum raya tahun ini. Rasa sebak sangat bila buat perkongsian dengan peniaga-peniaga wanita yang sertai StarVendors kerana mereka dah pergi jauh, sedangkan Ani baru nak belajar. Ifa kata tak apa, follow je StarVendors, itu yang Ani ikut karnivalnya.
“Kadang-kadang kejayaan kekawan itu buat kita terinspirasi. Sekarang ini Ani dah ada kerjaya baru selain seni. Itu yang sekarang bila dah sampai satu tahap hingga dapat buka kilang di Taman Impian Jaya, Kajang, itu yang Ani rasa gembira.
“Ani jual muruku yang diberi nama Cik Ani Premium di bawah syarikat Cik Ani Premium Sdn. Bhd., dan setakat ini baru ada 10 orang pekerja. Nama Noraniza Idris hanya untuk bidang nyanyian saja.
“Ada tiga perisa dan Ani guna resipi keluarga yang diolah ikut cita rasa Ani. Kalau asalnya kerinting tapi Ani buat bulat-bulat dan lebih rangup.
“Kalau nak beli kat festival saja. Belum buka online lagi sebab kita sedang praktis untuk hasilkan daripada 30 kilo sehari kepada 180 kilo sehari. Sebab kita nak keluakan 16,000 balang sebulan. Itu masih belum dapat,” kata Ani tentang perniagaannya itu.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.