Oleh Syed Wafa
Foto Khalil Makata & Kusha
Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur digegarkan dengan konsert Gendang Pati M. Nasir. Lebih 3,000 penonton begitu terhibur dengan persembahan bertenaga Datuk M. Nasir,66 dan terbukti otai masih berbisa.
Penyanyi Datuk M Nasir sempat berjenaka apabila konsert Gendang Pati ‘full house’ berlangsung pada hari dan waktu sama dengan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 pada Sabtu lalu.
M. Nasir bertanya kepada penonton, adakah mereka tidak menyesal kerana tidak hadir ke konsert penyanyi wanita tersebut di Axiata Arena, Bukit Jalil?
“Tak menyesal ke, tak pergi konsert Aina Abdul?,” seloroh beliau yang hanya mengenakan satu persalinan berwarna hijau hasil rekaan SETH&LUNA. Rata-rata penonton ketawa memecah dewan.
Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi apabila penyanyi bergelar sifu itu ‘membawa’ peminat menelusuri muzik Melayu nusantara dengan menyanyikan 20 lagu popularnya.
Sering tampil dengan kelainan dalam konsert persembahannya, konsert kali ini turut mengundang kumpulan koir dari Sekolah Menegah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet,Ipoh,Perak iaitu Sam Tet Voices bagi mengiringi Lagu Bagaikan Sakti.
Antara lagu lain dipersembahkan adalah Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Kias Fansuri, Melawan Arus, Langgam Pak Dogo, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta, Sentuhan Listrikmu, Mustika, Apokalips dan Mentera Semerah Padi.
Konsert anjuran MND Sports & Events itu turut menyaksikan beliau mendendangkan lagu berjudul Masirah yang diinspirasikan daripada kisah sebenar pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah.
Sambil berhibur, konsert berdurasi tiga jam itu juga menitipkan doa qunut nazilah dan bacaan puisi ‘Thaurah Palestin’ oleh Amerul Affendi, hasil karya Datuk Dr Usman Awang khusus buat rakyat Palestin.
Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur tidak lengkap tanpa iringan 16 pemuzik hebat antaranya pengarah muzik dan pemain gitar, Aznan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) dan ramai lagi.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.