Oleh Wawa Najwa
Keunikan ‘Putrajaya Green Light Run 2023’ yang berlangsung di Anjung Floria, di sini pada Sabtu lalu menarik kehadiran lebih 8,000 pengunjung.
Menampilkan larian sebagai kemuncak acara pada sebelah malam, perlumbaan mengejar lampu isyarat yang diinspirasikan acara di Tokyo, Jepun itu adalah anjuran Tune Advertising Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising Sdn. Bhd, Muhammad Hafiz Rozlan berkata, keunikan larian berkonsep seumpama itu yang pertama di negara ini, membezakan perlumbaan terbabit dengan pertandingan lain.
“Inilah keistimewaan ‘Putrajaya Green Light Run’ yang bukan sahaja memerlukan peserta bersaing dengan pelari lain, bahkan menguji kekuatan tenaga serta mental semua pelumba mengatasi kepantasan masa lampu isyarat.
“Sekiranya gagal melepasi waktu selepas lampu isyarat bertukar merah, pelari perlu berhenti untuk menunggu warna lampu berubah hijau semula.
“Melihat demografi jalan utama di pusat pentadbiran negara ini yang unik dengan adanya beberapa lampu isyarat di sepanjang laluan perlumbaan, kami yakin cabaran 7 kilometer itu juga membuatkan peserta teruja untuk ke garisan penamat,” katanya selepas pelepasan peserta.
Majlis pelancaran serta melepaskan perlumbaan di garisan permulaan disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan berkata, keindahan serta kelebihan yang ditawarkan Putrajaya yang juga pusat pentadbiran negara itu menjadi bonus buat penganjur serta peserta program memanfaatkan segala kemudahan sekaligus menikmati keindahan lokasi tarikan ramai.
“Kita boleh nampak potensi Putrajaya dalam pembangunan sukan riadah atau aktiviti seumpamanya melihatkan keadaan lokasi ini yang boleh dijadikan hub bagi program seumpamanya.
“Jadi jangan sia-siakan kemudahan sedia ada yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti dan acara terutama membabitkan gaya hidup sihat.
“Seperti penganjuran larian ‘Putrajaya Green Light Run’ ini, perlumbaan mengejar lampu isyarat sesuatu yang unik sekali gus mempunyai tarikan tersendiri.
‘Diharapkan program ini diteruskan pada tahun hadapan,” katanya yang menyempurnakan majlis pelancaran.
Terdahulu, cabaran larian bermula pada jam 8.30 malam dan memerlukan pelari mempunyai stamina, strategi dan memberikan fokus dalam melepasi semua lampu isyarat di sepanjang laluan.
Pada masa sama, katanya, ‘Putrajaya Green Light Run 2023’ yang berkonsepkan sebuah karnival yang bermula pada sebelah siang itu juga sarat aktiviti untuk semua lapisan usia.
Antaranya adalah sesi karaoke terbuka, permainan pentas, lukisan wajah kanak-kanak, Bazar Makanan, zumba bersama penyanyi Nas Adilla, Belon Udara Panas, serta Konsert Mini membariskan artis popular tanah air.
“Selain acara larian, pengunjung turut dihiburkan persembahan konsert terbuka yang dihoskan Fara Fauzana dengan barisan penyanyi terdiri daripada Ernie Zakri, Afieq Syazwan Amir Masdi dan ramai lagi.
“Sambil menikmati pilihan lagu hits secara ‘live’ dan merasai suasana di Putrajaya, pengunjung seisi keluarga boleh menyertai pesta jualan selain mengikuti pelbagai aktiviti menarik termasuk belon udara panas.
“Ini juga antara tujuan untuk masyarakat sekitar mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah bersama sahabat dan keluarga turut mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi riadah pada waktu malam,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan, Tune Advertising Sdn. Bhd. turut menawarkan hadiah berupa baucer Decathlon, Skuter Elektrik, Smart TV 55 inci serta Motosikal Modenas untuk cabutan bertuah kepada peserta.
Acara ini ditaja VFive Group, Gloria Jeans, 1901 Hotdog dan Decathlon yang juga penganjuran bersama Kelab Kita Kasih Malaysia dan Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Tourism Malaysia.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.