Oleh Wawa Najwa
Lagu ‘Dawai’ nyanyian Fadhilah Intan yang dijadikan runut bunyi untuk filem “Air Mata Di Ujung Sajadah” itu bukan setakat tular di Indonesia, malah turut mendapat perhatian di Malaysia.
Kalau sesiapa yang nak tengok Fadhilah Intan menyanyi secara langsung di hadapan mata anda, jangan lupa untuk bertemu dengannya di Spice Arena, Pulau Pinang pada 3 Februari 2024 sempena Konsert Wali ‘Cari Jodoh & ‘Dawai’ In Penang.
Konsert anjuran Orange International yang akan bermula pada pukul 8.30 malam itu selain menampilkan Wali Band, turut dimeriahkan oleh penyanyi Malaysia iaitu Khai Bahar dan Saixse.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Orange International, Datuk Mohd Fadzli Idrus berkata, ini adalah kali pertama Fadhilah Intan hadir mengadakan persembahan di Malaysia.
“Setelah kejayaan konsert Radja dan Ella tempoh hari, Orange International sekali lagi membawakan hiburan dari seberang iaitu kumpulan pop popular Indonesia, Wali Band buat peminat yang berada di sebelah utara khususnya Pulau Pinang.
“Selain Wali Band, turut ditampilkan, penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Fadhilah Intan yang viral dengan lagu ‘Dawai’ dan ini merupakan kemunculan pertamanya di Malaysia, selain penyanyi tempatan iaitu Saixse dan Khai Bahar,” jelasnya.
Konsert yang dijangkakan akan berlangsung selama dua jam lebih ini bakal diserikan dengan persembahan di antara 13 sehingga 15 buah lagu kesemuanya bergantung permintaan penonton dengan mengangkat tema ‘hijau’ bersempena program ‘Eco-Schools’ yang diuar-uarkan kerajaan.
Untuk itu, kata Mohd Fadzli, pihaknya menggalakan penonton yang hadir untuk mengenakan pakaian berwarna hijau pada malam konsert tersebut sebagai tanda sokongan terhadap program Eco-Schools.
“Saya berharap agar peminat muzik akan terus menyokong kami dalam memberikan hiburan yang terbaik dan paling penting agar semua ‘enjoy’ dan ‘sing-along’ pada malam konsert dua jam tanpa henti dengan seleksi lagu dari pelbagai genre yang bakal dibawakan,” katanya.
Jelasnya, sambutan hangat yang diberikan untuk konsert ‘Jujur Takkan Melupakanmu, Live In Concert Radja (Penampilan Istimewa Ella)’ pada November lalu membuatkan pihaknya terus berkembang dan berhasrat untuk memajukan industri hiburan tanah air, ekonomi serta aktiviti pelancongan dalam negara.
Wali Band yang ditubuhkan pada 1999 dan dianggotai oleh Faank (vokalis), Apoy (gitaris), Tomi (pemain dram) dan Ovie (pemain keyboard) merupakan salah satu kumpulan pop Indonesia popular dalam menyampaikan lagu-lagu bergenre alternatif, rock, religi, balada dengan sentuhan etnik Melayu.
Antara lagu dendangan Wali Band yang menjadi kegemaran ramai adalah “Baik-Baik Sayang,” “Cari Jodoh,” “Doaku Untukmu Sayang” dan “Ada Gajah Di Balik Batu.”
Bagi yang ingin menonton Konsert Wali ‘Cari Jodoh’ & ‘Dawai’ In Penang, tiket-tiket boleh dibeli di: ticket2u.com.my/walipenang atau talian hotline +6011-1133 7638.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.