Oleh Nury Kadir

Satu lagi isyarat jari yang sering menjadi ikutan anak muda adalah (menyilangkan jari telunjuk dan jari tengah) finger cross. Kebiasaannya digunakan masyarakat barat sebagai ‘doa’ atau harapan untuk tuah atau beroleh keuntungan serta nasib baik terhadap pekerjaan yang dilakukan. Dalam bahasa mudahnya isyarat itu mengharap tuah dan menghindar nasib malang.

Manakala kanak-kanak menggunakan isyarat finger cross apabila berbohong ‘harus’ atau bercakap bohong dengan niat baik. Ia boleh juga ditafsirkan sebagai setelah berjanji tetapi terpaksa mungkiri atas sebab kebaikan.

Asal usul isyarat tersebut tidak diketahui secara jelas, namun ada sumber yang mengatakan bahawa ia telah digunakan oleh penganut agama Kristian sejak awal abad ke-16 sebagai simbol memohon kekuatan, bimbingan dan panduan dari Tuhan. Pada abad yang sama, isyarat itu digunakan di England untuk menghalau roh jahat. Selain itu, isyarat tersebut juga sering digunakan jika seseorang bersin atau batuk sebagai ganti ungkapan ‘God bless you’.

Ada yang bertanya apakah hukumnya jika perbuatan finger cross itu adalah merujuk kepada doa untuk mendapat nasib yang baik? Adakah ia menyerupai penyembahan kepada salib dan memohon kepadanya?

Ini adalah jawapan yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my) dengan memulakan hujahnya bahawa hukum melakukan isyarat tangan adalah diharuskan seperti mana kaedah fiqh yang menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

Menurut kajian, Larry Ray Palmer, dakwaan bahawa isyarat itu untuk menghindar keburukan dan memohon kebaikan adalah tidak benar kerana tidak ada bukti yang kukuh. Wujud teori yang menyatakan bahawa isyarat ini digunakan oleh penganut agama Kristian pada era awal bagi menyembunyikan identiti agamanya kerana mengamalkan agama Kristian menjadi satu kesalahan ketika itu.

Oleh itu dengan memberi isyarat finger cross mereka dapat mengenali satu sama lain dan menjadikan ia sebagai isyarat rahsia. Pada era peperangan di antara Perancis dan England pada tahun 1337 hingga 1457, isyarat finger cross digunakan oleh tentera berpanah sebelum menarik tali busurnya sebagai tanda doa dan mengharap untuk mendapat keberuntungan yang baik agar anak panahnya menepati sasaran.

Berdasarkan kenyataan di atas, isyarat finger cross bukanlah satu isyarat khusus bagi agama Kristian seperti salib bahkan ia tidak diamalkan dalam upacara keagamaan itu. Walau bagaimanapun, perbuatan mempercayai keberuntungan dan nasib baik akan berlaku dengan melakukan isyarat finger cross adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Hal ini kerana keberuntungan dan nasib hanya ditentukan oleh takdir Allah SWT.

Hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin Ya’mur RA, Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Beriman kepada Allah SWT, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir baik dan buruk.” (Riwayat Muslim)

Di samping itu, melakukan isyarat finger cross serta mempercayainya adalah amalan segelintir daripada mereka yang bukan Islam dan fasik. Hal ini dibimbangi akan terjerumus dengan ancaman tasyabbuh atau menyerupai mereka.

A hand with fingers crossed
Photo by Karen Laårk Boshoff on Pexels

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar sabda Nabi SAW, maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Imam al-San’ani di dalam karyanya Subul al-Salam menyebut bahawa hadis ini menerangkan tentang mereka yang menyerupai golongan fasik, kafir atau ahli bidaah khususnya dalam meniru pakaian, tunggangan dan perbuatan mereka.

Walaubagaimanapun, sesetengah ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie pula mengatakan, sesiapa yang mengenakan pakaian khas orang kafir, tidak jatuh kafir kecuali jika ia beriktikad dengan iktikad kufur tersebut. Sebagaimana kata al-Imam Abu Hanifah, “Seseorang tidak keluar daripada iman kecuali daripada pintu yang ia masuki, maka masuk ia ke dalam Islam menerusi perakuan dan pembenaran, sedangkan kedua-duanya masih kekal.”(Al-Fatawa al-Bazzaziyyah)

Mazhab Hanbali pula mengatakan haram memakai pakaian bukan Islam yang merupakan syiar agama mereka. Kata al-Buhuti, “Jika seorang Muslim memakai pakaian yang menjadi syiar ahli zimmah (kafir yang tunduk di bawah kerajaan Islam), atau menggantung salib pada dadanya, hukumnya haram, namun ia tidak kafir dengan demikian, tetapi berdosa seperti kemaksiatan yang lain.”

Pandangan ini juga sama dengan apa yang diutarakan oleh al-Nawawi yang mengatakan, seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian ia tidak kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka).

Bagi para ulama yang menghukumkan kufur kepada pemakai pakaian khas orang kafir, mereka meletakkan beberapa syarat. Antaranya hendaklah ia melakukannya di negara Islam bukan di negara kafir. Ini kerana di negara kafir, terdapat andaian kemungkinan ia tidak mendapati pakaian lain kecuali pakaian tersebut. Kedua, melakukannya tanpa sebarang darurat seperti dalam suasana peperangan dan beberapa lagi syarat lain. (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah)

Sebenarnya perbincangan larangan penyerupaan ini sangat panjang tetapi cukuplah untuk kali ini hanya disentuh satu sahaja iaitu menyerupai orang kafir dalam berpakaian. Sepatutnya ada lagi dua penyerupaan yang dilarang iaitu menyerupai orang kafir dalam perayaannya dan ketiga menyerupai orang kafir dalam beribadat.

a group of people dressed in nun costumes
Photo by Vitaliy Shevchenko on Unsplash

Berbalik pada isu asal, jika isyarat finger cross ini boleh mendatangkan kejanggalan dan bercanggah dengan adat kebiasaan masyarakat maka hendaklah ia dihindari dan dijauhi.

Imam al-Ghazali di dalam karyanya Ihya’ ‘Ulum al-Din menukilkan sebuah hadis yang menyebut; أَنْ يَتَّقِيَ مَوَاضِعَ التُّهَِ
Maksudnya, “Hendaklah berhati-hati dengan ruang-ruang tohmahan.”
Berdasarkan hujah di atas, dapat disimpulkan bahawa boleh melakukan apa-apa isyarat atau finger cross atas apa-apa tujuan atau pemudah cara komunikasi dan semata-mata isyarat sahaja. Namun kena mempercayai sepenuhnya bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan untung nasib dan takdir seseorang itu.

Walau bagaimanapun sekiranya boleh mendatangkan fitnah dan tohmahan, maka hendaklah menghindarinya. Bahkan haram sekiranya mempercayai dengan melakukan isyarat finger cross boleh mendatangkan keuntungan dan nasib baik serta dapat menghindari perkara buruk. Bagi umat Islam, seharusnya seseorang itu mengucapkan salam dan berdoa kepada Allah SWT agar mendapat kebaikan dan dihindari daripada keburukan. (www.muftiwp.gov.my)

Segala-gala yang kita perolehi di dunia ini datangnya daripada Allah SWT. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai hamba-Ku, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang Aku berikan makan. Maka mintalah makan kepadaku, niscaya aku akan berikan. Wahai hamba-Ku, kalian semua tidak berpakaian, kecuali yang aku berikan pakaian, Maka mintalah pakaian kepada-Ku, niscaya akan aku berikan.” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam Ibn Rejab al-Hanbali, hadis ini menjadi dalil bahawa Allah SWT suka akan hamba-Nya yang meminta daripada-Nya segala permintaan yang berkaitan dengan maslahah ukhrawi dan duniawi, sama ada makanan, minuman, pakaian dan lain-lainya, sebagaimana dia berdoa supaya dikurniakan hidayah dan petunjuk. Kerana itu, sewaktu berdoa, kita sebenarnya sedang menzahirkan rasa kebergantungan dan betapa perlunya kita kepada Allah SWT.

Perhatikan juga pesanan Rasulullah SAW kepada Ibn ‘Abbas, maksudnya: “Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu.”(Jami’ Tirmizi)

Ditinggalkan artikel ini dengan sepotong doa yang selalu dibaca Rasulullah SAW, hadis yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata: maksudnya: “Doa Nabi SAW yang paling sering diucapkan ialah:

اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Previous articleDua legenda, Amir dan Zamani tak sabar berentap di “CONCERT UK’SLAM MUSICAL”
Next articleAbai pap smear risiko kanser serviks? (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here