Oleh Nury Kadir
Apa istimewanya hari Jumaat? Ada yang berkata, “Bertuahnya meninggal dunia pada hari Jumaat, terlepas seksa kubur.” Benarkah itu? Sebelum mejawab persoalan itu, mari lihat beberapa hadis mengenai kelebihan hari Jumaat.
Menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri, terdapat banyak hadis yang menceritakan kelebihan hari Jumaat yang dianggap hari paling mulia di antara hari-hari lain. Antara hadisnya:
Salah satu hari kebesaran Islam
Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit padanya ialah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam AS, pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga, pada hari itu dia dikeluarkan dari syurga. Tidak akan berlaku hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat.” (HR Muslim).
Penghulu segala hari.
Daripada Abi Lubabah bin Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding Hari Raya Aidiladha dan juga Aidilfitri. Ini kerana, pada hari tersebut terdapat lima perkara besar iaitu: Padanya diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan Nabi Adam. Padanya juga terdapat satu masa apabila seseorang itu meminta sesuatu kepada Allah pasti akan diberikan kepadanya selagimana dia tidak meminta sesuatu yang haram. Padanya juga akan berlakunya Kiamat dan pada hari itu juga (hari Jumaat) tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, di langit, bumi, angin, gunung dan laut melainkan takut dengan keagungan hari Jumaat.” (HR Ibn Majah dan Ahmad).-Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadis ini adalah dhaif disebabkan Abdullah bin Muhammad bin Uqail atau Ibn Abi Thalib al-Qurasyi. Ibn Hajar mengatakan beliau seorang buruk hafalannya tetapi riwayatnya boleh dijadikan sokongan. Adapun perawi yang lain adalah thiqah.
Penghapus dosa
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.” (HR Muslim)
Diperintah memperbanyakkan selawat.
Kita juga diperintahkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat, sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Perbanyakanlah selawat kepadaku, pada setiap hari Jumaat. Ini kerana selawat umatku akan diperlihatkan padaku pada setiap hari Jumaat. Sesiapa yang banyak berselawat kepadaku, dialah yang paling dekat denganku.” (HR al-Baihaqi)
Rasulullah SAW mengajurkan kita membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.
Sabda Baginda SAW: Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan disinari oleh cahaya di antara dua jumaat.” (HR al-Baihaqi)
Terdapat waktu yang mustajab untuk berdoa.
Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Padanya (iaitu pada hari Jumaat) terdapat satu waktu, (dimana) tidaklah (waktu tersebut) bertepatan dengan (masa) seorang hamba yang Muslim sedang berdoa dengan meminta sesuatu kepada Allah, melainkan (Allah) akan memberikan kepadanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Meninggal hari Jumaat
Orang Melayu suka sangat menyebut bahawa beruntunglah orang yang meninggal pada hari Jumaat. Memang ada beberapa hadis yang menyebut kelebihan meninggal pada hari Jumaat. Persoalannnya adakah hadis tersebut sahih atau tidak? Berikut adalah beberapa hadis popular yang sering disebut-sebut untuk mengaitkan kelebihan meninggal pada hari Jumaat seperti yang tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my.
Hadis Pertama: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur.” (HR Ahmad) al-Albani di dalam karyanya Ahkam al-Jana’iz, menghukumkan hasti tersebut hasan dengan kesemua jalurnya (sanad).

Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan sanad pada hadis ini dhaif (lemah) dan syawahid yang ada untuk menyokong hadis ini adalah tidak boleh dan sesuai untuk dijadikan syawahid. Selain itu, beliau mengatakan bahawa al-Albani telah tersalah di dalam menghukum terhadap hadis ini kerana mengikut al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi.
Hadis Kedua: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur.” (HR al-Tirmizi)
Imam al-Tirmizi menghukum hadis ini sebagai Gharib (ganjil) dan sanad yang ada pada hadis ini tidak bersambung. Ibn Hajar mengatakan bahawa pada sanad hadis ini adalah dhaif.
Hadis Ketiga: Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada malam Jumaat atau hari Jumaat akan dibebaskan daripada azab kubur dan akan datang di hari Kiamat dan padanya tanda sebagai seorang yang syahid,” (Hilyah al-Awliya’)
Imam Ibn al-Qayyim menghukum hadis ini sebagai dhaif kerana padanya perawi bernama Umar bin Musa dan dia adalah seorang yang dhaif. Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan berkaitan hadis Jabir ini, telah berkata Abu Hatim bahawa Umar bin Musa seorang yang lupa akan hadis dan juga memalsukan hadis. Selain itu, al-Daraqutni dan al-Nasa’ie menghukumnya sebagai Matruk (riwayatnya ditinggalkan). Tambahan pula, Ibn ‘Adiy mengatakan Umar bin Musa merupakan seorang yang memalsukan hadis pada matan dan juga sanad.
Hadis Keempat: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malamnya diampunkan (dosa) baginya.” (Mizan al-I’tidal). -Imam al-Zahabi menghukum riwayat (hadis) ini sebagai mungkar. (Mizan al-I’tidal)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada hadis yang sahih dalam menceritakan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Barangsiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan bahawa orang tersebut memperoleh husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Selagi mana ia mati dalam keadaan Islam, beriman dan ketika mati tidak dalam keadaan melakukan maksiat.
Marilah bersama-sama mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan amalan soleh khususnya pada hari Jumaat seperti selawat atas Nabi SAW, membaca surah al-Kahfi, surah Yasin, zikrullah, istighfar, berinfak atau sedekah, menziarahi kubur dan lain-lain lagi.
Diakhiri perkongsian ini dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









