Photo by Wahyudi on Unsplash

Oleh: Nury Kadir

Menjalani hidup berumah tangga tidak seindah yang dipamerkan di media sosial. Ia juga tidak semanis ucapan I Love You, You Love Me. Nampak ‘loving couple’ atau ‘couple of the year’ namun akhirnya memilih jalan perpisahan. Ada pasangan yang bukan dalam kategori ‘loving couple’ selalu bergaduh tetapi mampu bertahan hingga ke hujung nyawa. Mereka bukan bertahan dalam derita kerana takut bercerai tetapi menikmati proses itu dengan rasa bahagia dengan cara tersendiri. Kebahagiaan hidup kita dalam rumah tangga bukan kerana I Love You, You Love Me tetapi kerana rahmat Allah.

Bercerai itu tidak salah, malah ia adalah perkara yang dibolehkan di dalam Islam. Jika kita memilih jalan untuk berpisah cukuplah sekadar meletakkan sempadan alasan bahawa jodoh sudah tiada. Kerana jodoh itu adalah rahsia Allah. Semakin banyak alasan yang dicipta maka akan terserlah kebodohan kita. Jangan dikorek kesilapan kecil yang tidak masuk akal. Tidak perlulah ungkit soal tarikh nikah berbeza, tempat tidak betul dan nama salah tulis di dalam sijil nikah untuk dijadikan alasan.

Pernikahan suatu perkara yang dianjurkan dalam Islam yang berlandaskan syariah yang ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah dengan mematuhi rukun-rukun dan syaratnya. Setiap rukun terdapat syarat-syaratnya: Berikut adalah maklumat yang dicatatkan di dalam www.muftiwp.gov.my.

Rukun Nikah:
Suami
Isteri
Wali
Dua orang saksi
Lafaz ijab dan qabul (sighah)

Perkara yang perlu diteliti untuk menjadikan pernikahan itu sah iaitu syarat-syarat pada setiap rukun nikah. Namun disini, difokuskan pada syarat-syarat bakal suami dan bakal isteri seperti berikut:

Syarat bakal suami:
Dia bukan mahram kepada bakal isteri.
Bakal suami ialah seorang yang telah ditentukan ( tidak sah wali tidak menyebut nama bakal suami)
Bakal suami tidak berada di dalam keadaan ihram haji atau umrah

Syarat bakal isteri:
Bukan mahram bakal suami mahupun tunangan orang.
Bakal isteri seorang yang telah ditentukan ( tidak sah akad tanpa menentukan anak yang mana satu untuk dinikahkan oleh wali).
Bakal isteri tidak berada di dalam keadaan ihram haji atau umrah (Fiqh Manhaji)

Cuba lihat pada syarat kedua, adakah tidak menyebut nama pengantin perempuan semasa lafaz ijab menyebabkan nikah tidak sah? Ini penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara syarat sah perkahwinan bagi pengantin wanita adalah ta’yin iaitu penentuan pengantin perempuan di dalam akad. Suami wajib menentukan pengantin wanita ketika akad. Sama ada ditentukan melalui nama, atau isyarat, atau melalui sifat-sifat yang membezakan sekira terdapat persamaan atau tidak.

Menurut Dr Muhammad al-Zuhaili, syarat pengantin perempuan adalah ditentukan dalam akad, jika tidak (ditentukan) maka batal akad tersebut. Ini kerana maksud perkahwinan adalah ditentukan pasangan suami isteri sama ada dengan nama, isyarat atau dengan sifat-sifat yang dapat membezakan. ( al-Muktamad)

Photo by Muhammad Qayyum Abdul Rahman on Unsplash

Di sisi mazhab Syafi’i, sekiranya bapa melafazkan ijab dalam sesuatu pernikahan dengan tanpa menyebut nama atau tersalah sebut nama anaknya, maka pernikahan tersebut tetap dianggap sah. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah). Sejelasnya, menyebut nama bukan syarat sah dalam akad perkahwinan sebagaimana contoh yang dinukilkan oleh imam al-Nawawi di dalam kitabnya:
Maksudnya: “Berkata wali: kahwini dia, maka kata suami: aku mengahwininya, sah.”(Minhaj al-Tolibin)

Dr Muhammad Zuhaili menerangkan tidak terjadinya akad nikah melainkan dengan Sighah akad nikah iaitu ijab dan qabul. Ijab iaitu lafaz daripada wali pengantin perempuan dengan menyebut “aku kahwinkan kamu” atau “aku nikahkan kamu” dan seumpamanya. Qabul iaitu lafaz daripada pengantin lelaki dengan menyebut “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan menikahinya.”(al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e)

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut, disyaratkan pada lafaz akad nikah seperti berikut:
Mestilah lafaz tersebut mempunyai lafaz kahwin atau nikah dan perkataan apa yang diterbitkan daripadanya. Ini seperti “aku nikahkan kamu” atau “aku kahwinkan kamu” dan dijawab “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya”. Mestilah lafaz kahwin atau nikah di dalam ijab dan qabul itu jelas. Ini seperti sekiranya wali menyatakan “aku nikahkan kamu dengan anakku” lalu dijawab oleh bakal suami aku “terima” maka tidak berlaku pernikahan tersebut. Ini kerana kedua-dua pihak tidak jelas dalam penggunaan lafaz kahwin atau nikah itu.

Dr Muhammad Zuhaili menyebut ini kerana masih tidak jelas daripada keduanya lafaz kahwin dan nikah dan niat masih belum cukup untuk menjadikannya sah. Ia juga masih terdapat lafaz kiasan padanya dan lafas kiasan tidak sah digunakan di dalam akad nikah. (al-Fiqh al-Manhaji)

Menurut pandangan dan kenyataan di atas dapat difahami bahawa akad perkahwinan yang dilaksanakan dalam keadaan tersalah menyebut nama wali atau nama pengantin perempuan tidak menyebabkan batal perkahwinan tersebut. Ini kerana syarat bagi pengantin wanita adalah ditentukan sama ada melalui sifat, isyarat atau namanya jika terdapat persamaan atau tidak mampu untuk membezakan.

Tersalah menyebut nama pun dikira sah nikahnya, inikan pula tarikh nikah yang tidak sama seperti yang tercatat di dalam sijil nikah. Tidak disebut langsung dalam rukun nikah.

Jika anda memilih jalan untuk bercerai maka buatlah dengan cara baik. Kenanglah, suatu masa dulu pasangan kita itu pernah menjadi sumber kebahagiaan kita. Tidak perlu diceritakan semuanya kepada dunia. Diamlah! Kata alim ulama, jika lebih banyak mudarat yang datang akibat mendiamkan diri, sebaliknya bercakaplah untuk menjelaskan isu sebenar. Jika lebih banyak kebaikan yang datang dengan mendiamkan diri maka ini lebih baik agar tidak memanjangkan isu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here