Oleh: Nury Kadir
Jika nafas sudah sampai di hujung hela, pasti tidak akan tercepat atau terlambat walau sesaat. Dulu kita ingat yang tua, sakit tenat dan menderita saja akan mati. Hakikatnya orang muda, yang sihat, senang dan kaya raya pun mati.
Seorang alim pernah berpesan jangan takut kepada mati kerana ia adalah untuk bertemu Sang Pencipta. Syaitan hanya menakut-nakutkan kita agar takut pada mati. Seandainya kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya, mati itu akan menjadi satu permulaan yang indah.
Berikut adalah amalan yang telah dihimpunkan oleh Ustaz Ahmad Dasuki Abd. Rani di dalam bukuya Persiapan Menghadapi Kematian. Amalan ini dilakukan ketika masih kuat sebelum datangnya sakit dan selagi usia masih muda.
1. Perbanyakkan membaca surah al-Zahrawayn
Imam Ibn Taimiyyah berkata: Al-Quran mampu menghilangkan segala penyakit yang menyebabkan keinginan-keinginan jahat, sehingga sihatlah jiwa dan bersihlah keinginannya dan kembalilah seseorang itu kepada fitrah yang telah ditanam oleh Allah sepertimana badan kembali sihat.
Daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat nanti ia akan menjadi syafaat kepada orang-orang yang mengikutinya (menjadi ahlinya). Bacalah al-Zahrawayn (dua cahaya yang bersinar) iaitu surah al-Baqarah dan ali’Imran. Kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seolah-olah dua awan besar atau dua kelompok besar dari burung-burung yang akan menjadi hujjah (pembela) orang-orang yang sentiasa membacanya. Kamu bacalah surah al-Baqarah kerana mengambilnya adalah barakah, meninggalkannya adalah kerugian dan al-bathalah (ahli kebatilan) tidaklah dapat menguasainya.” (HR Muslim dan Imam Ahmad)
Selain itu ada dua lagi surah iaitu al-Khafi dan al-Mulk juga penting untuk dijadikan amalan dan dihafal supaya kita lebih bersedia dan tenang menghadapi pertemuan dengan Allah.
2. Sentiasa menjaga wuduk
Sabda Baginda SAW; Maksudnya: “Apabila seseorang Muslim atau Mukmin mengambil wuduk, lalu dia membasuh wajahnya, maka keluarlah daripada wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua tangannya, maka keluarlah daripada kedua-dua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh tangannya itu bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua belah kakinya, maka keluarlah daripada kedua-dua kakinya itu setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir, sehinggalah dia selesai berwuduk dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa.” (HR Muslim)
3. Melazimi selawat ke atas Nabi SAW
Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” (HR Ahmad dan al-Tirmizi)
Abu al-Darda’ R.A, berkata: Maksudnya: “Apabila kamu semua ingin meminta kepada Allah sesuatu hajat maka mulakanlah dengan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kerana sesungguhnya Allah itu lebih Maha Pemurah daripada hanya mengurniakan salah satu hajat sahaja dan menolak yang lain apabila diminta dua hajat (daripada-Nya).”
4. Membaca al-Mulk setiap malam
Surah al-Mulk mempunyai kelebihan apabila dibaca pada setiap malam, berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda; Maksudnya: “Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.” (HR Ibn Majah)
Daripada Ibn Abbas, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi SAW menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur. (HR al-Tirmizi)
5. Membaca ayatul kursi setiap kali selepas solat
Daripada Abi Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.” (HR al-Thabarani, al-Nasa’ie)
6. Membaca sayyidul istighfar
Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada AIlah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” (HR al-Bukhari)
Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadis yang sama: Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. “
Diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. (HR Abu Daud)
*#Ikuti sambungan akan datang mengenai amalan yang perlu bagi menghadapi hari-hari kematian #*

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









