Image by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Terdapat tiga jenis zikir untuk kita melawan gangguan jin dan syaitan, iaitu:

Pertama: Basmalah (بسملة)
Setiap kali hendak memulakan urusan, mulailah dengan menyebut “بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ”. Banyak hadis-hadis yang mengajar kita membaca Basmalah (بسملة) apabila mula melakukan sesuatu perkara. Ini kerana syaitan turut serta dalam apa jua urusan yang kita buat, maka itu kita dianjurkan mendahului semuanya dengan Basmalah (بسملة). Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ…
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…”. (HR Muslim)

Kedua: Isti‘azah.
Isti‘azah ialah menyebut “أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”, yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam.” Setiap kali berasa diri dihasut, dibisik atau diganggu oleh syaitan, maka sebutlah Isti‘azah. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 200-201:

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (200) إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ 201
Maksudnya: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).”

Ketiga: Ayat dan surah tertentu dari al-Qur’an.
Basmalah dibaca sebelum sesuatu urusan, Isti‘azah dibaca apabila merasai gangguan syaitan ketika melakukan sesuatu urusan, maka zikir yang ketiga ialah melazimkan diri membaca beberapa ayat dan surah yang tertentu. Ayat dan surah yang dimaksudkan ialah ayat al-Kursi, surah al-Baqarah dan surah al-Mu‘awwizatain (surah al-Falaq dan surah al-Nas).

Itulah tiga zikir yang telah dihimpukan di dalam artikel www.muftiwp.gov.my, untuk melawan gangguan syaitan dalam semua keadaan. Sebutlah ia, bacalah ia dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Jangan ada keraguan dan kelalaian ketika menyebutnya. Zikir yang disebutkan di atas adalah untuk kegunaan umum namun Rasulullah SAW ada mengajarkan kita zikir khusus untuk kes-kes tertentu seperti memasuki tandas, keluar rumah untuk sesuatu perjalanan, apabila memasuki rumah yang kosong dan sebagainya.

Jangan takut kepada syaitan, sebaliknya takut kepada Allah dengan berhenti terus daripada berbuat sebarang dosa besar mahu pun kecil, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran:3): Maksudnya: “Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu jika betul kamu orang-orang yang beriman.”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Nahl ayat 99; maksudnya: Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakal (berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka).”

Jangan sesekali berjumpa bomoh untuk memagar rumah sebaliknya cukuplah dengan membaca Basmalah setiap kali memasuki rumah dan ketika hendak menutup pintu. Seluruh isirumah perlu istiqamah dengan amalan-amalan yang menepati al-Qur’an dan al-Sunnah seperti menunaikan solat berjamaah, membaca al-Qur’an khasnya surah al Baqarah dan melayani ahli keluarga dengan baik. Pada waktu yang sama jangan dilakukan perkara-perkara mungkar di dalam rumah. Cara ini akan menakutkan syaitan dari memasuki rumah dan mengganggu para penghuninya.

Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan berkenaan agama, dan sebaiknya ini dilakukan bersama jemaah kaum muslimin supaya lebih mantap keyakinan agama, saling menolong dan memperbaiki diri.

Daripada `Arfajah bin Syuraih al-Asyja`ie RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; Maksudnya: “Sesungguhnya pertolongan Allah bersama al-Jama‘ah dan sesungguhnya syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jama‘ah.” (HR Ibn Hibban)

Jangan mengikuti jejak-jejak syaitan. Antaranya seperti berakhlak buruk, bertemu bomoh bagi meminta ramalan, mencari barang hilang, meminta jampi-jampian dan menjatuhkan sihir kepada orang lain serta gemar membazirkan masa di pasar, pusat membeli belah dan seumpamanya tanpa tujuan.

Akhir sekali, sentiasa berdoa dan mohon kesembuhan daripada Allah SWT kerana hanya Dia sahaja yang memberikan kesembuhan. Allah merakamkan doa Nabi Ibrahim AS:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ
Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.” (Surah al-Syu`ara’:80) dalam agama.
Dan, satu lagi doa yang harus dihafal oleh setiap orang untuk menyelamatkan diri daripada gangguan syaitan.

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ ﴿٩٧﴾ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya: Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan, “Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.” (Surah al-Mukminun: 97-98)

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here