Oleh Syed Wafa
Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA 2024) berjaya menarik perhatian ramai pembikin filem dari seluruh dunia apabila meraih sebanyak 3,135 penyertaan dari 98 negara antaranya Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, India, Bangladesh, Iran, Perancis, United Kingdom dan Mexico.
Pengerusi KLIFAA, Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar berkata, sambutan menggalakkan yang diterima daripada penggiat seni perfileman dari seluruh dunia ini memberikan impak positif pada penganjuran acara julung kali ini.
“Pada malam ini, KLIFAA 2024 dilancarkan secara rasmi. Saya sebagai Pengerusi bersama-sama ahli jawatankuasa terdiri daripada mereka yang mahir dalam bidang ini amat berbangga dengan sambutan yang diberikan perfileman dunia bukan saja dari negara kita ini bahkan dari seluruh dunia.
“Daripada 3,135 penyertaan yang diterima dari 98 negara memberikan semangat yang baik kepada kita untuk meneruskan usaha ini dan juga memberi ruang kepada para artis yang sudah ada nama atau belum ada nama untuk masa depan mereka berkecimpung dalam industri perfileman,” katanya pada Majlis Perasmian KLIFAA 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, penganjuran acara ini juga merupakan salah satu cara dalam mengajar generasi muda yang berminat terhadap bidang seni untuk menceburkan diri sehingga menjadi popular pada masa hadapan.
“Saya rasa ini adalah batu loncatan dan kita pernah mendengar nama arwah Tan Sri P Ramlee yang amat termasyhur yang pernah menjadi aktor, pengarah dan penyanyi di mana kita kurang ada ramai yang berbakat pada hari ini sama ada di peringkat negara atau antarabangsa.
“Penganjuran KLIFAA 2024 merupakan satu cara meningkatkan lagi taraf industri perfileman dunia dan insya-Allah jika berlaku apa yang kita usahakan ini, ia akan membuka mata ke seluruh dunia bahawa Malaysia sebagai satu hub dunia filem,” katanya.
KLIFAA 2024 merupakan acara anugerah berprestif bertaraf antarabangsa yang pertama kali dianjurkan di negara ini dijadualkan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 11 Ogos 2024.
Acara kali ini yang membawa tema ‘Inspiring Brilliance, Igniting Passion’, memaparkan semangat festival, bertujuan menyatukan budaya, mencetuskan pemikiran dan menginspirasikan kreativiti pada skala global.
Penyertaan acara ini terbuka pada semua penggiat seni dari seluruh dunia sama ada dalam bidang Filem Cereka, Drama TV, Dokumentari, Filem Pendek dan Animasi. Tempoh bagi kategori pertandingan dan bukan pertandingan bermula dari 1 Mac hingga 31 Mei 2024.
Maklumat lanjut menyertai penyertaan dan kemas kini acara boleh layari www.klifaa.com.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.