Oleh: Wawa Najwa

PASTI ada di antara yang telah menjadi penonton setia untuk drama bersiri Malang Si Puteri, arahan Uchee Fukada yang menampilkan Fasha Sandha sebagai pelakon utama itu.

Setiap kali menonton drama terbitan Radius One Sdn.Bhd. yang disiarkan di saluran Astro Ria dan Astro GO, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang sejak 11 Mac lalu itu, pasti akan mendengar runut bunyi drama tersebut yang berjudul Cinta Tak Mungkin, dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Cinta Tak Mungkin adalah lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Adrianna Cinta, manakala susunan muzik oleh Reza Ramsey terhasil menerusi perbincangan di antara komposer Farouk Roman dan pihak penerbit, Radius One Sdn.Bhd.

Farouk menghasilkan lagu dan lirik sesuai dengan kehendak penerbit dan jalan cerita drama bersiri tersebut.

Drama Malang Si Puteri yang hangat diperkatakan penonton sekarang ini.

Menurut Siti Nurhaliza, Cinta Tak Mungkin merupakan kerjasama kali kedua beliau dengan Farouk Roman yang pernah menghasilkan lagu berjudul Senyawa menerusi album Sitism.

Tambah Siti, melodi dan lirik lagu yang sinonim dengan kehendak sesebuah jalan cerita menjadikan lagu ini istimewa di hatinya.

“Farouk memang terkenal dengan penghasilan lagu runut bunyi dan saya percaya dengan sentuhan beliau. Selain itu Farouk juga memberikan kebebasan kepada saya untuk menyanyikan lagu tersebut dengan emosi saya sendiri setelah diperjelaskan mengenai jalan ceritanya. Pertama kali diperdengarkan demo, lagu ini terus memikat hati saya,’’ ujar Siti.

Sewaktu merakamkan single terbaharu ini, Siti mengakui beliau masih lagi dalam fasa pemulihan suaranya namun tidak menjadi masalah untuk beliau melunaskan tanggungjawab yang diberikan.

Siti Nurhaliza memberikan komitmen yang baik untuk rakaman lagu ini.

Menyanyikan lagu runut bunyi dianggap sebagai satu peluang terbaik kepada seseorang penyanyi kerana lagu tersebut akan selalu diperdengarkan dan mudah mendapat perhatian penonton serta pendengar. Lagu ini turut diterima baik oleh penonton drama Malang Si Puteri.

Menurut Siti lagi, meskipun lagu tersebut bukan tentang kisah hidupnya, namun beliau cuba membawa watak yang digarap dalam drama siaran itu dengan baik. Luahan perasaan lelah, terpenjara serta keperihan hidup diungkap menerusi emosi dalam nyanyian beliau.

Cinta Tak Mungkin merupakan pertaruhan terbaharu Siti dan beliau berharap agar lagu ini diterima baik oleh seluruh peminat dan pencinta muzik tanah air.

Previous articleDatuk Hattan yang masih berbisa
Next articleDOLLA tak patah semangat tanpa Syasya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here