Oleh Wawa Najwa
Penantian selama 10 tahun peminat tempatan untuk menonton persembahan kumpulan CNBLUE beraksi di hadapan mereka tidak sia-sia.
Kumpulan rock dari Korea Selatan itu berjaya memukau hampir 5,000 penonton sewaktu konsert 2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena, KL , pada 20 April, baru-baru ini.
CNBLUE yang dianggotai oleh Jung Yong-hwa (vokalis, gitaris, keyboard), Lee Jung-shin (bass) dan Kang Min-hyuk (dram) memulakan persembahan pada jam 8 malam itu dengan lagu hit I’m a Loner.
Ternyata bukan penonton sahaja yang merindui untuk menonton persembahan CNBLUE, malah ketiga-tiga anggota kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 juga teruja untuk menghibur peminat setia mereka.
Konsert anjuran Hit Maker Entertaiment dan Lo-Fi Entertainment yang berdurasi hampir tiga jam itu berjaya melepaskan kerinduan peminat yang digerlar BOICE.
Sepanjang konsert berlangsung CNBLUE telah mendendangkan 24 buah lagu popular mereka antaranya Love, Intuition, Hey! You, Imagine, Lady, Coffee Shop, Cinderella, Between Us, Young Forever dan Love Girl.
Selain menghibur penonton dengan gaya dan aksi yang mantap, anggota CNBLUE juga sempat mempelajari beberapa patah perkataan daripada penonton.
“Akhirnya, kami dapat juga hadir ke Malaysia. Kira-kira 10 tahun kami menanti peluang ini. Kami janji akan datang lagi ke Malaysia dalam tempoh terdekat dan bukan 10 tahun akan datang.
“Saya akan datang lagi kerana saya sayang awak semua, janji. Awak semua mantap,” kata Yong-hwa yang begitu bertenaga sepanjang persembahan.
Ketiga-tiga anggota CNBLUE kelihatan bersungguh-sungguh cuba berkomunikasi dalam bahasa Melayu selepas diajar oleh penonton. Antara perkataan yang diajar oleh penonton adalah mantap gila, saya sayang awak, janji dan beberapa lagi.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.