Oleh: Wawa Najwa
KALAU anda sering berulang-alik ke tempat kerja terutamanya di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dengan Transit Aliran Ringan (LRT) pasti anda akan ternampak pelbagai kedai makanan dan minuman serta bakeri.
Salah sebuah bakeri yang baru saja beroperasi di laluan pintu masuk ke stesen LRT KLCC adalah Gula Cakery Petite yang merupakan cawangan ke-10 dalam rangkaian bakeri terkenal tersebut.

Meskipun berhadapan Gula Cakery Petite terdapat beberapa kedai makanan yang lain, namun Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Gula Cakery, Arieni Ritzal, tidak rasa gentar untuk memulakan operasi di situ.
Sebaliknya, Arieni berkata, yang pihaknya amat teruja dengan pembukaan outlet terbaru di KLCC. Apatah lagi pusat beli belah terkemuka itu menawarkan ruang niaga untuk produk F&B tempatan yang dikendalikan oleh syarikat milik Bumiputera.
“Kami berharap dapat memberikan pengalaman yang lebih istimewa kepada pelanggan kami dan terus mengukuhkan jenama Gula Cakery sebagai pilihan utama bagi pencinta kek dan pastri di Malaysia.

“Ini adalah cawangan ke-10 dalam rangkaian bakeri kami. Outlet terbaru ini dibuka untuk menawarkan kepada pengunjung KLCC pelbagai jenis kek dan pastri yang lazat dan berkualiti tinggi.
“Memang kita nampak ada banyak kedai yang hampir sama tapi kita perlu ingat selera orang tak sama. Masing-masing ada pilihan. Jika kita memberi layanan yang istimewa, pasti pembeli akan kembali ke kedai kita,” katanya yang sudah tahu rentak perniagaan itu.
Ujar Arieni, bagi memastikan Gula Cakery Petite di KLCC menarik perhatian orang lalu lalang di situ, outlet di situ menampilkan konsep moden dan elegan dengan sentuhan minimalis.

“Konsep minimalis ini memberikan suasana yang selesa dan mesra untuk pelanggan menikmati secawan kopi bersama kek mahupun pastri secara santai dan relaks.
“Kita menggunakan konsep dekorasi moden dengan gabungan rona bright iaitu tona ungu dan kuning, sebaik melangkah masuk ke dalam kafe, pengunjung pasti terasa bagaikan berada di luar negara.
“Para pelanggan boleh menikmati hidangan mereka di dalam suasana yang tenang sambil melihat pemandangan indah Menara Berkembar Petronas,” katanya yang memulakan perniagaan Gula Cakery sejak September 2015 hingga kini berkembang pesat menjadi salah satu bakeri terkemuka di Malaysia.

Arieni yang gemar memasak itu memilih untuk menawarkan pelbagai pilihan kek, termasuklah menu popular Gula Cakery iaitu Berry Pavlova serta pelbagai jenis pastri serta pelbagai Croissant kepada pelanggan Gula Cakery Petite KLCC.
Selain itu, katanya, terdapat juga pilihan kek yang dibuat khas mengikut tempahan untuk sebarang majlis seperti hari jadi, perkahwinan dan acara korporat.
“Di sini kami turut menyediakan hidangan panas antaranya termasuklah Grilled Chicken Chop, Swedish Meatball, PotPie, aneka sandwich dan milkshake untuk menu tengah hari ataupun malam,” kata Arieni
Tegasnya, Gula Cakery diasaskan dengan matlamat untuk menyediakan hidangan manis yang tidak hanya lazat tetapi juga dihasilkan dengan bahan-bahan berkualiti tinggi.

“Setiap produk yang dihasilkan oleh Gula Cakery melalui proses pembuatan yang teliti dan penuh dedikasi, memastikan setiap gigitan memberikan kepuasan yang maksimum kepada pelanggan.
“Dalam usaha untuk terus berkembang dan memberikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan, Gula Cakery sentiasa berinovasi dalam mencipta resipi-resipi baru serta memperkenalkan variasi kek dan pastri yang menarik. Komitmen terhadap kualiti dan keaslian inilah yang menjadikan Gula Cakery pilihan utama bagi pencinta manisan di Malaysia,” katanya tersenyum.

Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.