Oleh: Nafsiah Jani
Pemilihan makanan berkhasiat amat penting bagi memastikan pertahanan badan kuat dan sedia menangkis sebarang penyakit. Untuk badan sentiasa sihat dan kuat kita mestilah mengamalkan pemakanan sihat dengan minum air putih yang banyak, melebihkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna-warni.
Lobak putih telah digunakan berabad lamanya untuk tujuan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Dari aspek pemakanan pula, ia boleh dimakan secara mentah, dimasak ataupun dijadikan jeruk. Sama seperti lobak merah, lobak putih juga sebenarnya sangat bermanfaat untuk kesihatan.
Lobak putih, biasanya dijadikan sebagai lobak masin atau lobak asin. Lobak putih atau White radish tergolong dalam keluarga kubis dan nama saintifiknya adalah Raphanus Sativus var. Longipinnatus.
Ia juga mengandungi besi, magnesium, kalium, fosfor, kalsium dan magnesium. Gabungan kesemua bahan ini membuatkan lobak putih mempunyai banyak khasiat yang berguna pada badan manusia. Namun sebelum lobak putih ini dijadikan sebahagian daripada diet harian anda, berundinglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk memastikan kesesuaian bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.
Berikut antara beberapa manfaat dan kelebihan yang boleh diperolehi melalui pengambilan sayur lobak putih ini, seperti:-
- Lobak putih mengandungi banyak air, rendah kalori dan kandungan karbohidratnya yang sangat rendah membuatkan ia sesuai diamalkan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Kandungan serat dalam sayuran ini juga membuatkan anda lebih kenyang dan dapat menghalang pengambilan makanan yang berlebihan.
- Selain meningkatkan sistem imun, melegakan sakit perut dan sembelit, lobak putih juga amat digalakkan untuk diambil semasa tempoh berpantang kerana ia menggalakkan penghasilan susu badan.
- Kebaikan lain lobak putih ini adalah dapat mencegah masalah buah pinggang dan kencing tidak lawas.
- Untuk awet muda dan kulit muka kelihatan segar dan tegang, blend lobak putih dan tampal pada kulit muka setiap malam selama 20 minit dan cuci bersih wajah. Kandungan vitamin C dan antioksidan yang terdapat didalamnya dapat mengelakkan kulit daripada rosak akibat radikal bebas. Anda pasti teruja dengan hasilnya.
- Jus dan sup lobak putih mempunyai ciri-ciri anti-kongestif yang berupaya meningkatkan daya imuniti badan dan berguna untuk melawan jangkitan yang membawa kepada batuk dan demam yang berterusan.
- Lobak putih membantu melindungi sistem pernafasan daripada jangkitan kerana ia kaya dengan vitamin dan boleh bertindak sebagai pembasmi kuman. Lobak putih sesuai dimasak sup lobak putih kerana sayuran ini kaya dengan vitamin dan sangat menyegarkan.
- Ia juga mampu mengatasi masalah penghadaman kerana kandungan nutrisi dan khasiat pemakanan tinggi yang terdapat dalam lobak putih.
- Lobak putih memiliki sifat diuretic dengan kandungan potassium yang tinggi. Pengambilan setengah gelas jus lobak sebelum sarapan pagi pada setiap hari dapat melarutkan batu karang dan membuatkan batu karang keluar melalui air kencing. Jus lobak ini juga dapat mencegah batu karang daripada tumbuh semula.
- Lobak putih juga dapat bertindak sebagai pemutih muka semulajadi yang selamat. Campurkan dua batang lobak putih yang diparut bersama minyak zaitun. Kemudian sapu dimuka yang telah dibersihkan dengan air suam. Biarkan selama 30 minit dan bilas dengan air bersih. Lakukannya seminggu sekali dan anda akan suka dengan hasilnya.
- Jus lobak putih juga mampu mengatasi masalah kulit gatal, infeksi, ruam dan sengatan gigitan serangga kerana ciri-ciri anti-priuritic yang terdapat di dalamnya yang menjadikannya sebagai penawar. Jus lobak dapat mengurangkan kesakitan dan melegakan kawasan gigitan serangga.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.