Oleh: Wawa Najwa
DI satu pentas yang sama, peminat muzik berpeluang menonton persembahan tiga artis berbeza sempena Indonesian Music Festival.
Indonesian Music Festival yang bakal berlangsung pada 24 Ogos ini di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur anjuran UnUsUaL Entertainment pada jam 7 malam itu akan menampilkan kumpulan Kotak, Ifan Seventeen dan Marcello Tahitoe.
Bagi peminat kumpulan Kotak inilah masanya untuk anda mendengar dendangan Tantri (Tantri Syalindri Ichlasari) secara langsung menerusi lagu ‘Pelan-Pelan Saja’, ‘Masih Cinta’, ‘Tendangan Dari Langit’ dan ‘Aku Yang Tersakiti’ secara langsung.
Persembahan Tantri nanti akan diiringi oleh Chua (Swasti Sabdastantri) sebagai pemain bass dan Cella (Mario Marcella) pula pemain gitar utama.
Kotak yang merupakan sebuah kumpulan muzik rock Indonesia yang ditubuhkan pada 27 September 2004 itu pernah meraih pelbagai anugerah muzik, antaranya, Anugerah Muzik Indonesia ke-12, untuk Kategori Solo/Duo/Kumpulan Rock Terbaik. Album ‘Kotak Kedua’ turut dianugerahkan kategori Album Rock Terbaik.
Mereka juga berjaya memenangi kategori Kumpulan/Duo Pendatang Baru Terbaik mengikut Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 serta Anugerah MTV Indonesia untuk Most Favourite Breakhtrought Artist 2009.
Bagi penggemar lagu ‘Kemarin’ dendangan Ifan Seventeen, kini saatnya untuk menikmati suara merdunya, selepas tragedi tsunami yang menimpanya pada tahun 2018 lalu.
Meskipun kehilangan isteri dan sahabat baiknya, Ifan atau nama sebenarnya Rifian Fayacia, 41, kini berada dalam perjalanan baru dan lebih memilih untuk menyanyi solo, setiap kali menyanyikan lagu ciptaan Herman Sikumbang, ‘Kemarin’.
Selain lagu ‘Kemarin’ Ifan pasti akan menghibur peminatnya dengan lagu-lagu popular Seventeen lainnya seperti ‘Cinta Jangan Disembunyikan’, ‘Akujira’, ‘Menunggu Kamu’, ‘Jaga Selalu Hatimu’, ‘Sumpah Ku Mencintaimu’ dan ‘Hal Terindah’.
Manakala seorang lagi penyanyi yang bakal menghibur penonton di Indonesian Music Festival ialah Marcello Tahitoe atau lebih dikenali sebagai Ello, 41 tahun.
Ello adalah seorang penyanyi, komposer dan produser muzik Indonesia dan merupakan vokalis baharu kumpulan Dewa 19 sejak 2022 hingga sekarang.
Penyanyi berdarah campuran Maluku-Batak itu lahir daripada keluarga seni kerana bapanya, Minggoes Tahitoe dan ibu, Diana Nasution adalah penyanyi popular era 1970-an.
Ello yang merupakan pemuzik berbakat pernah menerima anugerah Pendatang Baru Terbaik sempena Anugerah Muzik Indonesia (AMI) pada 2005, Album Pop Terbaik (2005), Karya Produksi R & B Terbaik (2005), Penyanyi Solo Rock Terbaik (2016), Penyanyi Solo Rock Terbaik (2019), Album Rock Terbaik (2021) dan Album Terbaik-Terbaik (2021).
Antara lagu-lagu popular Ello adalah ‘Gak Kayak Mantanmu’, ‘Kisah Kita T’lah Usai’, ‘Benci Tapi Rindu’, ‘Takkan Ada Aku Lagi’, ‘Sorry Abis’ dan banyak lagi. Sebelum menjadi vokalis Dewa 19, Ello mempunyai enam album studio termasuklah ‘Ello’, ‘Realistis/Idealis’, ‘Taub Mumu’, ‘Jalur Alternatif’, ‘Antistatis’ dan ’99’.
Untuk menonton persembahan artis hebat ini jangan lupa untuk menempah tiket-tiket yang dijual pada harga RM488 (VIP), RM388 (CAT 1), RM338 (CAT 2), RM288 (CAT 3) dan RM188 (CAT 4). Tiket-tiket akan mula dijual pada 1 Julai di https://my.bookmyshow.com/
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti UnUsUaL Entertainment di Facebook
(https://www.facebook.com/UnusualEntertainment) dan Instagram
(https://www.instagram.com/unusual_ent).
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.