Oleh : Asmat Fikri
Pening, rasa loya, nak muntah dan hampir pitam mungkin itu risiko biasa yang kita dengar berkaitan tekanan darah rendah. Namun tahukah kita ia boleh jadi lebih teruk jika dibiarkan begitu saja tanpa sebarang tindakan atau pemeriksaan ke klinik atau hospital berdekatan kerana ia boleh menyebabkan ‘shock’.
`Shock’ akan menjadi semakin teruk hingga menyebabkan kulit menjadi sejuk dan basah, serta pesakit akan berasa tenat. Keadaan ini adalah suatu keadaan yang cemas dan mesti diberi perhatian serta merta.
Sebelum kita bercerita lanjut berkaitan tekanan darah rendah, apa kata kita tahu terlebih dahulu apakah itu tekanan darah. Menurut laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (myHealth.my) tekanan darah adalah keupayaan darah menolak ke arah dinding pembuluh darah arteri ketika jantung mengepam darah.
Tekanan darah diukur sebagai tekanan sistolik dan diastolik. Tekanan darah sistolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung berdenyut. Tekanan diastolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung sedang rehat.
Tekanan Darah Rendah
Tekanan darah rendah berlaku apabila pesakit mempunyai tekanan darah lebih rendah daripada bacaan normal. Julat tekanan darah normal di kalangan orang dewasa adalah di antara bacaan 90/60 milimeter merkuri (mmHg) hingga 120/80mmHg.
Jika tekanan darah kurang daripada bacaan itu, pesakit akan mengalami masalah pening kepala dan pengsan. Jika bacaan lebih daripada bacaan tekanan darah normal maka pesakit dikatakan mengalami tekanan darah tinggi pula.
Jenis-jenis tekanan darah rendah
Tekanan darah rendah juga mempunyai beberapa jenis. Mungkin dalam kalangan kita masih tidak mengetahui jenis tekanan darah rendah ini sebaliknya hanya memahami secara umum sahaja berkaitan tekanan darah rendah.
Terdapat tiga jenis utama tekanan darah rendah, iaitu:
1. Tekanan Darah Rendah ‘Orthostatic’
Jenis tekanan darah rendah ini akan berlaku bila anda berubah posisi, bangun dari tidur atau duduk. Penurunan tekanan darah akan menyebabkan anda berasa pening atau pengsan.
Ianya terjadi bila tubuh badan tidak dapat menyesuaikan tekanan pengaliran darah dengan cepat agar sesuai dengan kedudukan badan anda. Keadaan ini biasanya akan berlaku hanya sekejap dan beberapa saat ke beberapa minit selepas anda berdiri.
2. Tekanan Darah Rendah ‘Neurally Mediated’ (NMH)
Keadaan ini berlaku apabila otak dan jantung tidak berkomunikasi antara satu sama lain dengan baik. Sebagai contoh, apabila anda berdiri untuk jangkamasa yang panjang, darah mulai berkumpul di kaki anda.
Hal ini menyebabkan tekanan darah anda menurun. Dalam NMH, badan keliru dan memberitahu otak bahawa tekanan darah tinggi. Sebagai tindakbalas, otak melambatkan kadar denyutan jantung. Hal ini membuat penurunan tekanan darah yang lebih, menyebabkan rasa pening kepala dan rasa hendak pitam.
3. Tekanan Darah Rendah Teruk berkaitan dengan ‘Shock’
‘Shock’ adalah suatu keadaan yang boleh mengancam nyawa di mana tekanan darah turun begitu rendah sehingga otak, buah pinggang dan organ-organ penting yang lain tidak dapat bekalan darah yang mencukupi.
Kebanyakan bacaan yang rendah itu biasanya berlaku kepada kaum wanita, kurus dan faktor keturunan. Namun kaum wanita hanya mengambil berat berkenaan tekanan darah rendah ini apabila sedang mengandung. Ia berkait rapat dengan bacaan hemoglobin (HB) yang sentiasa diperiksa setiap bulan.
Namun, bagi memastikan kesihatan kita sentiasa dalam keadaan baik, elok sekiranya kita semua mengambil tahu berkaitan tekanan darah kita setiap masa, meskipun tidak mengandung.
# Jangan lupa nantikan sambungan bahagian ke 2 artikel mengenai masalah tekanan darah rendah ini.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.