Oleh : Nafsiah Jani
Melihat pada pokok buah Markisa yang menjalar macam tumbuhan biasa menyebabkan buah ini tidak begitu bernilai di mata masyarakat. Namun jika dikaji secara teliti dan seseorang itu banyak membaca, barulah mereka sedar bahawa buah Markisa ini terlalu tinggi nilai manfaatnya pada kesihatan manusia.
Buah markisa ini kaya dengan vitamin A, C, B2, B6, dan B3. Buah ini juga merupakan sumber pelbagai serat makanan dan mineral seperti kalium, besi, fosfor, tembaga, dan magnesium. Selain untuk orang biasa, buah ini juga bagus diambil dan dimakan bagi ibu-ibu yang sedang mengandung.
Selain dimakan begitu sahaja, buah markisa juga boleh dijadikan jus dan salad yang dicampur bersama sayur-sayuran mahupun salad buah-buahan.
Buah markisa mempunyai banyak manfaat kesihatan dan perubatan yang boleh dimasukkan kedalam diet anda. Berikut adalah beberapa manfaat buah markisa:
- Potasium dalam buah markisa dapat membantu melegakan ketegangan saluran darah dan menggalakkan peningkatan aliran darah. Pengurangkan ketegangan pada jantung dapat meningkatkan kesihatan kardiovaskular.
- Buah markisa mengandungi banyak serat dan dapat membantu menghilangkan lebihan kolesterol dalam pembuluh darah.
- Kandungan beta karoten, vitamin A dan antioksidan yang terdapat dalam buah markisa dapat membantu mengekalkan penglihatan seseorang termasuk pencegahan degenerasi makula, katarak dan rabun malam.
- Menurut satu kajian dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry, buah markisa kaya dengan serat. Sebiji buah markisa dapat menyediakan kira-kira 2 gram serat. Serat ini penting bagi mencegah sembelit dan memastikan usus kita sentiasa sihat.
- Kajian Dr. Stephen Talcott dari University of Florida, Jabatan Sains Makanan dan Pemakanan Manusia menunjukkan bahawa buah markisa mempunyai sejumlah besar antioksidan yang membantu meningkatkan imuniti badan yang disebabkan oleh kehadiran vitamin C, karotena dan cryptoxanthin.
- Vitamin C yang terdapat dalam buah ini bertindak sebagai antioksidan dan membantu membuang radikal bebas dari badan dan meneutralkannya sebelum ianya membahayakan sistem organ dalaman. Ia juga dapat merangsang aktiviti sel darah putih dan seluruh sistem pertahanan imun serta melindungi tubuh seseorang dari penyakit berbahaya seperti kanser ataupun bersifat sebagai anti penuaan.
- Buah markisa kaya dengan mineral termasuk zat besi, copper, magnesium dan fosforus yang dapat membantu meningkatkan kepadatan mineral dan kekuatan tulang. Kandungan mineral ini penting dalam mencipta bahan tambahan tulang, memperkuat bahan tulang yang ada, dan mempercepatkan pembaikan. Ini juga dapat mencegah atau mengurangkan simptom osteoporosis, kesakitan dan keradangan yang berlaku apabila tulang mulai merosot sejajar dengan pertambahan usia dan aktiviti.
- Selain isinya, biji buah markisa juga boleh dijadikan minyak. Minyak yang diekstrak daripada biji buah ini baik untuk mengubati sakit-sakit otot.
- Untuk mendapatkan bayi yang sihat dan aktif, makanlah buah markisa yang kaya dengan antioksidan, serat, vitamin, mineral dan banyak nutrisi penting yang lain. Kandungan ini semua dapat membantu pertumbuhan dan perkembangan janin. Jadi buah ini sememangnya sesuai dimakan ibu-ibu yang mengandung.
- Kandungan serat dalam buah markisa juga memudahkan penghadaman dan peraturan pergerakan usus. Serat yang larut membantu memperlahankan pencernaan makanan dan dapat mencegah kenaikan gula dalam darah.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.