Persembahan B.I sangat bertenaga sepanjang beraksi di pentas.

Oleh: Wawa Najwa

PADA yang berpeluang menonton konsert B.I 2024 Tour HYPE UP di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 30 Jun lalu pasti masih bercerita betapa seronoknya dapat menonton persembahan penyanyi itu secara langsung.

B.I atau nama sebenarnya, Kim Han-bin, 28, hadir menjayakan konsert solo pertamanya di Malaysia kerana sebelum ini dia datang ke sini sebagai salah seorang anggota kumpulan iKON.

B.I gembira kerana dapat menghibur peminat di Malaysia.

Pastilah ada perbezaan jika menjayakan konsert secara berkumpulan dan solo. Apa yang pasti konsert solo anjuran Lo-Fi Entertainment itu dipersembahkan lebih daripada waktu yang diperuntukkan.

Jika mengikut jadual persembahan, B.I tampil di pentas pada jam 6 petang dan konsert yang menampilkan kira-kira 25 buah lagu itu akan berakhir pada 8 malam.

Antara lagu yang didendangkan adalah Alive, One and Only, Waterfall, Illa Illa, Loved, Numb, 4 Letters, BTBT, Keep Me Up, Got It Like That, Remember Me dan Dare To Love.

Sikap mesra B.I amat disenangi oleh peminatnya.

Namun sebaliknya yang berlaku dan perubahan drastik yang dibuat oleh B.I yang memulakan persembahan dengan lagu ‘Michelangelo’ dan diakhiri dengan lagu ‘Re-birth’ itu memberi kenangan indah buat 3,000 peminat yang hadir.

Peminat B.I yang digelar ID itu apabila dipinta olehnya untuk balik tetap tidak berganjak daripada tempat masing-masing. Macam biasalah kalau konsert mesti ada jeritan Encore daripada penonton yang masih belum puas menonton persembahan artis kesayangan mereka.

Konsert solo pertama B.I di Malaysia mendapat sambutan hangat.

Namun berbeza dengan B.I, selepas jeritan Encore daripada ID, dia tampil ke pentas dan mengulangi menyanyikan beberapa lagu yang telah dipersembahkan sebelum ini.

Bukan itu saja, B.I juga menjadikan penonton di Malaysia sebagai pendengar istimewa apabila dia mendendangkan beberapa lagu yang masih dalam pembikinan.

“Lagu ini belum siap sepenuhnya tapi saya nak dedikasi untuk peminat Asia Tour. Saya nak bagi anda dengar dulu, saya harap anda suka,” katanya yang berkomunikasi dengan penonton seperti kawan-kawan.

Sempat berkongsi lagu yang belum siap dirakam dengan penonton.

Malah B.I sanggup turun ke bawah untuk bertemu dan bersalaman dengan penonton yang hadir, ternyata tidak ada kekangan untuknya mendampingi ID.

Secara peribadi penulis boleh anggap yang B.I ini memang mementingkan kepuasan peminat dan sedia melanjutkan persembahan tanpa berkira tenaga dan masa.

Boleh dikatakan pada malam itu B.I menjayakan dua konsert pada satu malam. Konsert pertama adalah yang dirancang dan keduanya, mini konsert spontan.

Konsert sudah selesai namun B.I tetap meneruskan persembahan.

Jarang sekali penyanyi akan menyanyi pada waktu tambahan tapi tidak bagi B.I. Persembahan tambahannya itu ibarat menonton mini konsert.

Sebelum menamatkan persembahan, B.I juga sempat meluahkan rasa gembira kerana dapat menunaikan janji untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi dalam jelajah konsertnya.

“Saya gembira kerana tidak mengetepikan Malaysia dalam senarai jelajah konsert ini. Saya sudah kotakan janji saya untuk kembali ke Kuala Lumpur. Terima kasih semua,” katanya.

Previous articleKerjasama FDAM, FINAS demi masa depan industri perfileman
Next articleGold inspirasi kisah Cheah Liek Hou, jaguh badminton para

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here