Pengerusi FDAM memberitahu pengisian hari terbuka bertujuan untuk menjelaskan peranan FDAM dalam industri.

Oleh: Wawa Najwa

UNTUK pertama kalinya, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan program Konvensyen FDAM 2024.

Program yang berlangsung pada 6 Julai lalu di FINAS, Hulu Kelang, Selangor itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya penggiat-penggiat seni mengenai fungsi persatuan yang bernaung di bawah FINAS.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, pengisian hari terbuka itu juga untuk menjelaskan peranan FDAM sebagai wadah FINAS dalam menjaga dan memajukan industri perfileman, penerbitan kandungan digital dan yang paling utama fungsinya sebagai penggiat seni bergelar sutradara atau pengarah.

Penggiat seni berpeluang menjual ‘proposal’ atau ‘pitching’ idea mereka kepada syarikat produksi pada hari tersebut.

“Penganjuran program antara FDAM dengan FINAS membuktikan kerjasama terjalin selama ini sentiasa erat dan diperkukuhkan dalam memajukan industri perfileman dan kreatif secara bersama.

“Pelbagai acara diatur yang mempunyai kaitan dengan industri perfileman, penggiat seni, hiburan, pendedahan kepada perkara-perkara industri semasa, penyelesaian kepada permasalahan ahli serta penambahbaikkan yang perlu ada untuk memajukan industri perfileman selaras dengan slogan persatuan ‘Kreativiti Tanpa Sempadan’,” katanya.

Tambah Afdlin, sebanyak tujuh agenda mengisi atur cara program tersebut telah dilaksanakan iaitu sesi ‘Business Matching’, ‘Booth-Booth’, Apresiasi Filem, ‘Masterclass, Open Casting’, Wayang Pacak LED dan Dialog Industri Kreatif.

Sesi Dialog Industri Kreatif FINAS – FDAM yang berlangsung di Dataran Karyawan FINAS bersama salah seorang panel iaitu CEO FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

“Bagi sesi ‘Business Matching’ yang diadakan di FINAS Post, penggiat seni dan ahli FDAM berpeluang menjual ‘proposal’ atau lebih dikenali sebagai ‘pitching’ idea mereka kepada syarikat produksi yang terlibat seperti VIU, Unifi TV, iQIYI, Astro Shaw, INFINITUS, KL Post, UUM Holding, Mache All Star, Global Station, Independent Pictures, 4WARD Pictures dan A. Aida Production.

“Satu sesi perkongsian ilmu perfileman iaitu Apresiasi Filem Imam diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee bersama pengarah filem ini, Mior Hashim Manap, salah seorang pelakonnya, Noramin Mosyi Mosyi dan pensyarah akademik, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman manakala moderator, Faisal Chal Ahmad,” jelasnya tentang program yang dilaksanakan pada hari tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Sementara itu, sesi Dialog Industri Kreatif FINAS – FDAM yang berlangsung di Dataran Karyawan FINAS menampilkan ahli panel berpengalaman dan berpengaruh dalam industri perfileman tanah air iaitu Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmir Saifuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum Malaysia (CMCF), Puan Mediha Mahmood.

Pelbagai booth disediakan sempena program Konvensyen FDAM 2024.

Pada hari tersebut juga penggiat seni, ahli FDAM dan orang ramai juga berpeluang mencuba nasib sebagai pelakon filem dan drama menerusi sesi ‘Open Casting’ iaitu uji bakat terbuka yang diadakan di Studio Ho Ah Loke.

Untuk Sesi Masterclass pula, empat pengarah filem ikonik Malaysia iaitu Dr U-Wei Haji Saari, Prof Ts Dr Mahadi J Murat, Datuk Dr Yusof Haslam dan Adrian Teh berkongsi kejayaan mereka.

Bagi mengimbau nostalgia silam, orang ramai yang hadir pada malam itu pula berpeluang menonton Wayang Pacak LED yang diadakan di Dataran Karyawan FINAS. Filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dipilih untuk sesi tayangan ini.

FDAM juga ingin menyatakan penghargaan kepada penaja-penaja yang mengambil bahagian iaitu Les’Copaque, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), stesen radio ZAYAN, MEATECH dan OrangeTree Productions serta mereka yang menjayakan gerai jualan iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), YWP Media, Prudential Insurance, MEATECH, TEKUN Nasional, Elsie B’s, Steady Pro Equipment, Nuha Books dan FDAM Café.

Previous articleSalahkah Sambut Tahun Baru Hijrah?
Next articleB.I jayakan ‘dua konsert’ dalam satu malam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here