Oleh: Nury Kadir

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga berpesan, kejarlah fadhilat puasa Asyura yang lebih utama. Ibn Abbas apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdhal berbanding hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdhal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdhal.

Dari Abu Qatadah: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW, Maksudnya : “Puasa itu boleh menghapuskan (dosa-dosa kecil) setahun yang lalu.” (Riwayat Imam Muslim)

Kata Abdul Wahhab bin al-Khaffaf di dalam Kitab Al-Siyam: Telah berkata Qatadah: Dikatakan bahawa puasa ‘Asyura adalah kaffarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya.

Diceritakan dari Fath bin Syakhraf beliau berkata: Aku memecah-mecahkan roti setiap hari untuk memberi makan kepada semut. Apabila tibanya hari ‘Asyura, mereka tidak memakannya.

Diriwayatkan juga oleh Al-Qadir Billah Al-Khalifah Al-Abbasi bahawa perkara tersebut turut berlaku kepada dirinya dan beliau berasa pelik. Lalu beliau bertanya kepada Syeikh Abu Al-Hasan Al-Qazwini lalu Syeikh itu berkata: “Hari ‘Asyura ini turut berpuasa padanya semut. Dikatakan, semut juga turut berpuasa pada hari ‘Asyura.”

Disunatkan untuk berpuasa pada hari ke sembilan Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk mengelakkan persamaan ibadah dengan agama lain. Sudah sampai masanya kita alih perhatian kepada apa yang perlu dilakukan untuk meraih pahala berlipat ganda sepanjang bulan Muharram. Selain, tinggalkanlah perkara maksiat yang juga akan dibalas dengan balasan yang berat.

Asyura berasal dari perkataan Arab, `Asyara’ yang bermaksud hari ke-10 Muharram (takwim Hijrah) dan mengikut masyarakat Islam, hari Asyura menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban yang berlaku ke atas para nabi.

Image by freepik

Di sini dicatatkan beberapa kisah yang berlaku kepada para nabi di dalam bulan Muharram:-
1. Allah menerima taubat Nabi Adam
Doa Nabi Adam termaktub di dalam Al-Quran, “Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan apabila Engkau tidak mengampuni kami, tentunya kami termasuk dari orang-orang yang rugi.” (Al-A’raf :23)

Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata : “Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura.”

2. Nabi Musa terselamat dari Firaun
Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas beliau berkata: Maksudnya: Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW: Aku lebih berhak dengan Musa berbanding mereka (Yahudi). Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan orang ramai untuk berpuasa pada hari tersebut sebagai bentuk pengagungan kami terhadap hari itu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Imam Muslim)

3. Nabi Nuh Selamat dari banjir
Menurut Qatadah dan ulama yang lain, “Nabi Nuh dan pengikutnya naik kapal pada 1 Rejab dan berada didalamnya selama 150 hari kemudian berlabuh di atas gunung Juudiy selama sebulan. Mereka keluar dari kapal pada hari Asyura (10 Muharram).

Sebagai penutup, cukup-cukuplah berbalah tentang perkara yang kecil, hanya sekadar bubur Asyura kita sanggup memutuskan ikatan silaturrahim yang telah terjalin sejak lamanya. Ambil yang positif dari budaya yang kecil itu dan jaga hati semua pihak. Jika terlepas puasa Asyura tahun ini, kita berazam untuk menunaikannya pada tahun hadapan. Insya-Allah.

 

Previous articleTV AlHijrah santuni penonton yang kurang bernasib baik
Next articleNancy Shukri Kagum Dengan Putri Ariani!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here