Oleh: Wawa Najwa
TIAP kali ada konsert jelajah, kumpulan Michael Learns To Rock (MLTR) pasti tidak ketinggalan untuk memasukkan nama Malaysia sebagai negara yang perlu mereka singgah.
Kali ini sempena Konsert “Take Us To Your Heart” Tour, kumpulan yang berasal dari Aarhus, Denmark itu bakal menghibur peminat mereka di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 10 November ini, bermula jam 6 petang.
Selain Malaysia, MMIC Entertainment Group selaku penganjur turut membawa MLTR ke Filipina dan Thailand. Untuk menganjurkan konsert di Malaysia MMIC Entertainment Group bekerjasama dengan JS Concert Productions sebagai promoter.
Kumpulan yang dianggotai oleh Jascha Richter sebagai vokalis, Mikkel Lentz (gitar) dan Kåre Wanscher (dram) sudah beberapa kali juga hadir di Malaysia mengadakan persembahan kerana lagu-lagu dendangan MLTR seperti “That’s Why (You Go Away)”, “Paint My Love”, “25 Minutes”, “Sleeping Child”, “Take Me To Your Heart” dan banyak lagi tidak jemu didengar.
Dek populariti lagu dendangan MLTR, kumpulan tersebut telah memenangi pelbagai anugerah selepas mengeluarkan sembilan album studio yang berjaya dijual berjuta unit.
Hingga kini MLTR telah menjayakan lebih 800 pertunjukan dan terus bertambah, masih melakukan perjalanan merentasi sempadan untuk mempersembahkan lagu cinta abadi mereka, walaupun berusia 50-an dan 60-an.
Bersandarkan status emas dan platinum yang diperoleh di banyak negara, muzik Michael Learns To Rock masih dimainkan secara meluas di udara, melalui platform penstriman dan yang paling penting, pada masa yang sama membawa orang ramai bersatu, merentas masa dan demografi.
Bagi yang ingin menonton persembahan MLTR, tiket-tiket berharga RM968 (Zon MLTR), RM788 (VIP), RM668 (PS1), RM468 (PS2), RM268 (PS3) dan RM188 (PS4) boleh dibeli mulai 31 Julai ini untuk ahli Genting Rewards, bermula 12 tengah hari, manakala jualan am bermula 8 Ogos, 12 tengah hari melalui mmic.bigtix.io, rwgenting.com dan my.bookmyshow.com
Semua jualan tiket tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4 dan pelbagai faedah akan diperolehi jika anda adalah di antara pemilik tiket berkenaan.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.