Oleh : Nafsiah Jani
“Makan sebiji epal setiap hari, anda mampu menjauhi diri daripada doktor.” Pasti anda sudah biasa mendengar kata-kata tersebut. Ini bermakna dengan memakan epal setiap hari, anda akan dijauhi penyakit. Benarkah kenyataan ini?
Buah epal atau nama saintifiknya Malus Domestica merupakan sejenis buah epal berkulit hijau atau merah yang boleh ditemui di Malaysia. Teksturnya yang rapuh menjadikan epal snek yang sedap dan berkhasiat.
Buah ini mempunyai dua warna iaitu warna merah dan warna hijau. Kebanyakan orang lebih berminat makan epal merah kerana rasanya lebih manis berbanding epal hijau. Namun demikian, epal hijau mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Jika makan epal hijau, kita digalakkan memakan sekali dengan kulitnya kerana sebahagian kandungan vitamin C terletak di bawah kulitnya. Khasiat epal hijau ini sangat tinggi kerana ia bukan sahaja merangkumi aspek kesihatan tetapi juga kecantikan.
Sebelum makan epal tersebut, pastikan anda mencuci buah epal dengan bersih dan pastikan tiada sebarang wax atau bahan kimia yang terdapat pada kulitnya.
Epal hijau mempunyai kandungan nutrisi yang tinggi, seperti zat besi, magnesium, potasium, kalsium, soldium, vitamin C, vitamin A, vitamin B dan serat yang mudah larut.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition, para penyelidik mendapati bahawa pengambilan epal dikaitkan dengan pengurangan risiko kardiovaskular. Menurut kajian tersebut lagi, wanita yang kerap makan epal hijau mempunyai 13 hingga 22 peratus pengurangan risiko penyakit tersebut.
Selain dimakan begitu sahaja, epal hijau juga sedap dijadikan jus. Jika membuat jus epal hijau, anda boleh mencampurkannya dengan buah yang lebih manis seperti epal merah, anggur dan sebagainya. Tapi perlu diingat, jus epal yang telah dikisar tidak perlu ditapis kerana fibernya yang akan membuat kita rasa kenyang. Malah epal hijau juga boleh dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut.
Jus ini harus diminum pada setiap pagi sewaktu perut kosong bagi menyingkirkan segala toksin dalam badan dan sekaligus melancarkan pembuangan air besar.
Menurut kajian, mereka yang banyak makan epal hijau mempunyai 41 peratus risiko yang lebih rendah mendapat strok trombotik berbanding dengan mereka yang hanya makan sedikit buah epal. Selain daripada itu, epal hijau mengandungi kalium yang membantu membuang air berlebihan dalam badan kerana ia mempunyai kesan diaretic.
Dibawah ini kami senaraikan khasiat dan manfaat epal hijau ini terhadap kesihatan dan kecantikan seseorang. Cuba jangan tak cuba:-
- Penyakit asma kronik boleh dikurangkan dengan minum jus epal hijau setiap hari. Kandungan flavonoid di dalamnya sangat baik untuk membantu pesakit asma.
- Penyakit Azheimer merupakan penyebab berlakunya demensia dalam kalangan orang-orang tua. Ia akan mengganggu kemahiran berfikir, tingkah laku dan sosial seseorang individu. Dengan mengamalkan sebiji epal setiap hari dari usia muda, penyakit ini dapat dielakkan apabila kita tua nanti
- Epal hijau ini bukan sahaja sangat tinggi enzimnya, khasiat dalam buah dan kulitnya juga mengandungi vitamin A, B dan C bagi membantu permukaan kulit wajah agar sentiasa cantik berseri. Kandungan vitamin ini dapat memastikan kulit wajah tidak dicemari pertumbuhan jerawat, menghalang pembentukan jeragat dan meninggalkan parut
- Epal hijau kaya dengan sumber mineral dan vitamin A, B dan C yang diperlukan untuk kesihatan tubuh badan. Kandungan bahan-bahan ini membantu meningkatkan kandungan oksigen dalam darah dan melindungi kulit daripada kesan berbahaya seperti radikal bebas dan membantu mengekalkan keanjalan kulit dari dalam.
- Bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau penghadaman, kisarkan epal hijau dengan saleri dan diminum setiap pagi sebelum sarapan. Jus ini dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi sistem pencernaan. Selain itu, serat dalam buah epal hijau juga dapat membantu penyerapan, membersihkan sistem badan dan meningkatkan metabolisme badan.
- Risiko darah tinggi dapat dikurangkan jika seseorang itu amalkan jus epal hijau atau makan empat biji epal hijau setiap hari. Ia bukan sahaja membantu menurunkan tekanan darah tinggi malah dapat memastikan aliran darah dalam badan sentiasa lancar serta menurunkan kolesterol. Secara tidak langsung, penyakit berkaitan dengan sistem kardiovaskular dapat dihindari. Bagi penyediaan jus, ambil dua biji epal yang dah dibuang kulit dan hiris nipis dan masukkan dalam periuk bersama dua cawan air. Rebus hingga empuk dan biarkan sejuk dan tapis. Minum dua kali sehari. Insya-Allah anda akan gembira dengan hasilnya.
- Epal hijau sangat efektif untuk mereka yang ingin berdiet dan menurunkan berat badan. Pengambilan epal hijau sebelum makan boleh mengawal nafsu makan yang tinggi. Epal hijau juga memberi tenaga yang cukup dan mencegah kelaparan kerana buah ini tinggi serat dengan kalori yang lebih rendah. Kandungan serat dan air yang banyak dalam epal membuatkan kita mudah rasa kenyang.
- Air liur yang banyak akan dihasilkan apabila kita makan epal hijau. Penghasilan air liur yang banyak dapat mengurangkan bakteria di dalam mulut dan seterusnya mencegah kerosakan gigi.
- Khasiat epal hijau yang berfaedah ini juga terdapat pada bahagian kulit buah ini. Oleh itu, anda disarankan untuk memakan buah epal bersertakan kulitnya kerana vitamin dan mineral kulit epal membantu membina serta memperkukuhkan sistem imunisasi tubuh badan seseorang.
- Kandungan asid “malic” dalam epal hijau jauh lebih banyak daripada epal merah kerana epal hijau mempunyai sifat asidik yang terbukti dengan rasa masam berbanding epal merah yang manis. Mereka yang mempunyai masalah batu karang disarankan makan epal hijau ini setiap hari kerana ia dapat mengelakkan pembentukan batu karang yang disebabkan kandungan kolesterol yang tinggi.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.