Oleh : Nafsiah Jani
Selama ini orang hanya menganggap buah tin adalah buah yang dibawa balik sekembalinya ibu bapa, saudara mara atau sahabat handai daripada mengerjakan umrah atau haji. Buah ini ditunggu tanda mendapat berkah buah yang dibawa balik dari Tanah suci.
Namun kini buah tin sudah ditanam secara meluas di negara kita termasuk orang perseorangan. Jadi tidak ada masalah untuk kita mendapatkan buah tin dengan begitu senang sekali berbanding dahulu.
Tapi tahukah anda, bahawa buah tin atau nama saintifiknya, Ficus carica mengandungi sejumlah besar nutrien penting seperti vitamin, mineral dan serat yang dapat membantu menjaga kesihatan tubuh. Manfaatnya antara lain menurunkan tekanan darah, menjaga kepadatan tulang dan dapat meningkatkan kesihatan jantung.
Buah tin juga mengandungi sumber vitamin B kompleks termasuk B1 (tiamin), B2 (riboflavin), B3 (Niacin),B5 (Asid pantotenik, dan B6 (piridoksin). Selain itu buah tin juga mengandungi vitamin C, vitamin K, folat dan beberapa vitamin yang penting untuk kesihatan anda.
Kehebatan dan kemuliaan buah ini mempunyai kedudukan istimewa di dalam Islam seperti mana kurma dan makanan sunnah yang lain. Selagi mampu untuk mengamalkan buah tin ini jadikanlah sebagai amalan. Bukan hanya rasanya yang sedap, khasiatnya sangatlah banyak sehingga ia merupakan buah yang disebut dalam Al-Quran.
Dibawah ini kami paparkan kebaikan buah tin ini untuk penjagaan kesihatan:
- Buah tin mengandungi serat diet yang tinggi membantu dalam pencernaan yang sihat. Serat membantu mencegah sembelit dengan meningkatkan pergurusan usus.
- Kandungan serat yang tinggi dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah. Serat larut dalam air dapat mengikat kolesterol berlebihan dan membawanya keluar dari tubuh melalui proses penyingkiran.
- Buah tin mengandungi sumber kalsium, fosforus, dan magnesium yang penting yang baik. Mineral ini membantu dalam pembentukan, pemeliharaan dan meningkatkan kepadatan tulang, sehingga dapat mencegah berlakunya osteoporosis.
- Ramai dalam kalangan kita kurang mengambil buah atau sayuran secukupnya, sebaliknya lebih banyak makan makanan penuh kandungan garam hingga menyebabkan tekanan darah meningkat. Buah tin kaya dengan potassium iaitu sejenis mineral yang membantu mengawal tekanan darah.
- Mengambil buah tin juga dapat mengelakkan berlakunya anemia pada ibu mengandung kerana buah ini kaya dengan zat besi. Di awal-awal kehamilan, zat besi amat penting bagi mengelakkan ibu mengandung dari anemia.
- Kandungan vitamin B kompleks dalam buah tin juga dapat membantu meningkatkan fungsi otak dan memperbaiki daya ingatan. Selain itu, nutrisi tersebut bekerja dengan melindungi sel-sel dari kerosakan oksidatif.
- Vitamin C dalam buah tin membantu dalam pembentukan kolagen yang penting untuk kesihatan kulit. . Ia juga membantu mencerahkan kulit dan memberikan cahaya semulajadi. Khasiat buah ini juga membantu melawan tanda-tanda penuaan seperti kedutan, garis halus, kerosakan kulit dan memberi keanjalan kulit.
- Buah tin memiliki khasiat yang dapat membantu mengawal kadar glukosa darah. Hasil kajian dalam Diabetes Research and Clinical Practice menyebutkan, makan teh daun buah tin saat sarapan dapat menurunkan kebergantungan insulin tubuh mereka. Setelah beberapa bulan diamalkan pada beberapa orang pesakit, dos insulin mereka menurun sebanyak 12 persen.
- Buah tin juga mengandung beta karoten yang kemudian menjadi vitamin A yang diperlukan tubuh. Nutrisi ini berperanan dalam menjaga kesihatan sel-sel mata dan membantu menjaga penglihatan.
- Buah tin juga berguna sebagai pelindung kanser. Kajian yang dijalankan pengkaji dari Tunisia mendapati ekstrak buah tin menunjukkan kesan antiproliferatif yang sangat berkesan terhadap sel -sel kanser kolorektal. Malah ekstrak ini juga didapati boleh membunuh sel-sel kanser kolorektal ini.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.