Oleh: Wawa Najwa
PERASAAN teruja jelas kedengaran pada nada suara penyanyi Kim Sung-kyu, selepas mendendangkan enam buah lagu sewaktu pembukaan konsertnya iaitu 2024 Kim Sung Kyu [LV3: Let’s Vacay] Asia Tour di Kuala Lumpur yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, 3 Ogos lalu.
Kim Sung-kyu atau Sungkyu, 35, yang diiringi oleh empat pemuzik itu memulakan persembahannya dengan lagu Divin. Diikuti dengan lagu “Shine”, R”eady To Go”, “Because”, “41th” dan “Sometimes”.
“Semua lagu yang saya nyanyi tadi adalah pertama kali saya nyanyikan di sini. Sebenarnya berdebar juga untuk melihat reaksi anda. Kalau di Korea saya sudah biasa menyanyikan lagu-lagu tersebut di depan orang ramai.
“Melihat kepada reaksi anda, membuatkan saya rasa lega. Saya harap anda semua boleh menyanyi bersama dengan saya sepanjang konsert ini,” katanya tatkala berbicara dengan penonton yang hadir pada hari pertama persembahannya.
Meskipun ini adalah konsert sulungnya di sini tapi Kim Sung-kyu bersama penganjur, D-SHOW dengan Offbeat dan 43 sebagai Promoter, berani mengadakan persembahan selama dua hari.
Untuk konsert solonya itu, ketua kumpulan Infinite itu mengakui dia gembira dapat berinteraksi dengan peminat di Malaysia selepas beberapa tahun tidak bertemu.
“Sudah lama sejak Infinite mengadakan persembahan di Malaysia beberapa tahun lalu, saya amat gembira akhirnya dapat bertemu peminat saya semula.
“Wow! Anda semua boleh menyanyi dengan baik walaupun kita berbeza bahasa. Saya akan cuba untuk bertutur bahasa Malaysia dan kalau boleh saya akan cuba datang sekerap mungkin ke sini,” katanya yang mengguna khidmat penterjemah sewaktu berbicara dengan penonton.
Kim Sung-kyu bukan setakat menyanyi, dia juga seorang pelakon hebat baik di layar kaca atau pementasan muzikal. Dia yang mendendangkan kira-kira 23 buah lagu untuk konsert tersebut berharap di masa akan datang, kehadirannya turut disertai oleh anggota Infinite.
“Terima kasih semua kerana menyanyi bersama-sama saya dalam lagu “Kontrol”. Begitu banyak perkara yang berlaku dalam tempoh 10 tahun ini, saya menangis dan ketawa.
“Saya aktif tahun ini pun disebabkan sokongan padu anda semu. Kalau boleh saya nak selalu datang ke sini,” katanya yang mengakhiri persembahan pada malam itu dengan lagu “My Everyday Is You”, “답가” dan “끌림”.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.