Picture courtesy from https://muslimvillage.com/2018/11/17/76994/sublime-names-prophet-muhammad-pbuh/

Oleh Nury Kadir

Di Malaysia 12 Rabiulawal adalah cuti umum sempena sambutan Maulid Nabi SAW. Walaupun ramai yang kata orang Melayu saja yang lebih-lebih meyambut Maulid Nabi sedangkan ia adalah bid’ah. Kadang-kadang pening kepala dibuatnya apabila kita sesama Islam di dalam negara yang kecil ini berbalah pada hal yang kecil-kecil. Sedangkan budaya di sini sambutan Maulid Nabi itu penuh dengan perkara yang baik-baik, tazkirah, berselawat, ceramah dan gotong royong tapi dikatakan yang menyambutnya adalah pengamal bid’ah.

Mengenai hal tersebut, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah menjawabnya di dalam www.muftiwp.gov.my. bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bid’ah hasanah. Namun dengan syarat pengisian sambut itu adalah perkara yang baik-baik, tazkirah dan ceramah, tidak ada percampuran lelaki dan perempuan, menutup aurat dan tiada unsur maksiat. Paling utama adalah untuk mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun.

Menurutnya lagi, sebahagian ulama berpendapat hukum sambutan Maulidurrasul adalah bid’ah dengan hujah bahawa ia tidak pernah dilakukan pada zaman para sahabat, tabiin, tabi’tabi’in dan juga generasi setelahnya. Mereka berpendapat ia adalah satu bentuk pemujaan yang melampau kepada Nabi SAW.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, maksudnya: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “Hamba Allah dan Rasul-Nya.”(Riwayat al-Bukhari)

Turut dijelaskan adalah beberapa fatwa ulama yang mengharuskan sambutan Maulid Nabi antaranya: Ibn Hajar al-Asqalani ketika ditanya tentang hukum perayaan Maulid, al-Rasul menjawab: “Asal dalam amalan sambutan peringatan Maulid adalah bid’ah yang tidak diriwayatkan dari ulama Salaf al-Soleh. Akan tetapi Maulid tersebut mengandungi banyak kebaikannya. Maka barangsiapa yang berusaha meraih kebaikan dalam Maulid dan menjauhi yang buruk, maka termasuk bid’ah yang baik (hasanah). Jika tidak, maka tidak disebut bid’ah hasanah.”

Imam al-Suyuti juga antara lain menyebut: “Amalan memberi makan adalah perbuatan yang baik. Dengan demikian, amalan Maulid termasuk perkara baru yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sultan al-Ulama Syeikh Izzuddin bin Abd al-Salam.”

Sebenarnya al-Suhaili telah menyebut bahawa al-Abbas berkata: “Tatkala Abu Lahab meninggal dunia, aku bermimpi bertemunya selepas setahun pada seburuk keadaan lantas dia berkata: “Tidak aku dapati selepas kamu sebarang kerehatan kecuali azab diringankan daripadaku setiap hari Isnin. Yang demikian kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin dan Thuwaibah telah memberikan berita gembira kepada Abu Lahab berkenaan dengan kelahiran Nabi SAW lantas dimerdekakannya.”

Manakala Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muti’i (Mantan Mufti Mesir) berhujah, “Justeru setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan syariat (Allah) waktu tertentu dan tidak pula tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya pada setiap waktu dan tempat, dan begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat maka hukumnya Mubah/Harus, dan apa yang selainnya (yakni ada larangan) adalah bid’ah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya.”

Photo by Timur Weber: https://www.pexels.com/photo/father-and-son-sitting-together-on-the-floor-9127598/

Begitu juga Syeikh Abdul Halim Mahmud berpendapat, “Sambutan Maulid Nabi SAW adalah Sunnah atau jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya: “Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya, barangsiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya” Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalil-dalil sahih yang berpandukan padanya.

“Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.” -dipetik dari www.muftiwp.gov.my

Tidak perlulah dipersoalkan lagi boleh sambut atau tidak Maulid Nabi kerana fatwanya jelas. Jangan kita bergaduh pada perkara yang sekecil itu sedangkan yang lebih utama adalah mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW.

Mari renungkan firman Allah SWT, dalam surah al-Ahzab ayat 56;
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Di dalam hadis juga ada disebutkan Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” (Riwayat al- Nasa’i)

Apa yang dimaksudkan Allah dan Malaikat berselawat kepada Nabi SAW? Bagaimana pula cara kita umat Nabi Muhammad SAW berselawat kepada baginda? Dan, apa itu selawat?

Menurut perbahasan di dalam sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, selawat adalah perkataan jamak bagi solat (الصلاة‎) yang bermaksud doa atau pujian. Pun begitu, makna selawat Allah SWT, selawat para malaikat dan juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain.

Selawat Allah ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Manakala selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala. Sementara selawat orang Mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Nabi Muhammad SAW.

Manakala Al-Mubarrid pula berhujah, makna asal selawat adalah limpahan rasa kasih sayang. Namun jika selawat itu berasal daripada Allah SWT, maka maknanya adalah rahmat. Jika selawat itu berasal dari para malaikat, ia bermaksud kasih sayang dan doa permohonan rahmat kepada Allah SWT.

Syeikh al-Maraghi mentafsirkan ayat al-Quran di atas dalam Tafsir al-Maraghi berkata, “Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu.”

Selain itu, Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa menyebut pendapat Ibn Abbas bahawa ayat itu adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi SAW.

Disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, bentuk bacaan selawat para malaikat untuk orang-orang yang duduk menantikan solat adalah “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ” (Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, berikanlah rahmat kepadanya). Jika begitu bentuk selawatnya pada hakikatnya ia adalah bacaan doa.

Abu Bakar al-Qusyairi menjelaskan, selawat daripada Allah yang diberikan kepada selain Nabi SAW adalah bermaksud rahmat. Manakala selawat Allah kepada Nabi SAW adalah satu bentuk pemuliaan dan tambahan pangkat atau darjat kepada Baginda.

Menurut Abu al-‘Aliyah, selawat Allah kepada Nabi adalah dalam bentuk pujian kepada Baginda SAW di hadapan para malaikat. Manakala selawat para malaikat kepada Baginda merupakan dalam bentuk doa.

Photo by Thirdman: https://www.pexels.com/photo/women-looking-at-the-book-8489271/

Adapun mengenai bacaan Salam yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, maka menurut al-Qadhi Abu Bakar bin Bukair, ia telah dijelaskan dalam ayat yang telah disebutkan di atas. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan para Sahabat untuk membaca salam kepada Rasulullah SAW. Hal ini juga berlaku bagi orang-orang yang hidup setelah mereka. Dengan kata lain, orang-orang yang hidup setelah generasi Sahabat juga diperintahkan untuk membaca salam ketika mereka menziarahi makam Rasulullah SAW atau ketika mengingati Baginda.

Dijelaskan juga di dalam www.muftiwp.gov.my. mengenai lafaz salam kepada Rasulullah SAW, terdapat tiga bentuk:

1.“السَّلَامَةُ لَكَ ، وَمَعَكَ” yang bermaksud, semoga keselamatan menjadi milikmu dan selalu bersamamu. Perkataan al-salam dalam susunan kalimat seperti ini, dalam tatabahasa Arab berbentuk masdar.

2. ““السَّلَامُ عَلَى حِفْظِكَ ، وَرِعَايَتِكَ yang bermaksud, semoga Zat Yang Maha Pemberi Keselamatan memberikan penjagaan dan jaminan untukmu. Dengan kata lain, kata al-salam dalam kalimat itu bererti salah satu daripada nama Allah.

3. Al-Salam yang maknanya pasrah dan tunduk. Hal ini sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 65:
“فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا”
“(Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.)”

# Ikuti sambungan pada artikel akan datang berhubung dengan kehebatan bila berselawat dan berzikir.

Previous articleKonsert Telan Kaset 90’An berhibur sambil membantu
Next articleP.Radhi tampil dengan “Gadis Chantek”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here