Oleh: Wawa Najwa
DALAM kesibukan membuat persiapan dan latihan untuk konsert solo pertamanya, penyanyi Jaclyn Victor masih berkesempatan untuk tampil dengan single baharu iaitu “Sesal Tak Bermakna”.
Lagu “Sesal Tak Bermakna” adalah gabungan idea daripada Adrian Puan dan Gerald sebagai komposer, manakala Gerald Sellan dan Mux Ryzor pula bertindak sebagai penerbit.
Meski mengangkat judul “Sesal Tak Bermakna” yang secara kasarnya akan dikaitkan dengan penyesalan terhadap perbuatan lampau, penyanyi yang terkenal mencapai notasi tinggi dalam nyanyiannya ini bagaimanapun melihat ia daripada sudut berbeza.
Jacyln atau Jac, 45, memberitahu, beliau mahu peminat melihat kelainan daripadanya selepas lebih dua dekad melayari arus muzik menerusi “Sesal Tak Bermakna” yang bernuansa gelap berbanding hit miliknya seperti “Gemilang” atau “Kejutkan Aku”.
Dibalut dalam genre balada pop ditemani melankolis dentingan piano, Jac mendefinisikan “Sesal Tak Bermakna” sebagai semangat yang perlu ada dalam setiap individu setelah sesuatu perkara kurang baik berlaku.
“Mungkin bunyi “Sesal Tak Bermakna” seperti satu penyesalan terhadap perbuatan yang telah dilakukan tapi “Sesal Tak Bermakna” versi single kedua saya ini adalah bagaimana seseorang belajar di sebalik sesuatu yang berlaku dan berusaha menjadi lebih baik pada masa hadapan,” ujar Jac.
Ironi kata Jac lagi, “Sesal Tak Bermakna” yang menjadi single kedua selepas kejayaan “Kejutkan Aku” itu mengisahkan kebangkitan seseorang selepas cinta yang disemai tidak berbuah manis.
“Sesal Tak Bermakna” adalah sebuah lagu cinta. Ia mengajar kita meneroka dan mengatasi penyesalan serta memaafkan diri sendiri. Saya juga berpegang kepada peribahasa ‘apa yang tidak membunuhmu, menjadikanmu lebih kuat.’ Dan itulah (roh) yang ada dalam Sesal Tak Bermakna,” ujar Jac.
Menariknya juga untuk muzik video lagu ini, Jac kembali mempamerkan bakat lakonannya dengan menjadi pelakon untuk video tersebut. Sebelum ini Jac pernah berlakon dalam filem “Talentime” pada tahun 2009.
Seiring lahirnya “Sesal Tak Bermakna” di pasaran, Jac juga teruja menyambut ribuan peminat untuk merayakan ulang tahun ke-20 pembabitannya sebagai anak seni sempena Jaclyn Victor First Solo Concert yang dibawa oleh Rag Doll Records dan disokong oleh CUCKOO dan KAIMIRRA.
Di pentas Zepp KL pada 12 Oktober ini, “Sesal Tak Bermakna” akan disampaikan bersama lagu-lagu lain yang telah mengharumkan nama Jac bukan sekadar ‘gadis pemenang program realiti televisyen’ sebaliknya permata seni yang patut dibanggakan.
“Saya sangat tidak sabar menanti hari besar nan bersejarah iaitu Jaclyn Victor First Solo Concert pada 12 Oktober 2024 di Zepp KL.
“Konsert solo ini akan menjadi medan pertemuan intim dengan peminat dan tanda cinta serta apresiasi saya kepada mereka yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni saya sejak dua dekad lalu,” kata Jac.
Bukan calang-calang, konsert tersebut akan diketuai oleh karyawan seni terkenal, Genervie Kam diberi tangungjawab sebagai Pengarah Muzik Jaclyn Victor First Solo Concert bersama barisan pemuzik handalan tanah air.
Untuk menyaksikan Jaclyn Victor First Solo Concert, jangan terlepas mendapatkan tiket berharga RM258 sehingga RM888 sudah mula dijual di www.livepass.asia.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.