Oleh: Wawa Najwa
BOLEH dikatakan setiap bulan ada sahaja artis dari Indonesia yang mengadakan persembahan di sini berbanding peluang artis Malaysia yang terbatas untuk menembusi pasaran di sana.
Anda kenal dengan kumpulan Efek Rumah Kaca yang berasal dari Jakarta itu? Nama kumpulan yang ditubuhkan pada 2001 itu mungkin tidak mesra di pendengaran anda kerana ia adalah kumpulan muzik rock alternatif.
Di Malaysia mungkin hanya kelompok tertentu saja yang mengikuti perkembangan seni kumpulan yang dianggotai oleh Cholil Mahmud (vokal utama, gitar), Poppie Airil (vokal latar belakang) dan Akbar Bagus Sudibyo (dram, vokal latar belakang) tapi mereka pernah berkongsi pentas dengan rakan seperjuangan pada 2022 di sini.
Kali ini Efek Rumah Kaca band yang sinonim dengan akronim ERK hadir ke Malaysia secara solo bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak puas menikmati efek-efek muzik mereka yang hanya bertebaran sedikit saat persembahan dua tahun lalu.
Kehadiran Efek Rumah Kaca dibawa oleh penganjur Shezco Sdn. Bhd., bagi menjayakan konsert solo Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL pada 25 Oktober ini.
Menurut wakil Shezco Sdn. Bhd.,Kamarul Hafizad atau Ijad, konsert tersebut diberi judul sebegitu sempena mengambil nama salah satu lagu popular yang dimuatkan dalam album sulung mereka, “Efek Rumah Kaca” yang dikeluarkan pada 2007.
“Secara simboliknya kami menamakan persembahan pentas ini sebagai Di Udara Kuala Lumpur Live At Zepp KL sempena pertama kali setelah sekian lama ERK tidak beramah mesra dengan peminat mereka di Malaysia.
“Jadi muzik dan kasih sayang di antara ERK bersama peminat akan bertebaran di udara sepanjang malam 25 Oktober 2024 di ruang Zepp KL kelak,” ujar Ijad.
Sementara itu, Cholil terus terang memberitahu bahawa dia dan rakan ERK amat bahagia kerana diberi penghormatan menemui peminat di Malaysia dan bakal mendendangkan banyak hit mereka dengan senang hati.
“Kami berasa senang untuk kembali ke Malaysia dan kali ini lewat Di Udara Kuala Lumpur Live Aat Zepp KL, ERK akan lebih intim berpesta dengan peminat kami. Sampai ketemu semua tanggal 25 Oktober ini.
“Semoga kita menikmati kegembiraan bersama nanti. Karya ERK seperti “Kamar Gelap”, “Jatuh Cinta Itu Biasa Saja”, “Balerina” dan “Cinta Melulu,” kata Cholil.
Bagi yang ingin menonton persembahan Efek Rumah Kaca boleh dapatkan tiket anda di ilassotickets.com atau hubungi talian 03-4816 8029.
Tiket-tiket berharga RM188 (CAT 1 / Free Standing), RM218 (Normal Standing), RM268 (CAT 2 / Premium Seating), RM448 (Royal Box), RM3,500 (Package 8 Pax/ Meet & Greet).
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.