Oleh: Nury Kadir
Antara selawat dan zikir, kedua-duanya ibadah yang disyariatkan oleh Islam. Selawat itu maksudnya adalah doa dan pujian. Manakala zikir ialah sesuatu perkara yang dilakukan bertujuan untuk mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 41, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”
Manakala dalam al-Insan ayat 25 Allah SWT berfirman, maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”
Hadis Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.” (Riwayat al-Bukhari)
Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir. Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW dan ia adalah jalan untuk mendapatkan cinta Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 31, maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
SELAWAT KETIKA LUPA
Berapa banyak selawat yang perlu dibaca dan bila waktu yang sesuai? Disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’ bahawa para ulama berbeza pandangan berkaitan kewajipan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW kepada beberapa pandangan.
-Pertama, pada setiap kali solat didirikan dan Imam al-Syafie memilihnya dengan menyatakan ia di dalam tasyahhud akhir.
-Kedua, sekali seumur hidup.
-Ketiga, setiap kali apabila nama Baginda SAW disebut disisinya dan pandangan ini dipilih oleh al-Halimi daripada ulama’ al-Syafieiyyah, Imam al-Tahawi daripada ulama al-Hanafiah, al-Lakhmi daripada ulama’ al-Malikiyyah, Ibn Battoh daripada ulama’ al-Hanabilah.
-Keempat, di dalam setiap majlis.
-Kelima, pada setiap permulaan, pertengahan dan akhir doa.
Tidak kiralah berapa banyak hendak diucapkan selawat, yang penting amalan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW adalah digalakkan dalam Islam, terutamanya pada hari jumaat. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW, maksudnya: “Sesungguhnya antara hari yang paling baik ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.” (Riwayat Abu Daud)
Di dalam www.muftiwp.gov.my. juga ada menyebut satu hadis tentang tuntutan berselawat ketika lupa. Dari Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Apabila kamu lupa akan sesuatu, maka berselawatlah ke atasku nescaya kamu akan ingatkan akan ia Insya-Allah.”
Walaupun sanad hadis tersebut dhaif, berselawat ke atas Nabi SAW apabila terlupa adalah dianjurkan dan ia termasuk di dalam fadhail al-A’mal. Ini berdasarkan pendapat daripada Imam al-Sakhawi di dalam kitabnya bahawa selawat ke atas Nabi SAW bagi sesiapa yang lupa dan ingin mengingatnya kembali ataupun kepada sesiapa yang takut dia terlupa ada dinyatakan berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA (riwayat di atas). Riwayat ini telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madiniy dengan sanad yang dhaif (lemah).
Begitu juga al-Qasthalani di dalam kitabnya bahawa antara tempat yang disyariatkan untuk berselawat ke atas Nabi SAW antaranya adalah ketika lupa akan sesuatu. Bersandarkan hadis riwayat Anas bin Malik RA tersebut.
Imam Ibn Hajar al-Haitami, perkara-perkara khusus yang disyariatkan berselawat ke atas Nabi SAW, antaranya adalah ketika mengingatkan sesuatu yang terlupa atau ketika takut terlupa.
Sebenarnya penawar lupa sudah disebut di dalam Al-Quran, firman Allah SWT dalam surah al-Khaf ayat 24, maksudnya:“Dan ingatlah (sebutlah) kepada Tuhanmu apabila kamu terlupa.”
Kata Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, sifat lupa boleh terjadi apabila seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang berdosa sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Dhahhak bin Muzahim. Maka dengan sebab itu, Allah SWT memerintahkan supaya mengingati-Nya agar dijauhkan syaitan daripada hatinya sebagaimana larinya syaitan apabila mendengar azan.
Selain itu, setiap kebaikan itu akan menghilangkan kejahatan. Apabila hilangnya sebab seseorang itu lupa maka hilanglah ia dan dengan sebab itu akan mengingati sesuatu perkara itu disebabkan zikir atau ingatan kepada Allah SWT.
Dari penafsiran Imam Ibn Kathir ini, maka kita dituntut apabila terlupa akan sesuatu agar memperbanyakkan berzikir atau mengingati Allah SWT kerana berkemungkinan sebab atau punca lupa adalah disebabkan dosa yang dilakukan tanpa disedari. Dengan berzikir atau mengingati Allah SWT akan menghilangkan segala gangguan syaitan terhadap kita. Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya juga ada menyebut bahawa ayat di atas terdapat padanya tuntutan agar berzikir apabila terlupa.
MALAS BERSELAWAT
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” (- satus hadis sahih. Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
Maksud hadis di atas sebagaimana yang disebutkan oleh al-Munawi bahawa orang yang tidak berselawat ke atas Nabi SAW apabila mendengar nama Nabi SAW adalah orang yang bakhil terhadap dirinya sendiri kerana telah terhalang ke atasnya selawat Allah sebanyak 10 kali kepadanya apabila dia berselawat sekali ke atas Nabi SAW.
Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadis daripada Ali dan juga hadis daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi.Tambahan pula, disifatkan dengan bakhil adalah disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada Allah SWT (seperti berselawat).
Setelah begitu banyak maklumat tentang selawat, tertanya pula di dalam hati selawat apa yang perlu dibaca. Selawat pendek atau selawat panjang? Sebenarnya Rsulullah SAW telah memberikan jawapan selawat afdhal menerusi hadis riwayat Sahih al-Bukhari dari Ka’ab bin ‘Ujrah yang menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.