Oleh: Wawa Najwa

SAMBUTAN hangat yang diberikan untuk konsert ‘A Night to Remember’ edisi pertama yang menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Khai Bahar dan Aina Abdul yang diadakan
Persada Johor International Convention Centre pada 2022 memberi semangat kepada penganjur untuk meneruskan penganjuran terkini.

Kali ini Coaction Events Sdn. Bhd., selaku penganjur memilih tema rock sebagai tarikan untuk menjayakan edisi kedua ‘A Night to Remember’ yang akan diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor, pada 14 Disember 2024.

David Emir Bareng menjelaskan kelainan untuk konsert kali ini.

Artis yang bakal menghibur penonton adalah Ratu Rock Malaysia, Ella, kumpulan legenda Exists dan Kugiran Masdo yang semakin mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan.

Ketua Eksekutif Coaction Events Sdn. Bhd., David Emir Bareng berkata, konsert kali ini akan membawa peminat mengimbau kembali ke era kegemilangan rock tanah air.

Tambahnya, ‘A Night to Remember’ telah menjadi acara yang dinanti-nantikan di mana konsert ini menampilkan barisan artis hebat tanah air kepada para peminat di Johor, Singapura, dan Kepulauan Riau, Indonesia.

Antara barisan artis yang bakal menjayakan ‘A Night to Remember’ di Stadium Tertutup Arena Larkin pada 12 Disember 2024.

“Kami sangat teruja dapat menghasilkan konsert ini bagi membolehkan peminat berinteraksi dengan artis ikonik yang pastinya akan menjadi malam yang tidak dapat dilupakan.

“Sudah pasti peminat berpeluang menyanyi dan menari bersama lagu-lagu rock kegemaran mereka dan mengimbau kembali kenangan indah zaman dahulu.

“Lebih istimewa, peminat boleh berpakaian seperti artis kegemaran mereka dan menyertai pertandingan di media sosial untuk berpeluang memenangi hadiah menarik,” katanya yang terharu dengan sokongan yang diberikan oleh Tourism Johor, BestFM, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Damansara Assets Sdn. Bhd.

Sebahagian daripada anggota kumpulan Exists yang bakal menghibur peminat di Larkin, Johor Bahru nanti.

Sementara itu, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 58, yang laris menjayakan konsert solonya itu turut teruja untuk beraksi di pentas A Night to Remember bersama rakan artis lain.

“Saya sangat gembira kerana dapat mengakhiri tahun ini dengan mencipta momen indah bersama peminat-peminat saya iaitu Ella’s Gang, terutamanya dari selatan tanah air. Ini akan menjadi kenangan yang indah untuk kita semua,” katanya yang mempunyai banyak senarai lagu malar segar itu.

Bagi Exists yang diwakili oleh Along (gitar utama), Ajai (keyboard), Musa (bass), Ujang (dram) dan Ezad selaku vokalis itu menganggap inilah peluang untuk mereka menghibur peminat yang tidak putus memberi sokongan kepada kerjaya mereka.

Kugiran Masdo anggap ini peluang keemasan untuk mereka menghibur peminat.

“Tema Rock Nostalgia benar-benar dekat dihati kami. Kembali ke Johor di mana segalanya bermula dan bersatu semula dengan peminat setia adalah sangat bermakna buat kami.

“Exists tidak sabar untuk beraksi dihadapan lebih daripada 4,000 pencinta muzik di konsert A Night to Remember 2024,” kongsi Exists.

Bagi Kugiran Masdo yang menampilkan muzik berasaskan genre pop 60-an dan digubah mengikut cita rasa masa kini terharu diberi peluang tersebut.

Kehadiran Ella ditunggu oleh peminat kerana Ratu Rock ini mempunyai barisan lagu yang malar segar.

“Ia merupakan sebuah penghormatan untuk berkongsi pentas dengan dua legenda. Kami sangat teruja dapat mencipta memori indah bersama peminat kami dari Johor, Singapura dan Indonesia,” ujar Kugiran Masdo.

Tiket konsert boleh dibeli di www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula serendah RM99 sehingga RM399.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67, manfaatkan tawaran istimewa kami: nikmati diskaun sebanyak 6.7% untuk setiap pembelian tiket dari RM169 dan ke atas. Tawaran sah sehingga 16 September 2024.

Previous article‘Keluang Man’ ada mural sendiri di Kluang
Next articleMawar Rashid cuba nasib sebagai penyanyi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here