Filem 'Keluang Man' bakal ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan.

Oleh: Wawa Najwa

FILEM adiwira ikonik Malaysia ‘Keluang Man’ arahan Anwari Ashraf hanya akan menemui penonton di pawagam pada tahun hadapan.

Namun bagi mempromosikan filem lakonan Nas Muammar Zar, Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi, Astro Shaw melancarkan mural gergasi ‘Keluang Man’ di salah satu lokasi penggambaran filem iaitu di Kluang, Johor.

Shweta Sekhon sebagai Doktor Malini dan Anwaar Beg Moghal melakonkan watak Inspektor Sahab.

Mural hasil lakaran artis grafiti terkenal Abdulrashade yang terletak di Laman Pesona, Kluang itu menampilkan visual karakter-karakter utama filem seperti Keluang Man, Shamsir, Ahmad, Inspektor Sahab, Doktor Malini dan Bebe iaitu kucing kesayangan Keluang Man.

Ia merupakan satu tanda penghargaan kepada daerah Kluang, tempat kelahiran adiwira itu dalam versi filem, sekali gus menjadi salah satu tarikan terbaharu buat peminat. Mural ini juga bakal muncul di dalam filem live-action ‘Keluang Man’ yang dinanti-nanti ramai.

Kehadiran Nas Muammar Zar dan Rosyam Nor ditunggu peminat.

Mural setinggi tiga tingkat yang disiapkan dalam tempoh 10 hari itu mendapat sokongan daripada pihak Majlis Perbandaran Kluang yang mengalu-alukan usaha ini dalam mempromosikan kesenian dan kebudayaan bagi memberi impak dalam menaikkan imej daerah Kluang, Johor.

Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad yang hadir sewaktu pelancaran mural itu berkata, mural ‘Keluang Man’ di Kluang ini adalah penghormatan kepada semua peminat dan komuniti yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada superhero Malaysia itu.

Azurawati Wahid (kanan) harap mural ‘Keluang Man’ dapat menarik ramai pelancong ke daerah tersebut.

“Keluang Man adalah lambang keberanian dan semangat superhero Malaysia. Kami memilih lokasi Kluang untuk mengabadikan mural kerana daerah ini memainkan peranan penting dalam penggambaran filem ‘Keluang Man’.

“Kami yakin inisiatif ini bukan sahaja akan menarik peminat Keluang Man dari seluruh negara, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk merasa lebih dekat dengan filem dan watak adiwira kebanggaan semua.

Mural ini menampilkan karakter-karakter daripada filem ‘Keluang Man’.

“Sebagai kolaborasi ‘Keluang Man’ bersama Wonda Coffee, mural epik Keluang Man turut mempamerkan ‘Wonda Kopi Edisi Kluang’ kopi ala Kluang pertama yang disajikan dalam pakej RTD (ready to drink), untuk memberi penghormatan kepada budaya kopi Kluang yang dihargai serta rasa asli kopi tempatan Malaysia,” katanya.

Selain pelakon, turut hadir menyaksikan momen bersejarah itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Etika, Santharuban T. Sundram, Pegawai Daerah Kluang, Mohd Rafi Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Azurawati Wahid.

Untuk filem ini Astro Shaw bekerjasama dengan Wonda Coffee.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etika, Santharuban T. Sundram berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Astro Shaw untuk menyatukan dua jenama ikonik Malaysia iaitu ‘Keluang Man’ dan Wonda Coffee.

“Wonda Kopi Edisi Kluang’ bukan sekadar produk baharu, ia adalah satu penghargaan terhadap warisan kaya Kluang. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Astro Shaw dan gabungan ini merupakan penghormatan kepada identiti Malaysia dan kami berhasrat untuk mencipta pengalaman yang bermakna untuk para penonton.

“Keunggulan rasa Tongkat Ali dapat dinikmati dalam edisi khas ini. Ia melambangkan kekuatan dan ketahanan yang diwakili oleh Keluang Mandan pencinta kopi kami. Menjadi sebahagian daripada warisan Kluang, hari ini adalah detik yang penting bagi kami, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk menghormati budaya unik Malaysia melalui karya seni Abdulrashade yang menakjubkan.

Lakaran grafiti ‘Keluang Man’ oleh Abdulrashade yang terletak di Laman Pesona, Kluang.

“Wonda Kopi Edisi Kluang’ menangkap keaslian dan hubungan mendalam yang dicari oleh pencinta kopi. Kerjasama kami dengan Astro Shaw bukan sahaja menggabungkan seni pembuatan filem dan pembuatan kopi, tetapi juga menceritakan kisah bermakna yang beresonansi dengan rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Ternyata pemilihan Kluang sebagai lokasi penggambaran filem dan mural ‘Keluang Ma’ oleh Astro Shaw merupakan bonus kepada daerah tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Azurawati Wahid berkata, mural ‘Keluang Man’ merupakan satu pengiktirafan kepada Kluang.

“Besarlah harapan saya agar dengan adanya graffiti ini, Kluang akan menjadi sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik. Harap lepas ini ramailah yang singgah di Kluang untuk merakam momen indah mereka di mural ‘Keluang Man’ ini,” ujarnya.

Sementara menantikan filem ‘Keluang Man’ ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baharu boleh menonton siri animasi popular tersebut di www.keluangman.com bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga.

Previous articleImpian DNadya tercapai, satu pentas dengan Udit Narayan
Next article‘A Night to Remember’ satukan Ella, Exists dan Kugiran Masdo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here