Oleh: Wawa Najwa
PERTAMA kali berkunjung ke Malaysia pelakon Lee Joon Gi terkejut dan tak sangka sambutan yang diberikan oleh peminatnya adalah di luar jangkaan.
Ahad lalu (22 September) pemegang watak Seo Jung-woo dalam drama rangkaian My Girl (2005) hadir pertama kali ke sini bagi menjayakan 2024 Lee Joon Gi Asia Tour (Joongi’s Day: Festival) in Kuala Lumpur / Fan Meeting di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Aktor berusia 42 tahun itu mengakui yang beliau gembira dapat hadir di sini dan berterima kasih kepada peminat di Malaysia kerana menyokong kerjayanya.
“Sesungguhnya saya sangat gembira dapat berada di sini dan bertemu dengan anda semua. Peminat di sini sangat mantap. Selain Malaysia saya juga akan pergi ke Jakarta, Thailand dan Taiwan bagi menjayakan konsert jelajah Asia ini.
“Walau ke mana saya pergi, ia bukan tentang negara itu apa yang penting dalam setiap perjumpaan itu, anda semua adalah keluarga saya. Adakah anda semua sudah bersedia untuk berhibur?,” katanya selepas memulakan persembahan dengan lagu “Thank You” dan diikut dengan lagu “Now”.
Ujar Joon Gi, seandainya beliau tahu sambutan hangat yang diberikan oleh peminat di Malaysia, awal-awal lagi beliau sudah bertandang ke sini dan mengadakan persembahan.
Bagi memastikan penonton termasuk dari luar negara yang hadir, kata Joon Gi, beliau telah memilih lagu-lagu yang sudah lama diminati oleh peminat.
“Nyanyian saya okey tak? Saya pilih beberapa lagu yang sudah lama diminati peminat. Saya sudah menyanyi dan menari untuk peminat sejak 18 tahun lalu. Saya bukan saja nyanyi lagu saya tapi lagu penyanyi lain juga kerana saya seorang pelakon.
“Saya cuba gabungkan energi seorang pelakon dan penyanyi. Namun saya perlu ingatkan anda semua yang saya bukanlah seorang penyanyi hebat, hanya seorang pelakon. Namun saya tidak akan mengecewakan anda semua.
“Anda membuatkan saya terkejut kerana sokongan anda ibarat kehadiran saya bagi menjayakan konsert, sedangkan yang sebenar ia hanyalah perjumpaan dengan peminat. Saya tidak akan menghampakan anda kerana saya cuba memberikan yang terbaik supaya anda kenang perjumpaan ini,” katanya yang diiringi oleh enam penari dan empat pemuzik.
Joon Gi yang popular menerusi watak Gong Gil dalam filem “The King and the Clown”, turut mendendangkan lagu-lagu dari runut bunyi filem dan drama lakonannya seperti “Run”, “In My Heart” dan “Chosen One”.
Khas untuk peminatnya yang hadir, Joon Gi turut mendendangkan sebuah lagu baharu berjudul “Delete” yang komposernya adalah pemain keyboard yang mengiringi persembahannya.
Joon Gi yang ‘sweet talker’ itu juga turut menunjukkan kehebatannya dalam mengatur gerak tari bagi setiap lagu. Atas permintaan peminat juga, beliau telah melakukan lima aksi comel untuk penonton merakam fotonya. Tidak ketinggalan juga berswafoto dengan penonton yang hadir.
“Ayuh, kita bersuka ria malam ini. Saya ada beberapa kejutan untuk anda. Harap anda semua terhibur,” katanya yang turut mendendangkan lagu “I’m Yours” (Jason Mraz), “Marry You” (Bruno Marz), “Rasa Sayang” dan “Dancing in the Moonlight” (Toploader).
Sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu “Together”, Joon Gi berjanji akan datang lagi ke Malaysia dengan menampilkan persembahan yang lebih istimewa lagi.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.