Herman Tino masih terima tawaran mengadakan persembahan sehingga kini.

Oleh: Wawa Najwa

APABILA lama tidak mendengar lagu baharu dendangan penyanyi legenda Herman Tino, pasti ada yang fikir beliau sudah tidak aktif menyanyi.

Sebenarnya Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 70, masih lagi sudi menghibur orang ramai jika dipanggil untuk menjayakan persembahan tertutup atau korporat.

“Ojo Kesandung” antara lagu Herman Tino yang sering dinyanyikan setiap persembahan pentas.

Baru-baru ini, Herman Tino atau mesra disapa Kang Herman, muncul memeriahkan “Malam Apresiasi Merdeka 2024″ dan “Pertandingan Lagu Patriotik”, anjuran Alumni SMK Seri Tanjong, Kuala Selangor dengan Kerjasama Sektretariat BN Kuala Selangor.

Herman yang pernah menjulang nama di tahun 80-an menerusi lagu “Mengapa Dikenang Mengapa Difikir” yang berada di carta radio selama berpuluh minggu.

Herman Tino sebagai juri untuk “Pertandingan Lagu Patriotik” sempena “Malam Apresiasi Merdeka 2024” di D’Jeram Santai Cafe, baru-baru ini.

Antara lagu Herman Tino yang masih hangat hingga kini ialah “Pelita Dalam Kabus”, “Berkorban Apa Saja”, “Makan Sirih”, “Kamar Sepi”, “Cinta Tertahan Tahan”, “Kupendam Biarpun Parah” dan banyak lagi.

Pada majlis yang dihadiri oleh ahli Alumni SMK Seri Tanjong dan dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Jeram, Datuk Jahaya Ibrahim, penyanyi berketurunan Jawa itu menghibur orang ramai dengan lagu , “Yale Yale” dan “Ojo Kesandung”. Malah, pada malam itu juga beliau juga menjadi juri untuk “Pertandingan Lagu Patriotik” yang disertai oleh penduduk setempat.

Pegawai Penyelaras DUN Jeram, Jahaya Ibrahim merasmikan majlis tersebit.

Herman Tino berkata, beliau sentiasa memberi sokongan terhadap mana-mana agensi yang menjayakan aktiviti di bulan kemerdekaan. Anak jati Tanjung Karang ini juga, tidak lupa menitip pesan semangat kepada hadirin yang hadir di D’Jeram Santai Cafe pada malam itu.

“Pamerkan kemunculan dengan keberhasilan dan hiburkan penggemar dengan diri yang positif. Sempena Bulan Kemerdekaan ini generasi baharu jangan sesekali melupai asal usul.

Antara peserta yang menyertai pertandingan lagu patriotik.

“Kita perlu kenang jasa datuk nenek generasi pejuang dahulu berjuang mempertahankan Kota Melawati dari jatuh ke tangan Belanda. Kalau tidak kita yang mempertahankan tanah air sendiri, siapa lagi. Jangan sampai tanah air kita dikuasai orang luar,” katanya yang merupakan anak jati Tanjung Karang itu.

Sosok penyanyi veteran ini masih kelihatan sihat dan tegap serta tidak lokek berkongsi tips kesihatan. Sifat bersangka baik pada semua menjadi amalannya untuk terus sihat dan segar.

Herman Tino turut mendendangkan dua lagu untuk tetamu yang hadir.

Penggemar sambal tumis bilis petai dan lontong ini, masih lagi aktif menyanyi sekiranya ada jemputan di acara acara keraian. Sekiranya ada masa terluang, Herman Tino lebih selesa menghabiskan masa senggang bersama  anak cucu.

Previous articleN.Flying ‘terbang’ ke Malaysia untuk temui N.Fia
Next articleLee Joon Gi terharu dengan sokongan peminat Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here