Oleh: Wawa Najwa
TIDAK ada siapa yang menumpang sesiapa dalam menjayakan konsert “Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur” yang berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 28 September lalu.
Ini kerana antara Afgan dan Lyodra saling meminati antara satu sama lain dan kesempatan menjayakan konsert bersama yang dibawa khas oleh Kharisma Music (KM) dan jenama kosmetik Alha Alfa, dengan Intan Gelombang serta Futurace adalah satu bonus kepada kedua-dua penyanyi tersebut.
Afgan yang menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya melahirkan rasa gembira kerana dapat menjayakan konsert bersama Lyodra. Tidak asing lagi bagi peminat Malaysia, Afgan telah membina ikatan yang kuat dengan audiens tempatan sejak debutnya pada tahun 2009.
“Tak sangka lagu duet kami, “Ada” akan viral di sini dan seterusnya dijadikan konsert di Malaysia yang merupakan rumah kedua saya. Saya rasa terharu dengan sokongan daripada peminat-peminat di sini terhadap karier saya dari dulu hingga sekarang.
“Ini juga merupakan konsert duet pertama saya di sini. Saya harap semua yang hadir terhibur dengan persembahan daripada kami,” kata Afgan yang turut memperdengarkan lagu-lagu daripada album baharunya, “Sonder” kepada penonton.
Antara lagu daripda album kedua bahasa Inggerisnya yang diperdengarkan kepada penonton adalah “Shallow Water”, “Criminal (Over You)” dan “Escape” dengan iringan enam pemuzik dan tiga penyanyi latar.
Bagi Lyodra Margareta Ginting, 21, kesempatan menjayakan konsert bersama Afgan adalah satu bonus kepada juara program Indonesian Idol musim ke-10 itu pada 2019.
Ungkap penyanyi asal Medan, Indonesia itu, beliau tak sangka berpeluang mengadakan persembahan ulung kalinya di hadapan penonton Malaysia.
“Ini kali pertama saya mengadakan persembahan di Malaysia. Saya rasa luar biasa sangat dapat hadir di sini. Harap anda semua gembira. Jom kita galau,” katanya selepas mendendangkan lagu “Kalau Bosan” dan diikut dengan lagu lagu “Menyesal” dan “Mengapa Kita Terlanjur Mencinta”.
Lain-lain lagu yang dinyanyikan oleh Lyodra secara solo adalah “Terlalu Cinta”, “Tak Dianggap” dan “Sang Dewi”. Malah, Lyodra dan Afgan turut berduet mendendangkan lagu-lagu kesukaan mereka seperti lagu “Kangen” dendangan asal Dewa, “Jika” oleh Melly Goeslaw dan “Heaven”, duet Lyodra bersama Calum Scott.
Ternyata perjalanan Afgan dalam menjayakan konsert di Malaysia bukan setakat itu sahaja, malah pada 28 Disember 2024 ini, penyanyi yang nama lengkapnya, Afgansyah Reza, 35, bakal bertemu peminat di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.