Oleh: Wawa Najwa
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin
MANA-MANA usahawan tempatan yang berminat untuk menyertai Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2024 amat dialu-alukan dan bukan sahaja tertumpu kepada usahawan-usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS semata-mata.
Ekspo Usahawan Selangor yang sudah memasuki tahun ketiga itu dan dibawa khas oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam pada 4 hingga 6 Oktober ini.
Program yang dimulakan sejak tahun 2022 dengan tagline Melangkah Lebih Jauh untuk edisi tahun ini, selaras dengan matlamat PKNS dalam membantu usahawan memperluaskan perniagaan mereka, bukan sahaja di pasaran tempatan, malah ke peringkat antarabangsa.
PKNS juga menjangkakan lebih ramai kehadiran pengunjung berbanding tahun lepas dengan menghimpunkan 200 reruai usahawan yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan seperti produk makanan, minuman, produk kecantikan, pakaian, peralatan sukan, perkhidmatan dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, SELBIZ 2024 juga menyediakan ruangan Fiesta Coffee dengan menawarkan sembilan reruai usahawan kepada orang ramai terutamanya pencinta kopi beserta 20 reruai makanan dan minuman viral untuk dinikmati oleh pengunjung.
Program selama tiga hari ini bermatlamat menjadi platform kepada orang ramai terutama usahawan untuk mendapatkan info keusahawan bukan sahaja daripada agensi yang terlibat tetapi juga daripada syarikat-syarikat utama di bawah segmen pemadanan perniagaan.
Selain itu, terdapat juga perkhidmatan Klinik Usahawan Selangor di mana usahawan atau orang ramai boleh mendapatkan sesi bimbingan atau kaunseling mengenai perniagaan secara percuma.
Bagi memeriahkan lagi acara tahunan ini, PKNS dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menyediakan kaunter jualan produk PKPS serta Jualan Ehsan Rahmah dengan harga yang lebih rendah.
Manakala bagi yang berkeluarga pula, pelbagai aktiviti yang disediakan seperti SELBIZ Obstacle Run, Magic Show, Petting Zoo dan Family Mini Game.
Menariknya, terdapat juga pameran kereta berjenama terkenal, BYD di mana sebanyak tiga jenis kereta keluaran baharu akan dipamerkan dan pengunjung juga akan berpeluang untuk sesi pandu uji percuma sepanjang ekspo ini berlangsung.
Bukan sekadar memberi tumpuan kepada usahawan, SELBIZ kali ini juga menyediakan halwa telinga bagi pengunjung yang akan hadir iaitu Selawat @SELBIZ bersama beberapa tokoh-tokoh agama selain perkongsian secara interaktif berkaitan konsep perniagaan dalam Islam dan diiringi dengan persembahan daripada Kumpulan Hijjaz dan Selawat Taranum Voices.
Bagi menambahkan kemeriahan, pengunjung akan disajikan dengan Konsert Gempak yang menampilkan beberapa nama selebriti tanah air terkenal seperti Akim & The Majistret, Sarah Suhairi, Hael Husaini, 6ixth Sense, Syamel dan tidak dilupakan busking daripada kumpulan Karyara.
Jadi boleh datang beramai-ramai untuk merasainya sendiri atau mendapatkan maklumat lanjut di selbiz.my. Anda juga berpeluang membuat pendaftaran awal di pautan https://ticket.selbiz.my/
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.