Oleh: Syed Wafa
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin
Sungguh mulia, Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia akan cuba merealisasikan keperluan ‘makanan’ dari segi rohaniah dan bukan hanya tertumpu kepada keperluan makanan dan pelbagai barangan keperluan asas kepada golongan gelandangan semata-semata.
Pengerusinya, Mazlan Sutan berkata, dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh seluruh ahli jawatankuasanya, dia merasakan program-program seumpama itu dapat dilakukan asalkan mendapat sokongan dari pelbagai pihak.
“Bagi saya aktiviti itu menjurus kepada program gaya diri, motivasi atau modal insan, Perancangan akan dibuat terlebih dahulu dari segi penyusunannya, jika ada masa dan kemampuan kita akan laksanakan program pembangunan tersebut,”kata Mazlan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Agihan Bantuan Makanan Kepada seramai 150 Gelandangan di sekitar kawasan Medan Tuanku, di sini semalam.
Program anjuran Fakulti Pengurusan Pentadbiran Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia turut melibatkan dua artis tempatan iaitu pelakon veteran Norazifah Zainon Abdin dan penyanyi, Karl Axthara.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia, Azliza Mustaffa.
Menurut Mazlan lagi, program yang lebih sesuai untuk membantu mereka dari segi persepsi, minda atau jati diri perlu diberi keutamaan .
“Jika kita memberi makanan atau sebarang material, sekarang bukan lagi satu kekurangan bahkan lebih daripada mencukupi, tapi dari segi pembangunan modal insan, saya difahamkan belum pernah dilakukan, walau bagaimanapun ianya tidak terlaksana dalam masa terdekat,
“ Persatuan akan cuba merangka program yang sesuai terlebih dahulu sebelum dapat berkoloborasi dengan pusat pengurusan gelandangan untuk melaksanakan beberapa program yang lebih sesuai dengan mereka, namun tertakluk kepada keupayaan persatuan ,”jelasnya.
Media yang turut bersama-sama ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia turut mengagihkan bantuan keperluan makanan disamping mendengar keluh kesah golongan ini yang kehidupan mereka dipenuhi dengan masalah.
Seorang gelandangan wanita yang ditemui menyatakan sejak dia mempunyai masalah lutut dia kini tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan bantuan makanan yang disumbangkan oleh pelbagai Badan Bukan Kerajaan di kawasan tersebut.
“ Makanan yang diperolehi ini akan disimpan dalam tempoh beberapa hari, jika saya dapat makan itu sudah memadai, adik beradik pun dah tiada yang bertanya khabar,”ceritanya sedih.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.