Hazama, Hattan dan Black bakal beraksi di pentas yang sama pada Februari 2025.

Oleh: Wawa Najwa

Hitam manis hitam manis
Yang hitam manis
Pandang tak jemu pandang tak jemu
Yang hitam manis pandang tak jemu….

Itulah antara lirik yang terdapat dalam lagu lama berjudul “Hitam Manis” yang tetap enak didengar hingga kini.

Namun kali ini anda berpeluang untuk menonton persembahan daripada penyanyi-penyanyi berkulit hitam manis. Siapa lagi kalau bukan Datuk Hattan, Hazama dan Black.

“Memburu Rindu” pasti didendangkan oleh Hattan untuk penonton yang hadir.

Ketiga-tiga penyanyi yang bersuara merdu itu akan disatukan di pentas ‘Konsert Hitam Manis’ yang bakal diadakan di Plenary Hall, KLCC pada 8 Februari 2025.

Menariknya, ‘Konsert Hitam Manis’ ini menjadi persembahan berskala besar pertama bagi membuka tirai tahun baharu 2025 yang dibawakan secara eksklusif oleh penganjur Reacch Events.

Sudah pasti Black akan nyanyikan lagu “Sofea Jane”.

‘Konsert Hitam Manis’ menjanjikan sebuah persembahan yang dinamik, menampilkan gabungan lagu-lagu hits daripada setiap penyanyi, serta kolaborasi eksklusif yang pastinya akan memukau peminat.

Datuk Hattan, legenda muzik rock Malaysia, dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti “Biso Bonar”, “Mahligai Syahdu” dan “Memburu Rindu” bakal membawa semangat rock klasik yang penuh bertenaga.

Manakala, Hazama pemenang program Akademi Fantasia dan penyanyi yang terkenal dengan vokal uniknya, bakal menggegarkan pentas dengan lagu-lagu popularnya.

Hazama teruja untuk mengadakan persembahan bersama Hattan dan Black.

Sementara Black yang tidak asing lagi dengan suara lantang dan gaya persembahan yang energetik, cukup dikenali dengan lagu-lagu hitnya seperti “Sofea Jane”, “Teman Pengganti” dan “Anugerah Terindah”.

Hattan yang sudah lama berada dalam industri, meluahkan kegembiraannya untuk kembali ke pentas bersama Hazama dan Black.

“Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menggabungkan elemen muzik yang berbeza dari generasi yang berbeza. Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan,” katanya.

Setiap daripada mereka mempunyai kelebihan tersendiri.

Bagi Hazama yang terkenal dengan kelainan muzik dan gayanya yang tersendiri, menyatakan bahawa konsert ini sebagai bukti perpaduan antara artis pelbagai generasi.

“Saya teruja dapat bersama-sama dengan Datuk Hattan dan Black. Ia satu peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami,” akuinya.

Begitu juga dengan Black dengan kehebatannya dalam vokal dan persembahan, menambah bahawa malam konsert itu akan menjadi satu perjalanan yang epik.

“Ini bukan hanya sekadar konsert, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat dari pelbagai lapisan masyarakat. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat,” ujarnya.

Gandingan tiga penyanyi ini untuk ‘Konsert Hitam Manis’ pasti menghiburkan.

‘Konsert Hitam Manis’ dijangka berlangsung selama dua jam dan menawarkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, serta gabungan yang eksklusif antara Datuk Hattan, Hazama, dan Black.

Dengan kepelbagaian gaya muzik yang ditawarkan, konsert ini dijangka menarik perhatian pelbagai generasi peminat muzik tanah air.

Tiket konsert mula dijual pada 4 Oktober 2024 bermula jam 11 pagi menerusi laman web www.ticket2u.com.

Previous article‘MAKANAN ROHANI’ DIPERLUKAN SEGERA UNTUK GELANDANGAN!
Next articleSebelas “Living Legend” Bakal Gegarkan Sabah Anjuran Karyawan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here