Boyz II Men terkenal dengan gabungan keharmonian vokal mereka.

Oleh: Wawa Najwa

ADAKAH “End of the Road” antara lagu kegemaran anda? Dari situ sudah diketahui bahawa anda adalah generasi milenial kerana lagu dendangan kumpulan Boyz II Men yang juga runut bunyi bagi filem “Boomerang” arahan Reginald Hudlin itu dikeluarkan pada 1992.

Pasti generasi milenial tidak ada masalah jika mahu menonton persembahan Boyz II Men yang akan mendendangkan lagu kegemaran anda itu secara langsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2025 menerusi Konsert Boyz II Men Live In Kuala Lumpur.

Peminat Boyz II Men jangan lepaskan peluang untuk menonton konsert mereka pada tahun depan di Malaysia.

Selain “End of the Road”, penonton juga akan dihiburkan dengan lagu-lagu top Boyz II Men yang lain seperti “I’ll Make Love to You”, “One Sweet Day” dan termasuk “Motownphilly”.

Kumpulan yang dianggotai oleh Nathan Morris, Shawn Stockman dan Wanyá Morris yang ditubuhkan pada 1985 itu dibawa khas oleh penganjur Shiraz Projects ke Malaysia bagi mengimbau semua kenangan peminat-peminat irama R&B dengan lagu-lagu dendangan Boyz II Men.

Gabungan keharmonian yang penuh perasaan dan tema berkekalan membuatkan peminat tidak pernah jemu mendengar lagu dendangan mereka dan kini berpeluang bertentang mata pula dengan artis idola.

Jualan tiket berdasarkan kedudukan tempat menonton di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Boyz II Men masih relevan dalam industri ini biarpun ramai penyanyi solo atau berkumpulan muncul. Album “Twenty” yang diterbitkan pada 2011 meraikan dua dekad kumpulan tersebut dalam industri muzik.

Malah album itu sebagai tanda kembalinya Boyz II Men kepada material asal dan mendapat sambutan hebat dan sekali gus memulakan debutnya di #20 di Billboard Top 200 serta memperoleh pujian untuk gabungan lagu klasik dan segar.

Sementara itu, menerusi album “Collide” yang diterbitkan pada
2014 mereka mempamerkan bunyi baharu untuk kumpulan itu, dengan lagu-lagu seperti “Better Half” dan “Diamond Eyes” dipaparkan pada rancangan popular seperti The Bachelorette.

Pernah merangkul empat Anugerah Grammy, sembilan Anugerah Muzik Amerika, sembilan Anugerah Soul Train, tiga Anugerah Billboard dan Anugerah MOBO 2011 untuk ‘Outstanding Contribution to Music’, kemeriahan penganugerahan Boyz II Men tiada tandingannya.

Lagu-lagu dendangan Boyz II Men banyak meninggalkan nostalgia kepada peminat mereka.

Mereka juga menerima Hollywood Walk of Fame dan Casino Entertainment Award untuk The Mirage Resort and Casino di Las Vegas, yang dilancarkan pada 2013.

“Kami sangat teruja untuk kembali ke Asia dan membawa pengalaman Boyz II Men ke Kuala Lumpur. Energi dan kemesraan daripada peminat kami di Malaysia tidak seperti yang lain,” kata Shawn Stockman.

Namun ia lebih daripada sekadar muzik yang menjadikan konsert Boyz II Men istimewa. Khalayak boleh mengharapkan persembahan berkarisma, harmoni yang memukau dan beberapa kejutan yang tidak dijangka apabila kumpulan itu membawa bunyi R&B yang merupakan trademark mereka ke pentas dengan sentuhan kontemporari.

Tiket-tiket berharga RM995 (Diamond – Duduk), RM795 (Platinum – Duduk), RM695 (Gold – Duduk), RM495 (Silver – Duduk) dan RM355 (Bronze – Duduk) boleh dibeli di laman web www.myticket.asia atau www.shirazprojects.com

Previous article‘PROGRAM KOMUNITI UKAY BIJAK – PROGRAM MOTIVASI DAN TEKNIK MENJAWAB 4 SUBJEK TERAS SPM 2024’
Next articleErti bersyukur yang sebenar-benarnya! (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here