Ezad Lazim tidak kisah menyanyikan semula lagu "Rindu Hatiku Rindu" dendangan asal oleh penyanyi cilik Tantari.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TIDAK merasakan kedudukannya sebagai penyanyi senior ‘jatuh’ apabila menyanyikan semula lagu asal dendangan penyanyi cilik Tantari yang popular dengan lagu “Rindu Hatiku Rindu”.

Ezad yang mula aktif dalam bidang seni sejak 1993 menganggap peluang yang diberikan kepadanya itu satu penghormatan untuk merakamkan semula lagu yang mendapat tempat di hati orang ramai ini.

“Rindu Hatiku Rindu” lagu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Jaju serta Hakim Hakimi itu seolah-olah menjadi lagu miliknya kerana Ezad berjaya menghidupkan kembali aura dan emosi lagu ala 90-an itu dengan sentuhan peribadinya.

Lagu nyanyian Tantari yang diterbitkan awal tahun ini berjaya bertakhta di kedudukan #1 Trending selama 20 hari berturut-turut di YouTube dan kini sudah pun mencapai lebih 9 juta tontonan.

Sementara itu lagu dendangan Ezad juga sudah dimuat naik di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 8 November lalu dan telah mendapat tontonan kira-kira 54,290. Sebelum itu, video lirik rasmi lagu tersebut yang dimuat naik pada 18 September 2024 juga berjaya mencapai kedudukan Top 20 trending di YouTube.

“Peluang merakamkan semula lagu ini adalah satu penghormatan dan saya harap versi ini juga akan mendapat sambutan hebat pendengar seperti versi asal lagu ini.

“Saya berasakan lagu ini sangat istimewa, bukan sahaja buat peminat muzik masa kini tetapi juga sebagai satu bentuk penghargaan terhadap karya seni yang melangkaui zaman,” katanya.

Menurut Ezad, rakaman versi baharu ini diharap dapat meluaskan lagi golongan pendengar lagu ini.

“Versi asal lagu “Rindu Hatiku Rindu” mendapat sambutan hebat ramai pendengar. Saya berharap rakaman semula lagu ini akan dapat melebarkan lagi kelompok pendengar lagu hebat ini.

“Proses rakaman semula lagu ini dilakukan dengan penuh teliti di mana saya bekerja rapat bersama penerbit untuk memastikan elemen asal lagu ini terpelihara. Pada masa sama, susunan muzik diolah sedikit untuk menyesuaikan dengan nyanyian seoang penyanyi dewasa,” katanya.

Apa yang pasti, dengan gaya persembahan yang lebih matang dan menyentuh hati, rakaman semula “Rindu Hatiku Rindu” versi Ezad Lazim ini dijangka mampu menarik ramai golongan pendengar yang baru.

Terdahulu, Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian yang ketika itu baru berusia 6 tahun telah merakam versi asal lagu “Rindu Hatiku Rindu” yang dilancarkan pada 15 Februari lalu.

Lagu tersebut bukan sahaja ‘trending’ untuk muzik di YouTube tetapi juga viral di TikTok dengan pencapaian tontonan video muzik lagu ini sebanyak 4 juta di akaun TikTok HafizFeisal.

Sementara itu, Ezad yang mula mencipta nama sebagai vokalis utama kumpulan Exists sudah merakam banyak lagu-lagu hits malar segar seperti “Jesnita” (16 juta tontonan di YouTube), “Mengintai Dari Tirai Kamar” (14 juta tontonan di YouTube), “Seperti Dulu” (14 juta tontonan di YouTube) dan “Alasanmu” (10 juta tontonan di YouTube) dengan kumpulan tersebut.

Ezad turut mencatat banyak kejayaan sebagai penyanyi solo menerusi lagu-lagu hits yang menjadi siulan ramai. Antaranya, “Demi Cinta” (14 juta tontonan di YouTube), “Percintaan Ini” (5.2 juta tontonan di YouTube) dan “Hati Mati” (3.8 juta tontonan di YouTube).

Previous articleGebyar Nusantara rai seni, warisan dan pelancongan Indonesia di Malaysia
Next articleDayang Nurfaizah “Janji” bahagiakan peminat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here